Masih tebalkah jati diri Melayu lulusan universiti Barat?

Masih tebalkah jati diri Melayu lulusan universiti Barat?

RAIS Yatim (kiri) menghadiri Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI, China sudah bangkit semula di bawah rejim politik baharu. Segala macam keupayaan sudah tersohor susulan pengajian tempatan mereka. Ekonomi, sains, teknologi, disiplin sosial, invensi suria, angkasa lepas, genetik, ilmu marin dan ratusan subjek lain sudah dijelmakan untuk membuktikan tamadun mereka akan mengalahkan Amerika Syarikat (AS) dan Barat.

Bagi generasi mendatang Malaysia, tidak harus berpeluk tubuh dan terus berderet mengambil kesarjanaan dari Oxford, Cambridge, London, Yale dan Boston. Ilmu dari sebelah sana harus diadunkan dengan yang di China, Jepun dan Korea. Dari sudut pembudayaan Timur akan beroleh perimbangan setimpal dengan yang ada di Barat.

Dalam pada itu, universiti dan pusat pengajian Islam harus menerima hakikat mereka sentiasa mengekori pengajian tinggi Barat dengan penggredan yang tidak kunjung naik dari hitungan dunia Barat.

Sedangkan dalam segmen pengajian Islam, masih berbaki dengan banyak sektor pengajian yang belum terhurai dan diketahui.

Dari sekitar 400 ke 500 graduan pengajian tinggi yang pulang saban tahun dari pusat-pusat pengajian tinggi Barat, boleh sahaja dinilai berapa orang yang masih tebal pegangan budaya dan bahasa Melayunya.

Kita tidak pernah membuat penelitian ini.

Tahun demi tahun dalam zaman mendatang, banyak sifat asas masyarakat kita akan berubah pengamatan dan amalan budayanya, bahasanya, anggapannya terhadap tanggapan dunia.

Amat mudah difahami senario sesebuah negara yang begitu taksub dengan kemampuan universiti Barat sehingga 500 orang setahun yang pulang ke Malaysia dari AS, United Kingdom (UK), Eropah akan sentiasa punya kecenderungan mengagungkan alma mater dan ilmu yang masing-masing ceduk sehingga jati diri asal mereka tertinggal.

Mereka lulusan luar negara tentunya akan meneruskan bahasa Inggeris dengan cara alma mater ke tahap lingua franca dan perhubungan sesama sendiri. Bercakap separuh Melayu dan separuh Inggeris akan berterusan.

Dalam pada itu, ilmu cambahan dalam negara ini tidak menokok sebab kita sentiasa meniru orang. Oleh kerana pengaruh bahasa Inggeris itu dari segi subjek sains dan matematik serta teknologi berterusan, sepatutnya tenaga pengajar yang turut pulang dari Barat itu harus diolah langkah menerbitkan asuhan pendidikan dalam bahasa dan budaya Melayu.

Budaya Melayu tentu menipis, justeru jati dirinya akan lebih cenderung kepada pendidikan Barat. Jika mengaji di Mesir atau China, trend ini juga akan bersamaan. Namun, hasilnya ialah dari segi sebenar budaya AS, Britain, Kaherah, Shanghai, Jepun dan Korea berosmosis dengan ilmu masing-masing.

Yang penting, Malaysia beroleh kepakaran dan bancuhan jati diri baharu. Kementerian Pengajian Tinggi harus berdepan dengan dilema ini. Sementara kecenderungan ini tidak dapat diubah secara paksaan lantaran adanya kebebasan memilih institusi pengajian masing-masing, suatu usaha perimbangan amat perlu dilakukan.

POLITIK

Langkah pertama ialah memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di samping kebolehan berbahasa Inggeris dan Mandarin atau Tamil. Minda ke arah ini mesti menebal dan beroperasi menerusi Kementerian Pendidikan jika mahukan zaman hadapan berteraskan jati diri, ilmu berteraskan bahasa Melayu dan meningkatkan tamadun berasaskan bahasa.

Di peringkat ini, hakikat tamadun tinggi akan hanya dicapai jika bahasa sesuatu bangsa itu terus maju dan beroleh taraf bahasa ilmu. Memperkasakan bahasa kebangsaan sesuatu negara ke tahap bahasa ilmu amat sukar dalam jangka pendek dan memerlukan pengorbanan efikasi politik – satu-satunya jentera sosial yang berupaya merubah fabrik tamadun negara bangsa.

Masalah paling besar dan berat ialah segala-galanya tampak seolah-olah politik mempengaruhi semua aspek kehidupan. Dan politik didapati tidak mengamalkan nilai-nilai jati diri bersih sahsiah, bersih rasuah, nilai-nilai murni yang dijenterakan budi bahasa dan adab Islam. Prinsip-prinsip akhlak Islam tidak dihormati lagi. Senario kepimpinan politik Melayu khasnya sudah menonjolkan beberapa realiti teruk – nak jadi pemimpin hebat mesti main rasuah; nak kaya cepat gunakan falsafah jenayah tak salah, bila ditangkap baru salah.

Nilai perjuangan kita sudah rosak. Berkerajaan politik mesti diperbaiki semula – nak memperjuangkan bahasa Melayu, nak mengisi kemerdekaan, nak mempopularkan tulisan Jawi, nak mengatasi inflasi dan harga barang melambung tinggi. Semuanya dikaitkan dengan politik. Tetapi politik Melayu itu sudah berkecai. Pemimpin tertinggi negara yang pegang kuasa tertinggi politik juga terkait, kejatuhan imej bangsa lantaran rasuah juga dicekik politik.

Indonesia dan Malaysia harus bersama mengharung soal dan masalah perubahan sistem nilai ini yang kebanyakannya dipengaruhi oleh pendidikan yang diterima. Apakah Malaysia dan Indonesia mampu bersama mengolah sistem nilai masing-masing secara UK dan AS lakukan? Ini harus diselesaikan melalui politik wilayah antara kedua-dua negara. Seharusnya kedua-dua negara yang sebelum 1945 bersatu dalam banyak hal sosiobudaya termasuk bahasa amat wajar menyambung kembali benang pencono yang sudah genting dan putus-putus.

Banyak jawapan yang ditimbulkan di atas terletak kepada sistem politik tanah air kini dan zaman mendatang. Kepada orang Melayu dan bumiputera, nilai-nilai positif yang ada dalam Islam dan asid deoksiribonukleik (DNA) sosiobudaya masing-masing mesti dijadikan penggalak dan pemangkin. Namun, mereka mesti menuju kepada dalam pengajian ilmu tinggi dan olahan budaya tinggi. Kepada masyarakat Tionghoa dan India, mereka akan menimba daripada sistem yang mereka nilai menguntungkan kelompok mereka.

Ikut manapun orang Melayu, tidak dapat lari daripada pengaruh luaran dunia. Jika larutan yang ada dalam jiwa dan pendidikan Melayu lemah, proses osmosis budaya akan menyedut larutan mereka dan merubah mereka kepada masyarakat yang akan mudah dipeletok oleh pihak-pihak lain sebab mereka tidak lagi nampak akan kekuatan tamadun 10,000 tahun dahulu. – UTUSAN

TAN Sri Dr. Rais Yatim ialah Yang Dipertua Dewan Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×