Apabila pendidik berpolitik

Apabila pendidik berpolitik

Pengundi mahu beralih arah memberi sokongan kepada parti bukan kerajaan kerana mendakwa pemerintah gagal meningkatkan tahap ekonomi rakyat. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN sekumpulan ilmuwan berja­watan profesor me­nyatakan sokongan secara terbuka kepada sosok politik tertentu bukan sahaja mendapat pelbagai tindakan balas, ia juga dilihat sebagai satu perkembangan baharu dalam dunia pendidikan tanah air. Ini kerana pendidik yang rata-ratanya dihormati sebagai golongan istimewa dengan penuh keterujaan dalam mendidik anak bangsa pada apa-apa jua peringkat selalu dikaitkan dengan inspirasi dan motivasi neutral sama ada pada perwatakan sendiri mahupun tugas mereka.

Dengan tindakan sedemikian, pendidik mulai dilihat sebagai golongan yang tidak neutral lagi. Walaupun tidak mewakili seluruh golongan pendidik, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga, ia memusnahkan citra dunia perguruan yang positif. Ini kerana ciri penting keneutralan yakni berkecuali sebagai tonggak profesion ini telah dikompromi.

Sebenarnya tidak salah sama sekali untuk kita menegakkan kebenaran. Namun dalam budaya kita, ia hendakkah dilakukan secara umum dengan tidak sesekali mengaitkan mana-mana pihak secara langsung, apatah lagi secara nyata dengan menamakan sosok tertentu. Inilah caranya pada susila kita seperti dilakukan seorang profesor ulung semasa menegur kebobrokan yang berlaku di negara ini khususnya dalam kalangan pemimpin politik.

Bagi yang menyokong tindakan terbuka kumpulan profesor itu, Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan diangkat untuk mempertahan kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan yang dijaminkan itu. Ia benar pada satu sudut dalam kes ini kerana kumpulan profesor itu rakyat Malaysia seperti yang diperuntuk kepada semua warganegara.

Namun dari satu segi lain, kesemua profesor itu khususnya yang masih berkhidmat di universiti awam baik secara tetap mahupun kontrak sebenarnya adalah penjawat awam yang tertakluk kepada tatakelakuan tertentu. Sehubungan ini, profesor sebagai kumpulan pengurusan tertinggi dan profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik. Antaranya dengan membuat pernyataan yang menyebelahi mana-mana parti serta berkempen untuk sesuatu pihak politik. Semua ini terkandung dalam Peraturan 21(2) P.U. (A) 395/1993.

Sebenarnya keprihatinan kumpulan profesor itu untuk menangani kebobrokan yang dihadapi negara bukan sahaja amat dialu-alukan, malah hendaklah dipuji oleh segenap lapisan masyarakat. Ini kerana bukan sahaja berani, malah mereka sebenarnya nasionalistik sekali untuk mempertahan kedaulatan negara tercinta. Akan tetapi cara mereka didapati banyak pihak sebagai tidak betul, justeru terdapat banyak buruk sangka terhadap niat murni mereka walaupun untuk melihat negara tidak terus terjerumus ke kancah kehancuran.

PEDAS

Susila kita tidak menganjurkan wacana bersifat sebegitu langsung. Ia hendaklah bersifat umum berkias. Walaupun begitu, ia masih berkesan dalam menyampaikan maksud dan mesej diinginkan. Antaranya menerusi peribahasa, siapa makan lada, dialah terasa pedas untuk yang bobrok, dan bagai kelip-kelip terbang malam bagi yang diperkenan.

Ini kerana wacana langsung bukan sahaja tidak berupa amalan kita di Timur, ia berpotensi menimbulkan konflik lebih-lebih lagi isu sensitif. Ini kerana susila kita walaupun pada zaman moden ini masih berpegang kuat kepada tradisi tidak berkonfrontasi dalam apa-apa jua bentuk, waima berterus terang tentang sesuatu perkara benar dengan segala niat yang murni.

Satu konflik sampingan yang tercetus ialah ramai dalam kalangan kumpulan itu didapati telah bersara tetapi masih menggunakan atau dikenakan gelaran profesor. Ini kerana profesor ialah jawatan disandang semasa bertugas sahaja dan akan tergugur apabila bersara. Sehubungan pemakaian gelaran profesor ini, ia sebenarnya perkara kecil tidak perlu dipertikai langsung. Ini kerana pendidik adalah golongan mulia, justeru mereka akan selalu dikenakan gelaran luhur ini oleh masyarakat.

Sebenarnya ramai dalam kalangan pendidik yang berpolitik. Namun, ia tidak dilakukan secara kolektif selain terbuka melalui sidang akhbar khas. Ia tidak sebegitu untuk antaranya menjaga kemuliaan profesion pendidik yang nilai utamanya ialah berkecuali. Oleh itu, keterampilan pendidik hendaklah memperlihat cara dan sifat mulia pada diri mereka untuk berkecuali pada sepanjang masa. Antaranya dengan tidak sesekali memperlihat keadaan menyebelahi mana-mana pihak, apatah lagi memperlihat suasana berat sebelah dalam menjalankan tugas.

Advokasi politik yang dianjurkan kumpulan profesor itu sebenarnya adalah tindakan luhur untuk mengajak masyarakat memberi keutamaan kepada sebilangan perkara tentang politik semasa khususnya ketika membuat pilihan di peti undi. Oleh itu, ia usaha murni tetapi sayang caranya tidak sesekali cocok dengan profesion pendidik yang dipandang mulia kerana selalu berkecuali. Justeru, tidak beretika bagi pendidik untuk ikut bergelumang bersama-sama ahli politik secara terang-terangan dalam dunia politik yang penuh muslihat bernoda. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×