PETALING JAYA: Pengundi Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dijangka memilih Perikatan Nasional (PN) bagi memperjuangkan suara penduduk di kawasan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, keyakinan itu berikutan terdapat 12,700 pengundi Melayu daripada 40,226 keseluruhan pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu.
Oleh itu, menurut beliau, adalah tidak mustahil pengundi Melayu menunjukkan solidariti undi kepada calon PN kerana DUN KKB di bawah Parlimen Hulu Selangor dimenangi wakil rakyat PN serta dua DUN lain iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali juga milik PN.
“Perlu diingatkan, sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, PN mendapat peningkatan undi 30.85 peratus sekali gus menunjukkan peralihan sokongan berlaku walaupun tewas,” katanya,
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka akan lebih memfokuskan isu rakyat dan kegagalan kerajaan dalam membangunkan masa depan negeri serta negara.
“Banyak isu alam sekitar di Selangor gagal ditangani secara berkesan seperti kilang haram, kebajikan kawasan penduduk flat dan setinggan serta isu pembangunan di Kuala Kubu Baharu,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu yang akan menjadi tumpuan utama Pas untuk memenangi PRK di Kuala Kubu Baharu. – UTUSAN









