PUTRAJAYA: Kejayaan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 membuka peluang kepadanya untuk diserapkan dalam program Fast Track di bawah inisiatif Road to Gold (RTG).
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan mengenai perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan dalam masa terdekat.
Jelasnya, program yang diwujudkan itu sememangnya objektif utama adalah menyenaraikan sebanyak mungkin atlet-atlet yang berpotensi meraih emas di Sukan Olimpik.
“Saya ada lihat kenyataan Datuk Amarjit (Singh Gill) iaitu mereka hendak melihat Nurul Izzah dimasukan dalam program Fast Track dan saya juga ada melihat komen John Beasley mengatakan bahawa Nurul Izzah mempunyai masa depan yang sangat cerah.
“Untuk kita dalam jawatankuasa RTG memang mengalu-alukan lebih ramai atlet yang berpotensi untuk menang pingat emas bukan sahaja di Paris tetapi Los Angeles 2028.
“Setakat ini kita ada skuasy dan terjun. Kita akan mengadakan mesyuarat untuk mempertimbangkan dan melihat kriteria-kriteria kerana jawatankuasa RTG ini bukan menteri sahaja mempengerusikan turut ada Tan Sri Norza (Zakaria) dan jawatankuasa akan buat keputusan.
“Hasrat saya untuk melihat sebanyak mungkin kerana kita nak lebih ramai atlet mempunyai potensi untuk membawa balik pingat emas dan dia bukan eksklusif kelab. Sesiapa ada potensi kita akan melihat dan pertimbangkan kriteria mereka,” jelasnya. – UTUSAN










