PARLIMEN telah dibubarkan. Langkah seterusnya adalah menanti tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Penentuan melaksanakan proses pilihan raya ini terletak di bawah kuasa SPR yang diberi tempoh 60 hari setelah pembubaran Parlimen.
PRU15 penting bagi mengembalikan mandat rakyat dalam membuat penentuan untuk pembentukan kerajaan baharu yang lebih stabil dan kuat bagi mentadbir dan mengurus negara secara lebih dinamik dan lancar tanpa banyak gangguan politik dari dalam kerajaan. Barisan menteri (Kabinet) sejak kebelakangan ini tidak memberikan solidirati yang kukuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO. Ini mewujudkan ketidakharmonian dalam kerajaan pimpinan beliau.
Semua parti politik seharusnya bersedia untuk ‘bertarung’ bagi mendapatkan kembali mandat daripada rakyat. Apabila disebut mandat rakyat, maka timbul persoalan terhadap sikap beberapa parti khususnya pembangkang.
Setakat saya menulis rencana ini, pembangkang mengambil pendirian untuk tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang ditadbir mereka. Sebelum ini, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas memerintah selama 22 bulan hasil mandat diberikan rakyat dalam PRU14 (2018), mereka sering menuduh kerajaan yang dibentuk selepas kejatuhan mereka sebagai ‘kerajaan tebuk atap’, ‘kerajaan pintu belakang.’ Mereka mahu rakyat diberikan semula mandat bagi memilih kerajaan baharu yang lebih stabil, dianggap lebih absah.
Nampaknya hanya pilihan raya peringkat Parlimen mereka bersedia untuk menghadapinya kerana tiada pilihan. Mereka sedar perkara ini dan menyatakan kesediaan untuk menghadapinya.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyebut, parti itu menghormati keputusan pembubaran Parlimen yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan. Namun, tidak bersedia untuk membubarkan DUN di negeri-negeri yang mereka tadbir dengan pelbagai alasan, termasuk kononnya bimbang risiko banjir yang dijangka berlaku.
BELA DIRI
Dalam pada itu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya menyebut, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak membuat permintaan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan DUN pada tahun ini dan berhasrat meneruskan pentadbiran kerajaan negeri ketika mengadap baginda pada 11 Oktober lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula berkata, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bermesyuarat pada 13 Oktober lalu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Hakikatnya, DAP, PKR dan Pas seolah-olah takut hilang kuasa di negeri-negeri pentadbiran mereka seperti Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Alasan kononnya mahu memberi fokus kepada perkara-perkara lain hanyalah ‘mekanisme bela diri’ (istilah psikologi) bagi orang yang tidak berani menerima kenyataan sebenar.
Inilah ‘psikologi pembangkang’ yang dilanda kecelaruan dan ketidakyakinan untuk mengembalikan mandat rakyat secara tuntas.
Sikap celaru jelas difahami apabila ada dalam kalangan mereka dahulunya pernah menyebut kerajaan yang dibentuk selepas kejatuhan PH adalah ‘kerajaan pintu belakang’ yang dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat. Malangnya, apabila Perdana Menteri membubarkan Parlimen atas perkenan Yang Dipertuan Agong, mereka juga mengatakan ini adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat sedangkan tindakan itu untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat supaya dapat memilih semula wakil-wakil rakyat yang mewakili parti masing-masing bagi membentuk kerajaan baharu.
BERTEMPUR
Mereka sepatutnya menyambut dengan penuh semangat untuk ‘bertempur’ dalam pilihan raya di peringkat Parlimen dan DUN apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu. Ismail Sabri juga menyatakan bahawa pembubaran ini juga bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan.
Saya kira lebih baik mereka turut sama membuat pembubaran DUN di negeri-negeri yang ditadbir kerana dengan cara itu penyelarasan melaksanakan PRU secara serentak bagi peringkat Parlimen dan DUN dapat dibuat dengan lancar. Bukankah dengan cara ini akan memudahkan rakyat (pengundi) membuat pilihan serentak bagi kedua-dua peringkat pilihan raya itu? Bukankah dengan cara ini juga akan menjimatkan kos SPR melaksanakan pilihan raya? Malah, parti-parti yang bertanding juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk menghadapi pilihan raya.
Kesimpulannya, PRU15 yang dapat dibuat secara serentak di peringkat Parlimen dan DUN akan dapat mewujudkan kestabilan politik serta mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati oleh dunia luar.
Benar apa yang dikatakan Ismail Sabri bahawa kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan. Justeru, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat untuk memberikan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










