PRU15: Pilih BN, PN atau PH?

PRU15: Pilih BN, PN atau PH?

pru15
Tanggungjawab memilih sebuah kerajaan yang stabil kini terletak di tangan kira-kira 21.2 juta pengundi berdaftar yang akan keluar mengundi pada pertengahan bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak lama lagi, mungkin pada pertengahan November, kita sekali akan memilih kerajaan untuk memimpin dan mengemudi negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Ini satu keputusan yang sangat penting.

Supaya sesiapa sahaja menjadi kerajaan selepas ini mampu membawa Malaysia mengharungi apa juga badai, terutama gelora ekonomi yang dijangka menjadi lebih serius pada tahun depan.

Sebagai persiapan menghadapi badai ini kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil. Kerajaan yang berupaya merangka dasar-dasar pragmatik, polisi-polisi berkesan dan pentadbiran yang diyakini serta berintegriti bagi memastikan segala masalah dapat diatasi secara terancang dan tersusun.

Pada masa ini masih terdapat lebih 600,000 rakyat kita yang menganggur, graduan susah mendapat kerja; harga makanan asas seperti ayam, ikan dan daging tidak stabil dan para petani seperti pesawah dan penoreh getah hidup mereka terus tertekan.

Selain itu ringgit kita terus merudum berbanding dolar Amerika Syarikat yang menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sengsara dan lain-lain lagi isu ekonomi yang memerlukan dasar mantap untuk kita atasinya.

Untuk keluar daripada segala kemelut dan pada masa sama sedia berhadapan dengan gelora tahun depan, tanggungjawab utama terletak di hujung hampir 21.2 juta pengundi berdaftar yang akan memilih kerajaan pada bulan depan. Sudah tentu banyak pertimbangan yang akan dilakukan dalam memilih kerajaan.

Ada yang akan mengundi kerana marah dan dendam. Ada pula kerana kecewa dan ada memilih pemimpin kerana sentimen. Jika semua kriteria ini diguna pakai ketika kita memangkah untuk memilih kerajaan pada bulan depan, jangan harap ia akan dapat membantu negara keluar daripada segala kemelut.

Jika mahu membetulkan segala kebobrokan yang berlaku pada negara kita sekarang terutama daripada segi ekonomi, kita memerlukan sebuah kerajaan stabil. Yang bebas daripada ancaman dan ugutan, yang boleh fokus kepada mentadbir dan menguruskan negara.Bukannya hanya politiking sepanjang masa, hingga sesak nafas rakyat dibuatnya dan negara hanyut entah ke mana.

Selepas PRU15 kita tidak mampu lagi untuk melihat perdana menteri bertukar setiap bulan atau setiap tahun. Kita tidak mampu untuk mengulangi kisah kerajaan pintu belakang, tebuk atap, Langkah Sheraton dan sebagainya.

Kita memerlukan sebuah kerajaan yang mantap, stabil dan fokus kepada usaha pemulihan untuk mengembalikan Malaysia menjadi Harimau Asia.

Tapi apa pilihan yang kita ada? Realitinya kita tidak mempunyai banyak pilihan. Hanya ada tiga pakatan utama yang perlu dipilih oleh para pengundi untuk menjadi kerajaan pada PRU15 ini iaitu sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sejak dari awal negara kita kita tidak pernah ditadbir secara solo. Sejak daripada pilihan raya umum yang pertama diadakan pada 1955, negara hanya boleh ditadbir melalui satu pakatan.

Daripada Parti Perikatan yang menang pilihan raya pada 1955, kemudian menjadi BN yang memerintahkan hingga 2018, diikuti dengan PH selama 22 bulan dan kemudiannya PN 18 di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kira-kira 14 bulan di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Maknanya, semua ketiga-tiga pakatan ini – BN, PN dan PH – sudah mempunyai pengalaman mentadbir negara. Masing-masing daripada kita sudah merasai pengalaman duduk di bawah tiga pemerintahaan yang berbeza ini.

Walaupun negara lebih lama berada di bawah pemerintahan BN berbanding PH dan PN, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah tahu paten dan hala tuju yang bakal dibawa jika salah satu daripada pakatan ini dipilih menjadi kerajaan.

Pakatan yang macam mana yang kita mahu pilih? Dalam kalangan ketiga-tiga ini, BN adalah pakatan yang paling lama. Ditubuhkan pada 1 Januari 1973 bagi menggantikan Parti Perikatan.

Gabung utamanya adalah UMNO (mewakili Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India). Gabungan utama ini masih kekal hingga ke hari ini.

Dan gabungan mereka ini ibarat perkahwinan uda dan dara yang sudah bertahan 50 tahun. Maknanya ia sebuah ‘perkahwinan’ yang matang. Yang sudah melalui segala onak dan duri, namun masih kekal.

Pakatan dalam BN bermula bukan untuk kuasa, tetapi demi perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sebelum merdeka. Pakatan ini skalanya cukup besar hingga pada satu ketika dianggotai 14 parti komponen.

Namun sejak 2008, pakatan dalam BN makin goyah hingga membawa kepada kejatuhannya pada 2018 – selepas lebih 60 tahun mentadbir negara. Dalam tempoh itu pencapaiannya cukup jelas.

Daripada Malaysia sebuah negara pertanian mampu muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi Asia sebelum ia terjejas akibat krisis ekonomi pada 1998.

Pada 2018 BN ditumbangkan oleh PH yang ditubuhkan pada 2015 dengan satu matlamat yang nyata iaitu menghalang BN daripada terus berkuasa. PH muncul selepas beberapa formula pakatan dalam kalangan parti pembangkang gagal.

Sebelum PH ia adalah Pakatan Rakyat yang tunjangnya adalah PKR, DAP dan Pas, Ia ibarat kahwin lepas itu bercerai dan kahwin semula.

Pun begitu perkahwinan dalam PH hanya bertahan lima tahun. Kerajaan yang mereka bina pula sekadar bertahan 22 bulan sebelum berlaku ‘perceraian’ sekali lagi yang membawa kepada pembentukan PN.

PN wujud kerana Bersatu ‘menceraikan rakan-rakan lain untuk bergabung membentuk kerajaan bersama BN dan Pas.

Sebagai pengundi, semuanya di tangan kita sama ada mahu memilih ‘pasangan uda dara’ yang sudah hampir 50 tahun bertahan, pasangan yang kahwin cerai, atau pasangan kahwin lari yang membentuk kerajaan pintu belakang tanpa mandat sebenar dari rakyat.

Dayung sudah di tangan perahu sudah di air, ke arah mana yang hendak tuju kita yang tentukan. Dalam memilih kerajaan jangan pula jadi seperti lembu dicucuk hidung. Ikut membuta tuli sampai tidak peduli baik atau buruk.

Semoga kita memilih pakatan yang terbaik untuk memimpin negara. Jangan sekadar indah khabar dari rupa.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN