UMUM telah pun ketahui bahawa negara kita akan menghadapi proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat. Ini susulan pengumuman pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kini semua pihak sedang menantikan tarikh-tarikh penting yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena proses PRU15. Antara tarikh-tarikh penting itu adalah berkempen sebelum tarikh mengundi.
Sepanjang proses berkempen ini, semua calon dan parti politik yang masuk bertanding akan mula menjalankan aktiviti-aktiviti kempen secara agresif bagi memikat pengundi. Apa yang menjadi kebimbangan banyak pihak adalah salah laku rasuah berlaku sepanjang tempoh ini nanti. Calon dan parti politik yang masuk bertanding dibimbangi akan menawarkan pelbagai jenis sogokan ataupun habuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi mendapatkan sokongan undi.
Oleh yang demikian, adalah penting pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil segala langkah perlu bagi memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki menawarkan atau memberi rasuah bagi mendapat sokongan undi. SPRM perlu memberi peringatan tegas dan keras terhadap semua calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang jenis sogokan atau habuan kepada mana-mana pihak.
Peringatan sama juga harus diberikan kepada rakyat khususnya para pengundi supaya tidak menerima sebarang jenis sogokan ataupun habuan daripada mana-mana calon dan parti politik. Mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan sebarang salah laku rasuah ini sama ada calon yang bertanding ataupun pengundi perlu segera disiasat, ditangkap dan didakwa di mahkamah untuk diberi hukuman setimpal. Tidak boleh ada sebarang kompromi atau belas kasihan dalam salah laku melibatkan rasuah.
SPRM yang merupakan sebuah agensi paling penting sekali dalam perang terhadap rasuah di negara kita perlu memainkan peranannya dalam isu ini. Rasuah dalam apa-apa bentuk sekalipun perlu dibanteras dengan serius oleh semua pihak. Rasuah dalam apa-apa bentuk sekalipun tidak boleh dibiarkan berlaku sekiranya kita ingin menjadikan negara ini bebas daripada rasuah.
Apa itu rasuah? Mengikut takrifan diberikan oleh SPRM, rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan di sini terdiri daripada penerimaan atau pemberian wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun dan lain-lain lagi.
MAYA
Mengikut takrifan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694) pula, suapan ertinya (a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; (b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; (c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; (d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; (e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; (f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan (g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).
Penting untuk diketahui juga, mengikut Akta SPRM 2009 terdapat empat kesalahan melibatkan rasuah yang utama iaitu meminta atau menerima rasuah (Seksyen 16 & 17a), menawar atau memberi suapan (Seksyen 17b), mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18) dan menggunakan jawatan ataupun kedudukan untuk suapan pegawai badan awam (Seksyen 23).
Secara umumnya, hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi (Seksyen 24).
SPRM perlu memantau dengan ketat kempen yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen bagi membendung sebarang aktiviti berkaitan rasuah. Proses pemantauan sama juga perlu dilakukan terhadap kempen yang dilakukan di alam maya melalui media sosial bagi membendung aktiviti rasuah.
Orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan SPRM untuk membendung aktiviti rasuah sepanjang kempen. Mereka perlu melaporkan dengan segera kepada SPRM terhadap mana-mana pihak yang menawarkan, memberi atau menerima rasuah berserta dengan bukti. – UTUSAN
DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










