BENAR, kali ini benar – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ibu segala pilihan raya. Siapa yang menang, akan terbang tinggi. Yang tersangkut, berkubur terus.
Kali ini, tradisi politik terpaksa dilanggar terus. Tiada lagi takut-takut, gusar berdepan risiko.
Tidak fikir lagi dambakan kerusi selamat kerana sebilangannya juga mahu tunjukkan dirinya si giant killer atau pembunuh gergasi. Lantas ‘terbang jauh’ ke kerusi Parlimen tertentu untuk tunjukkan taring mereka. Tambun, Gombak, Titiwangsa antara menyaksikan senario ini?
Istilah calon-calon serta parti yang bertanding PRU kali ramai bertaraf underdog, heavyweight atau giant killer serta barangkali kononnya kingmaker – sudah berkembang di panggung pergaulan dunia politik.
Kepada setiap 21.1 juta pengundi kelak, renungkanlah, tatapkanlah dan nilaikanlah wajah-wajah yang serahkan borang penamaan calon di kawasan anda pada Sabtu 5 November ini.
Sudah tiba masanya Malaysia mempraktikkan politik ilmu, bukannya ‘politik ampu,’ Politik hikmah, bukannya politik fitnah. Dan politik bakti, bukan pula politik undi.
ADILKAH?
Adakah tindakan pelaku ‘si giant killer’ ini tidak praktikal? Adilkah kepada lawan mereka iaitu calon di situ yang selama ini berjasa kepada kawasan pengundinya? Selama bertahun-tahun menabur bakti di situ, tiba-tiba datang entah dari mana kelibat orang itu mahu menjadi si giant killer pula?
Dalam situasi hari ini, kalau seseorang calon atau pasukan jenteranya bekerja keras untuk penduduk setempat dan rakyat kawasannya, insya-Allah, jasa mereka akan dikenang. Tetapi kalau melilau atau melolong dengan tiba-tiba muncul menawarkan diri, turun sebagai ‘payung terjun’ untuk dipilih semula, tetapi kali ini di tempat asing, bukankah jadi ‘kacau’ pula?
Seingat kita PRU13 agak ketara menyaksikan tewasnya beberapa calon heavyweight di arena politik di tangan calon tidak ternama.
Antara yang tewas ialah calon Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kini Yang Dipertua Negeri bergelar Tun).
Pas turut memperoleh nasib hampir sama apabila beberapa pimpinan tertinggi parti itu tewas, termasuklah yang berjawatan Timbalan Presiden Pas waktu itu, Mohamad Sabu, dua naib presidennya, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub. PKR menyaksikan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tewas.
Jika dulu-dulu, pemimpin politik yang sentiasa bergerak dari kawasan Parlimen ke kawasan Parlimen yang lain sehingga merentas ke luar dari negeri berkenaan satu-satunya adalah Kit Siang. Sebelum masuk gelanggang, dikatakan dia ‘sudah tahu hujung pangkal angka undi bakal diperolehnya.’ Big data di tangannya meskipun kita maklum semua kerusi yang ditandinginya ramai penyokong tegar parti itu.
Kit Siang sahaja sejak 1969 lagi hingga PRU 2018 telah bertanding banyak kawasan berbeza dalam pilihan raya. Lima negeri, lapan kerusi Parlimen dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dijelajahi veteran DAP yang akhirnya memuktamadkan persaraannya dalam usia 81 tahun Mac tahun ini. Kelibat ini nampaknya kini banyak diikuti mereka daripada parti tertentu untuk PRU15 kali ini.
UJI KEKUATAN
Suatu ketika (yang sebenarnya ‘banyak ketika’ dalam politik), tidak ada kelibat ‘si giant killer’ yang terbang jauh ke kawasan pengundi yang asing buatnya untuk menguji kekuatan di pasaran.
Istilah yang ada waktu itu yang lebih enak didengar cuma underdog. Underdog nampaknya lebih realistik untuk dipegang mana-mana calon. Sejak awalnya, underdog memang ditujukan sebagai ungkapan rasa simpati terhadap suatu kelompok kecil yang didera diskriminasi, pejuang hak asasi dan memberontak terhadap penguasa.
Lalu istilah ini berkembang pemakaiannya sebagai kiasan simpati terhadap seseorang atau kelompok dalam suatu kumpulan politik dan olahraga – lalu muncul dan hadir sebagai pemenang.
Calon bukan pilihan atau underdog ini pasti akan muncul dalam setiap pilihan raya. Apa yang membezakan calon-calon bukan pilihan ini adalah kemampuan dan keterampilan mereka untuk menggugat calon pilihan dan menjadi calon giant killer.
Kalau di Kedah, bakal calonnya dikatakan mestilah memiliki ciri-ciri bak kata orang Kedah – kelolo, hemoi, tak perongoih sebaliknya senang didampingi.
Masihkah kita ingat dengan penangan Datuk Othman Abdul dari BN mengalahkan giant killer Pas ketika itu, Mohamad Sabu di kerusi Parlimen Pendang pada 2013? Antara faktor kuat Othman menang kerana dia tidak kekok untuk turun sampai ke kedohok apabila menghadiri majlis-majlis kenduri termasuk kenduri dari penyokong Pas selain sikap bersahajanya yang disenangi ramai.
Paling penting, kepimpinan mana-mana parti pun dalam PRU15 ini jangan lagi melayan kehendak pemimpin dan calon ‘kitar semula’ untuk tumpang tui. Jangan sampai pengundi tengok pun cemuih atau jemu. Kali ini beranilah tampilkan calon wataknya adalah calon rakyat. Pendek kata, boleh belemoih dan begelomiang dengan rakyat.
Dan kalau di Kedah, kata pemerhati kepada saya baru-baru ini: “Kalau depa nak menang, depa kena buat kelaku (perangai) elok, sebab sejarah dah tunjuk dah, pengundi Kedah boleh kalih.”
Dan bagaimana pula dengan istilah kingmaker? Apakah ada parti dalam PRU15 ini nanti akhirnya terpaksa ‘mengorbankan’ parti sekutu dalam gabungannya untuk bertindak sebagai kingmaker atau broker pada malam keputusan 19 November? Dengan parti itu memiliki akar umbi yang tidak kurang utuhnya sejak puluhan tahun, tidak mustahil kejutan berlaku.
Apapun kategori calon – sama ada underdog, heavyweight atau giant killer sekali pun, kecekapan anda menangkis tohmahan, propaganda dan psywar adalah cabaran hebat yang perlu diharungi. Hujah-hujah yang diterampilkan mesti dekat di hati.
Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:
Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok, kedua pandai. – UTUSAN










