Siapa yang mengusung jenazah itu? - Utusan Malaysia

Siapa yang mengusung jenazah itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH menghabiskan cuti selama empat hari di kampungnya yang terletak di Teluk Intan, Perak, Amran mahu pulang semula ke ibu kota untuk menyambung tugas. Dia rancang untuk bertolak pada waktu malam memandangkan jalan tidak sesak dengan kenderaan. Setelah bersalaman dengan keluarganya, dia menghidupkan enjin kereta dan memecut pergi.
Kebiasaannya sebelum ini setiap kali berulang alik pulang ke kampung dia akan menggunakan jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor, namun malam itu dia merancang untuk melalui lebuh raya, jadi dia akan melalui jalan Bidor-Teluk Intan sebelum keluar ke plaza tol.
Walaupun jaraknya sedikit jauh, tetapi sekurang-kurangnya dia mampu sampai awal kerana bila masuk ke lebuh raya nanti bolehlah dia pecut sedikit, berbanding jalan kampung yang banyak lampu isyarat.
Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Suasana di jalan raya ketika itu cukup lengang, rasanya hanya sebuah dua kenderaan yang berselisih dengannya sepanjang melalui jalan tersebut. Maklumlah kawasan kampung, lagipun di kiri kanan hanya ada ladang sawit dan tapak lombong tinggal sahaja.
Hujan mula rintik-rintik. Amran terus naikkan tingkap kenderaannya yang terbuka sejak tadi. Dia toleh keluar melihat pemandangan sekitar. Sesekali pancaran kilat dan dentuman guruh memecah kesunyian malam. Dia genggam stereng kemas dan memandu dengan berhati-hati.
Sesekali Amran memasang lampu tinggi kerana suasana jalan raya yang gelap gelita. Risau juga kalau-kalau ada ternakan melintas. Dalam keadaan seperti ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Hampir setengah jam memandu, kenderaannya sudah melepasi simpang ke Air Hitam-Kampar. Sesekali dia menguap sambil menggenggam kemas stereng di tangan. Namun tiba-tiba dia mengerutkan dahi. Dari sorotan cahaya lampu dia dapat melihat beberapa objek berada di jalan raya hadapannya. Dia gosok mata cuba melihat dengan jelas.
Lantas dia mengurangkan kelajuan kenderaan yang dipandunya. Walaupun jarak objek di hadapannya beberapa ratus meter di hadapan, namun dia dapat melihat jelas beberapa sosok manusia sedang berjalan kaki. Timbul perasaan pelik di hatinya ke mana pula arah tuju mereka di tengah malam dan hujan begini?
Dia sama sekali tidak memikirkan sebarang perkara buruk ketika itu cuma lebih berhati-hati. Manalah tahu kalau ada penjenayah yang ingin merompaknya di kala itu.
Sebaik sahaja kenderaannya berjarak beberapa puluh meter dengan sosok di hadapan, tiba-tiba dia tergamam. Nampak jelas lima lelaki sedang berjalan.
Langkah mereka cukup laju seakan tidak memperdulikan kenderaannya di belakang, namun tiba-tiba Amran tersentak. Dia gugup seketika.
Sah dan sahih, empat daripada lima lelaki itu sedang mengusung sebuah keranda dan seorang lagi pula berjalan di hadapan sambil memegang pelita minyak tanah.
Terlopong mulut Amran melihatnya. Dia kerling jam di pemuka kenderaan, sudah pukul 1 pagi. Jenazah siapa pula yang ingin mereka kebumikan pada waktu begini, bisiknya dalam hati.
Dia perhatikan dengan mata tidak berkerdip. Nampak jelas lima lelaki tersebut berseluar panjang hitam dan berbaju putih. Usia mungkin dalam lingkungan awal 40-an, tetapi yang peliknya tidak nampak pula ada orang lain mengiringi mereka? Tak mungkin tiada waris si mati yang turut sama menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
Secara logiknya jika berlaku kematian di kampung pastinya ramai waris si mati yang turut sama menghantar jenazah ke perkuburan, tetapi situasi yang dilihatnya ketika itu cukup pelik. Malah mengundang pelbagai persoalan.
Amran perlahankan kenderaan. Dalam keadaan seperti itu dia berasa serba salah sama ada ingin memintas sahaja mereka dan memecut pergi atau memandu perlahan dan mengekori sehingga ke tanah perkuburan. Dia tahu ada tanah perkuburan berdekatan tetapi rasanya masih jauh di hadapan.
Memikirkan untuk cepat sampai ke ibu kota, terus sahaja memintas mereka. Lantas dia memberi isyarat dan menekan minyak dengan penuh berhati-hati. Sebaik sahaja melewati kumpulan lelaki tersebut sempat juga dia mengerling.
Namun mereka langsung tidak menghiraukan kenderaannya. Kesemua mereka hanya menundukkan kepala sambil mengatur langkah dengan penuh khusyuk.
Tidak sampai beberapa ratus meter dia meninggalkan kumpulan lelaki tersebut, matanya terpandang papan tanda yang menunjukkan tanah perkuburan berada di hadapan. Sekali lagi dia perlahankan kenderaan. Risau pula kalau-kalau ada penduduk kampung yang berada di situ atau kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
Dan sebaik sahaja kenderaannya betul-betul berada bersebelahan tanah perkuburan tersebut, dia terpaku. Dia gosok mata berkali-kali cuba lihat dengan jelas di kawasan persekitaran. Suasana gelap dan sunyi. Yang kedengaran hanya sahutan unggas dan katak yang bersilih ganti. Langsung tidak nampak cahaya lampu atau sesiapa yang berada di kawasan perkuburan itu.
Amran tinjau lagi. Memang betul kawasan itu sunyi sepi. Langsung tidak nampak tanda-tanda akan adanya pengebumian di situ.
Dia mula berasa cuak. Ditolehnya ke belakang untuk melihat kumpulan lelaki yang membawa jenazah tadi sama ada sudah hampir ke tanah perkuburan tersebut atau belum, namun hujan renyai dan suasana gelap membataskan penglihatannya.
Amran masih tidak berpuas hati. Terus dia pusing semula kenderaannya ke arah kumpulan lelaki tadi. Niatnya hanya untuk memastikan apa yang dilihatnya tadi adalah realiti.
Dia pandu perlahan sambil matanya tekun memandang ke arah jalan raya yang terbentang gelap di hadapan. Namun semakin lama jantungnya mula berdebar kencang. Kumpulan lelaki yang mengusung keranda tadi langsung tidak kelihatan.
Dia tekan minyak perlahan-lahan, rasanya sudah hampir satu kilometer dia membuat pusingan namun jalan raya tetap sunyi sepi. Serta merta tangannya menggeletar. Fikirannya mula merewang jauh memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Tanpa berfikir panjang dia terus pusing semula kenderaannya dan memecut laju. Amran sudah tidak peduli tentang keadaan jalan raya yang licin ketika itu. Dia ingin cepat sampai ke lebuhraya. Dia tahu ada sesuatu tidak kena ketika itu.
Walaupun kenderaannya sudah jauh meninggalkan kawasan itu, namun fikirannya masih menerawang jauh memikirkan kejadian sebentar tadi. Dia masih terbayang kumpulan lelaki yang mengusung jenazah tadi.
Adakah mereka manusia atau sebaliknya? Semuanya menjadi persoalan. Dan yang paling utama dia sudah nekad tidak akan melalui lagi jalan tersebut pada waktu tengah malam. Ini adalah kali terakhir. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya