‘Lambat diatasi, tentera kita akan terus mundur’

‘Lambat diatasi, tentera kita akan terus mundur’

MOHD. REZA MOHD. SANY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

HARAPAN Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pembentangan Bajet 2023, Jumaat ini, sudah tentu diberikan peruntukan mencukupi bagi pembangunan aset baharu dan penyelenggaraan peralatan sedia ada.

Dalam wawancara sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Pasukan Khas Laut (Paskal), Panglima Tentera Laut (PTL), LAKSAMANA TAN SRI MOHD. REZA MOHD. SANY berkata, kerisauan paling utama beliau adalah isu keusangan aset dan bajet untuk selenggaraan yang sentiasa terhad menyebabkan amat sukar untuk pihaknya mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau berkata, situasi semasa TLDM dalam menjaga keselamatan maritim umpama ditugaskan menebang pokok tetapi hanya diberikan pisau cukur atau gergaji tangan.

“Jika ia tidak diatasi dengan segera, TLDM akan terus mundur ke tahap yang sukar untuk dibangunkan pada masa akan datang,” tegasnya.

UTUSAN: Apa harapan Tan Sri daripada Bajet 2023?
MOHD. REZA: TLDM sangat-sangat berharap agar kerajaan mengambil kira senario keselamatan serantau dan global serta memberikan perhatian sewajarnya terhadap pembangunan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM khususnya. Selain aspek pembangunan aset, kerajaan juga perlu ambil kira kesiagaan aset-aset sedia ada agar ia sentiasa bersedia untuk ditugaskan pada sebilang masa. Aset sedia ada ini perlu diselenggara dan selenggaraan memerlukan peruntukan yang mencukupi.

Apa yang dimaksudkan adalah saya amat berharap peningkatan bajet pertahanan daripada satu peratus ke 1.5 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebagaimana dihasratkan oleh Panglima ATM akan menjadi kenyataan mulai tahun hadapan. Jika ia tidak diatasi dengan segera, ATM amnya dan TLDM khususnya akan terus mundur ke tahap yang sukar untuk dibangunkan pada masa akan datang (unsustainable). Harus diingat, pembangunan keupayaan ketenteraan tidak boleh diperoleh dalam masa yang singkat dan boleh dibeli di pasaran terbuka (commercial off-the-shelf). Untuk meningkatkan semula kesiagaan ketenteraan ke tahap yang tinggi akan memakan masa lama kerana peralatan ketenteraan adalah unik dan mengambil masa lama untuk dibina dan dibangunkan.

Apa perkara atau isu yang sentiasa menjadi kerisauan Tan Sri sewaktu menerajui TLDM?
Ada banyak perkara yang merisaukan saya sebagai PTL tetapi yang paling utama adalah tahap kesediaan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Secara umumnya, keusangan aset ATM sentiasa mendahului pembangunan/perolehan aset baharu. Di samping itu, bajet untuk selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad. Dengan keadaan sedemikian, amat sukar untuk ATM/TLDM mempertahankan kedaulatan negara.

Banyak yang kita boleh pelajari dari sejarah kejatuhan Melaka, era konfrontasi, era ancaman Parti Komunis Malaya dan insiden pencerobohan Lahad Datu. Juga peristiwa kejatuhan negara-negara di Asia Barat dan terkini ialah operasi ketenteraan Russia di Ukraine turut merisaukan saya dari segi keupayaan ATM memelihara kedaulatan dan melindungi negara daripada ancaman luar. Mungkin kerisauan saya ini tidak berasas, harap-harap begitulah.

Sebilangan besar masyarakat berpendapat, Malaysia sebuah negara yang aman dan tiada musuh yang mana kemungkinan untuk berperang dengan mana-mana negara adalah mustahil. Apa pendapat Tan Sri?
Dunia kini berada dalam satu situasi dikenali sebagai VUCA, V bermaksud volatility (pergolakan), uncertainty (ketidakpastian), complexity (kompleks) dan ambiguity (kekaburan/kesamaran). Ia adalah satu situasi di mana senario keselamatan yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah dalam masa singkat serta sukar diramal.

Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berdepan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut. Aktiviti-aktiviti ini boleh mengganggu-gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara. Ia menuntut TLDM memberi tindak balas atau respons sewajarnya bagi mengatasi ancaman-ancaman sedemikian. Keterbatasan dan keusangan aset agak menggusarkan saya kerana ia menjejas kredibiliti TLDM sebagai angkatan laut yang mampan dan sentiasa siaga.

Saya suka menggunakan ungkapan bahawa pertahanan adalah insuran dan merupakan satu jenis pelaburan. Kerajaan harus melakukan pelaburan pertahanan (defence investment) agar jika berlaku perkara-perkara tidak diingini, negara mampu bertahan daripada ancaman dan impak kepada risiko keselamatan negara dan rakyat adalah minimum. Mungkin ada pihak beranggapan keselamatan menjamin pembangunan adalah retorik, tetapi sebenarnya merupakan realiti. Lihatlah apa yang berlaku apabila sesuatu negara atau wilayah tidak berupaya mempertahankan diri seperti mana berlaku di Ukraine dan beberapa negara Islam.

Apa yang mendorong Tan Sri untuk meneruskan perjuangan ini?
Walau dalam keadaan apa sekalipun, TLDM fokus dengan misinya, iaitu mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara. Itu janji TLDM, namun saya bimbang TLDM tidak mampu bertindak dengan berkesan dan efisien dalam sebilang keadaan sekali gus menjejaskan keselamatan dan keamanan negara daripada ancaman luar.

