SELEPAS tujuh negara menjadi tuan rumah, Malaysia muncul menjadi hos edisi kelapan Seminar Antarabangsa Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia, baru-baru ini. Persidangan tahunan anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu menjadi fokus global kerana temanya pun cukup unik, Perlindungan Pelarian: Hak dan Akses kepada Pendidikan.
Bayangkan, buat julung kali aspek ilmu untuk anak pelarian menjadi tumpuan serius hampir 300 peserta dari lebih 40 negara termasuk bukan anggota OIC, berkumpul di Sepang. Malahan, penutup seminar dua hari ini menyaksikan Deklarasi Kuala Lumpur dirumuskan sebagai bukti komitmen 57 negara ahli OIC bagi membanteras kejahilan ilmu kelompok itu.
Ia sejajar hasrat Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika berucap merasmikan acara itu yang mahu diwujudkan satu mekanisme dikenali Yayasan Pendidikan Pelarian OIC. Hujahnya, beliau bimbang jika generasi muda itu gagal diasuh berteraskan Islam, minda mereka bakal diracuni gejala negatif yang menjejaskan masa depan ummah Muslim sendiri.
Pada masa sama, beliau menzahirkan kehairanan kenapa pelarian Islam lebih berminat mencari negara ‘kafir’ yang dimomok sebagai sekular untuk berhijrah bagi membina hidup baharu. Beliau juga memberi contoh situasi Malaysia ketika ini, teruk berdepan lebih 250,000 pelarian dengan majoritinya etnik Rohingya yang berlindung daripada kekejaman junta Myanmar.
Meskipun kerajaan tidak pernah meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, namun atas dasar perikemanusiaan, anak kaum pendatang itu tetap dijaga dengan baik. Usaha ini termasuk Wisma Putra memudah cara pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan pusat pembelajaran alternatif (ALC) memastikan mereka menuntut ilmu.
CUCI TANGAN
“Kita (OIC) tidak boleh ‘cuci tangan’ serah semua pelarian Islam kepada Barat kerana sistem pendidikan di sana jauh beza dan harus dilihat isu ini dari A sampai Z,” tegas Saifuddin.
Malaysia katanya, bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan Qatar yang sudi menyalurkan dana khas 50 juta dolar Amerika Syarikat (AS) bagi membiayai operasi lebih 100 ALC di seluruh negara. Pengalaman Malaysia dalam isu pendidikan kanak-kanak pelarian membuktikan kelompok itu kemudian menjadi berdisiplin dan tidak menimbulkan masalah kepada warga setempat.
Bagi bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang menjadi antara panel sesi diskusi seminar itu berkata, ilmu amat penting kerana pelarian yang jahil didapati sukar menyesuaikan diri.
Beliau yang juga bekas Utusan Khas OIC ke Myanmar memberi contoh pelarian Rohingya kerana mereka memang ‘suka’ datang ke Malaysia berbanding negara lain termasuk Barat. Kelompok ini pula dikatakan tiada hasrat berhijrah ke negara ketiga dan jika boleh menetap terus di Malaysia bagi membina keluarga dan komuniti mereka sendiri.
Justeru, beliau memuji usaha Wisma Putra ketika ini yang proaktif memudah cara pelbagai NGO mewujudkan banyak ALC untuk kanak-kanak pelarian agar mereka belajar lebih sistematik Langkah itu, bukan sahaja memberikan ilmu akademik asas seperti pengajian arus perdana, tetapi pada masa sama membimbing mereka agar dapat menghormati budaya tempatan.
Usaha murni sedemikian ujar Syed Hamid, wajar dicontohi oleh negara-negara OIC yang lain jika mahu anak pelarian itu hidup berintegrasi dengan masyarakat setempat secara lebih harmoni. – UTUSAN










