Beregu jadi sandaran pungutan mata

Beregu jadi sandaran pungutan mata

Tan Boon Heong percaya Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mampu memberikan saingan pada Kejohanan Piala Thomas 2024 yang akan berlangsung di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Tan Boon Heong menyifatkan pasangan beregu mempunyai kele­bihan menyumbang mata penting ke­pada skuad negara di Piala Tho­mas yang membuka tirai 27 April ini.

Pemegang rekod smash terlaju dunia selama 14 tahun itu, mengakui prestasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berada pada tahap maksimum dan mampu tampil potensi sepenuhnya di kejohanan itu.

Boon Heong turut mendedahkan peningkatan yang memberangsangkan menerusi Sze Fei-Nur Izzuddin semasa Kejohanan Asia di China ming­gu lalu akan mengeluarkan potensi sebenar sepenuhnya ketika saingan temasya dua tahun sekali itu.

“Piala Thomas kali ini, saya lihat kita mempunyai dua pasangan yang mampan. Sze Fei-Nur Izzuddin prestasi mereka semakin meningkat selepas aksi terbaik ketika Kejohanan Asia minggu lalu.

“Bagi Aaron-Wooi Yik mereka hanya perlu mengasah semula dan mengekalkan rentak mereka selepas aksi terbaik mereka di All England dan Kejohanan Asia.

“Acara perseorangan saya berharap mereka beraksi dalam keadaan terbaik. Diharap mereka dapat bina keyakinan yang tinggi untuk membantu sema­ngat juang berpasukan,” kata Boon Heong kepada Utusan Malaysia.

Pada Kejohanan Asia di Ningbo, China minggu lalu Sze Fei-Nur Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik mendominasi kejohanan dengan masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Dalam pada itu, Boon Heong turut berkata bukan dua pasa­ngan itu menjadi keutamaan, malah kunci kejayaan mereka adalah semangat berpasukan yang diberi semasa kejohanan itu berlangsung.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, ikatan erat antara pemain itulah yang menjadi sebahagian besar kejayaan semasa meraih perak ketika edisi 2014 di India.

“Semasa beraksi 2014 kami tidak begitu kukuh tetapi ikatan kami sangat erat. Peluang itu muncul dan kami mengambil peluang itu dengan baik.

“Pasukan kali ini saya lihat seimbang. Barisan pemain perlu ada semangat keyakinan yang tinggi dalam diri mereka dan percaya mereka mampu mengambil peluang itu,” katanya.

Malaysia membuka kempen Piala Thomas 2024 menentang Hong Kong pada Sabtu ini menerusi Kumpulan D.

Untuk rekod, pasukan badminton kebangsaan menjuarai Piala Thomas sebanyak lima kali menerusi edisi 1949, 1952, 1955, 1967 dan kali terakhir menjuarai kejohanan terbabit pada tahun 1992.

Pemain sebelum ini ditawarkan ganjaran sekiranya berjaya membawa pulang Piala Thomas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN