Perkasa TVET pertanian demi makanan untuk rakyat

Perkasa TVET pertanian demi makanan untuk rakyat

AGENDA pertanian negara terus diperkukuhkan dengan pendekatan baharu agar lebih dinamik, berdaya saing, bercorak komersial, ekonomik dan berteknologi tinggi. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIJAUAN terbentang saujana mata memandang di alam Nusantara ini menurut Moustapha Abbas (2020) telah menjadi kuasa magnet sehingga tanah dan laut kita didatangi dan diteroka oleh pelbagai pihak khususnya kuasa-kuasa besar Eropah, Ini termasuk sarjana Russia, N.N. Miklukho Maklai yang mendapat perkenan Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar. Beliau amat berminat meneroka isi alam Melayu ini antaranya botani dan zoologi.

Lebih mengujakan iaitu daripada perkongsian Rosmahwati Ahmad Zakaria (2021) bahawa manuskrip Melayu berkaitan ilmu cucuk tanam ada tersimpan di Russia. Tidak bertamakninah di sini, bidang agro atau pertanian terus sahaja menjadi mauduk utama bagi kuasa Eropah untuk meneroka potensi dan prospek lebih besar dan meyakinkan.

Jerman contohnya, antara kuasa Eropah yang didiamkan dalam arena sejarah kita. Mereka turut menerobos belantara dan meneroka pertanian di alam Nusantara ini. Hampir memajak Pulau Langkawi dengan mengeksport hasil pertanian pada pertengahan abad ke-18.

Gahnya jenama Behn Meyer hari ini adalah hasil kejayaannya sebagai pengedar produk tropika yang dieksport ke negara asal iaitu minyak kelapa, kopra, lada hitam, camphor, rotan, beras dan bijih timah (Shakila Yakob),

Dalam memimpin teknologi dan vokasional, German-Malaysia Institute (GMI) yang ditubuhkan pada 1991 merealisasikan cita-cita Jerman untuk melebarkan teknologinya tanpa sempadan. Selain itu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus meraih semangat setia kawan teknologi Jerman.

Sejarah pertanian oleh Jepun di Johor juga tidak kurang menarik. Menurut Kassim Thukiman (1994), Retsunosuke Kawashima telah memajak kawasan hutan seluas 150,000 ekar di Muar untuk penanaman padi dan tanaman komersial lain.

Sebelum itu pada 1878, sahabat baik Sultan Abu Bakar, Syed Muhammad Alsagoff dikurniakan tanah di Kukup bagi merealiasikan konsesi Ladang Constantinople untuk penanaman getah, kelapa, koko, sagu, nanas, kopi, gambir dan lada hitam. Ekonomi pertanian yang dipacu dari ladang ini mewarnai gemilang ekonomi Johor Moden sehingga terkenal di seluruh dunia.

Kecekapan dan kebijaksanaan pentadbiran Sultan Abu Bakar dengan kongsi-kongsi Cina dalam penanaman gambir dan lada hitam menerusi surat sungai dalam sistem Kangcu memberikan impak ekonomi lebih besar kepada negeri itu.

Kehadiran British selepas itu lebih tertarik kepada benda dari dalam perut bumi berbanding pepohon menghijau. Bijih timah dan kuasa politik adalah kebertuahan amat luar biasa berbanding pohon-pohon menghijau.

KELUARGA MALAYSIA

Demikian antara ranting-ranting sejarah pertanian negara. Sebut sahaja MAHA, MARDI, RISDA, FAMA, Felda, Felcra, Sime Darby, IOI Plantations dan beribu-ribu lagi jenama agro yang cukup signifikan kepada Keluarga Malaysia, sudah tentu masa depan terhadap sektor ini terbuka luas dan menanti untuk ditenagakan oleh generasi seterusnya.

Fenomena berlaku pada hari ini, pelbagai persepsi tentang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) disampaikan. Antaranya pertanian menjadi pilihan terakhir pelajar, mungkin kerana kita tidak mendedahkan prospek dan potensi bidang berkenaan secara optimum dan cerdas, khususnya dalam meneliti kembali sejarah yang dikongsikan tadi.

Pemerkasaan TVET pertanian dilihat sangat signifikan bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara dan pembentukan budaya pertanian dalam kalangan masyarakat. Seringkali pandangan skeptikal bahawa bidang pertanian tidak menjanjikan kerjaya stabil dan pulangan pendapatan lumayan.

TVET merupakan satu bidang pendidikan yang telah lama dilaksanakan dalam kalangan negara-negara maju dan terbukti berjaya untuk memperkembang ekonomi dan pembangunan sumber manusia berkemahiran. Amatlah besar harapan tidak timbul lagi prasangka mempelajari TVET menjadikan seseorang berasa rendah diri. Sektor pertanian pula sebagai kerjaya pilihan terakhir. Tidak pasti hala tuju selepas belajar. Itulah stigma yang berlaku kepada golongan pelajar kerana kurangnya pendedahan pilihan kerjaya jika mereka memilih TVET apatah lagi dalam sektor pertanian.

Kejayaan sesebuah negara sering diukur melalui kemampanan sektor ekonominya. Lebih menguntungkan negara tersebut adalah keupayaan menghasilkan makanan untuk rakyat sendiri dan mampu mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan.

Sektor pertanian sehingga bila-bila masa pun amat penting dan tidak boleh dipinggirkan, apatah lagi ia merupakan penyumbang utama sumber makanan negara. Sehubungan itu, agenda pertanian negara terus diperkukuhkan dengan pendekatan yang baharu agar lebih dinamik, berdaya saing, bercorak komersial, ekonomik dan berteknologi tinggi.

Sektor pertanian kini adalah teras ketiga ekonomi negara seperti mana digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Selwain itu, sektor pertanian juga telah pun digariskan sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) (Pemandu, 2011).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masih terdapat beberapa isu yang perlu ditambah baik. Ia meliputi akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET perlu dipandang serius untuk kemajuan pendidikan negara. Jelasnya, TVET dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Ini kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan seperti mana negara-negara maju lain. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) & Felow Majlis Profesor Negara. Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×