Aminuddin bukan ‘biasa-biasa’ di Tambun

Aminuddin bukan ‘biasa-biasa’ di Tambun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saingan di Parlimen Tambun tertumpu di antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), peluang Barisan Nasional (BN) di kerusi itu juga tetap besar.

Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah diletakkan sebagai calon BN untuk berdepan dua nama besar dalam politik negara itu.

Di Tambun, Anwar merupakan calon luar, namun beliau mempertaruhkan nama besarnya sebagai pemimpin PH untuk menawan kawasan yang baharu ditandinginya selepas Parlimen Port Dickson. Sebagai kawasan baharu, Anwar memerlukan masa untuk mendekati pengundi di Tambun.

Selepas mengumumkan bertanding di Tambun, Anwar sudah mengadakan beberapa program bertemu pengundi di kawasan tersebut selain ceramah mega yang dihadiri para pemimpin utama PH termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta beberapa pemimpin utama parti komponen PH di Pasar Tambun, baru-baru ini.

Kempen Anwar sudah pasti semakin rancak selepas penamaan calon pada Sabtu ini. Dari segi geografi, tidak sukar untuk calon baharu seperti Anwar mengadakan kempen dan bertemu pengundi kerana walaupun Tambun merupakan Parlimen paling ramai pengundi, iaitu 159,775 orang, ia merupakan kawasan padat dan mempunyai akses mudah untuk ke mana-mana termasuk kampung-kampung.

Bagi Ahmad Faizal atau Peja, namanya umpama satu brand atau jenama yang semakin kukuh dengan Parlimen Tambun. Selepas menang PRU14, Peja segera mengambil alih sebagai satu nama yang sinonim dengan Parlimen Tambun, menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang kalah pada PRU lalu.

Pengaruh Peja tetap besar di Tambun dan pastinya menjanjikan cabaran sukar buat Anwar yang baru hendak bertapak di situ. Apatah lagi dengan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Tambun, beliau sudah mengadakan banyak program dan membantu rakyat di kawasannya.

Beliau juga mempunyai kelebihan sebagai anak kelahiran Perak berbanding Anwar, anak kelahiran Pulau Pinang.

AYOR, AYAQ

Kesempatan ini segera diambil oleh Peja dengan menjadikan tagline ‘Ayor bukan ayaq’, satu sindiran terhadap Anwar yang merupakan calon luar.

Di sebalik dua nama besar itu, peluang BN untuk menang di Tambun juga tetap besar atas beberapa faktor. Antaranya, Tambun merupakan kawasan UMNO dan Aminuddin merupakan calon tempatan.

Aminuddin juga bukan calang-calang calon, beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dan Setiausaha UMNO Perak.

Rata-rata pengundi tempatan sudah mengenali beliau atas khidmatnya sebagai ADUN sebelum ini, namun kalah kepada calon PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pada PRU14.

Selain itu, pola pemikiran pengundi pada pilihan raya kali ini jauh berbeza berbanding PRU14 merupakan faktor yang boleh menyebabkan berlaku peralihan undi secara besar-besaran.

Pengalaman merasai kerajaan yang tidak stabil kerana terdiri daripada pelbagai gabungan mungkin akan menyebabkan pengundi memilih parti yang mampu membentuk kerajaan stabil.

Pada PRU14, Parlimen Tambun mempunyai 107,763 pengundi, namun jumlah itu naik mendadak kepada 159,775 orang pada PRU15 disebabkan pertambahan kelompok Undi18. Komposisi pengundi Tambun terdiri daripada Melayu 64 peratus, Cina (20%), India (12%) dan lain-lain (4%).

Pada PRU14, Peja menang kerusi Parlimen Tambun dengan 38,661 undi; Ahmad Husni 33,341 manakala calon Pas, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria mendapat 14,948 undi.

Pada PRU14, Peja menang kerana undi DAP dan PKR disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PH, tetapi sekarang Bersatu tidak lagi berada dalam PH. Ini bermakna 38,661 undi yang diperoleh Peja ketika bersama PH pada PRU14 akan berpecah.

Sebaliknya, jumlah undi kepada Peja pada PRU14 itu mungkin akan dapat kepada Anwar, iaitu sebahagian besarnya undi Cina.

Undi BN sebanyak 33,341 pada PRU14 dijangka kekal dan BN hanya memerlukan tambahan undi daripada Cina dan India serta lain-lain kaum untuk mengatasi undi Peja dan Anwar.

Siapa menang, siapa kalah hanya akan diketahui pada hari mengundi, 19 November ini. Apa yang pasti, keputusan di Parlimen Tambun akan menjadi tumpuan utama sama ada Anwar atau Peja yang tumbang. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×