Selalu saya ungkapkan bagi memahami situasi ini, sebagai contoh, kita diberikan tugas untuk menebang pokok kerana pokok tersebut menjadi ancaman kepada penduduk di sekelilingnya. Jika saya diberikan gergaji mesin atau chainsaw yang baik, sudah tentu saya dapat menebang pokok tersebut dengan cepat dan mudah. Namun, jika saya hanya diberikan pisau cukur atau gergaji tangan, sudah tentu ia mengambil masa yang lama dan mungkin mengakibatkan kecederaan kepada diri saya sendiri atau pokok tersebut tumbang dahulu menyebabkan kecederaan kepada penduduk sekeliling. Itulah analogi mudah untuk saya gambarkan situasi semasa TLDM dan keselamatan maritim secara amnya.

Begitu pun, TLDM kekal komited menggalas tugas mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim negara. Bagi memastikan TLDM melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi dengan berkesan, TLDM harus berdaya saing selaras dengan perkembangan teknologi semasa. TLDM perlu mempunyai kemahiran dalam perancangan strategik, sentiasa fleksibel dan versatil dalam menghadapi apa jua senario keselamatan serta berupaya memberikan tindak balas atau respons yang tinggi apabila kedaulatan negara dan kepentingan maritim dicabar oleh anasir-anasir asing.

Komen tentang semangat juang anak-anak buah Tan Sri?
Anda baru sahaja melihat dengan mata kepala sendiri semangat kental yang ditunjukkan warga Paskal. Sebenarnya semangat kental sebegini merangkumi semua cawangan atau kepakaran dalam TLDM. Malah ia merangkumi kesemua cabang ATM. Semangat juang anak-anak muda dan orang-orang terdahulu inilah yang mendorong saya terus berjuang untuk mereka hingga ke penghujung perkhidmatan saya.

Mungkin saya boleh gambarkan semangat mereka dengan ungkapan berikut: “Kalau tak ada kapak untuk tebang pokok, pisau lipat pun boleh guna. Kalau tak ada rotan, akar pun boleh guna. Laksanakan tugas, jangan banyak merungut. Kedaulatan serta keselamatan negara perlu dijaga.”

Kalau begitu, kita berada dalam keadaan yang baiklah?
Tidak. Semangat sahaja tidak memadai. Mereka harus dilengkapkan dengan peralatan yang betul untuk melaksanakan tugas dengan efisien dan berkesan. Pengorbanan mereka tidak boleh diukur dengan wang ringgit dan selayaknya mereka diberikan penghormatan sewajarnya hasil daripada pengorbanan itu. Tolong jangan ambil kesempatan atas semangat juang mereka. Saya tidak izinkan.

Harus diingat, tahap kesiagaan yang dimiliki oleh ATM khususnya TLDM kini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti ATM, malah menjejaskan maruah ATM selaku benteng utama yang dipertanggungjawab menggalas peranan besar mempertahankan kedaulatan negara. Keruntuhan maruah ini tidak secara langsung boleh mengakibatkan hilangnya rasa hormat di persada antarabangsa terhadap negara kita.

Sebelum ini pernah dilaporkan TLDM hanya mempunyai tiga kapal kombatan. Komen?
TLDM sebelum ini pernah memiliki 16 kapal kombatan pelbagai saiz. Bagaimanapun, bilangan ini berkurangan dengan signifikan apabila majoriti kapal-kapal ini hilang keupayaan akibat faktor keusangan peralatan dan sistem persenjataan. Penggantian kepada kapal-kapal ini dirancang melalui perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS). Bagaimanapun, kelewatan projek LCS telah menjejaskan perancangan TLDM. Saya juga ingin menegaskan bahawa sebenarnya perolehan LCS masih belum mencukupi untuk menampung kelompangan kapal kombatan TLDM.

Justeru, keperluan perolehan kapal-kapal kombatan tambahan perlu turut diberi perhatian serius oleh kerajaan. Sebagai sebuah negara maritim, mungkin mereka menganggap memberikan bajet yang tinggi kepada sektor pertahanan adalah suatu pembaziran dan tidak memberikan pulangan atau undi kepada mereka. Jika ini yang mereka fikir, saya berpendapat mereka tidak faham tentang hubung kait antara keselamatan dengan ekonomi.

Saya hendak bertanya, ada tak sesiapa (dalam hal ini, pelabur asing) hendak berniaga di tempat yang tak selamat? Kerajaan sewajarnya melihat pemberian peruntukan kepada pertahanan negara sebagai satu bentuk pelaburan pertahanan dan bukannya perbelanjaan pertahanan semata-mata.

Berkenaan perolehan kapal misi pesisir pantai kumpulan kedua (LMSB2), boleh Tan Sri jelaskan?
TLDM sentiasa merancang perolehan aset-aset baharu setiap tahun, namun sering kali ditolak kerana kekangan kewangan kerajaan dan keutamaan kepada yang lain. Bagi memastikan kedaulatan perairan tanah air terjamin, sebuah armada yang ampuh diperlukan. Armada yang berusia ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar untuk dioperasikan.

Justeru, Pelan Transformasi TLDM 15 kelima telah dibangunkan untuk mengatasi masalah keusangan dan juga armada yang berusia ini. Namun, program ini hanya akan menjadi sebuah program retorik sekiranya tiada komitmen yang serius daripada kerajaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara. Seperti semua sedia maklum atas isu kelewatan projek LCS,

Melalui Rolling Plan 3 2023, TLDM meletakkan perolehan LMSB2 sebagai paling kritikal dan penting. LMSB2 berbeza dengan LMS terdahulu di mana ia akan dilengkapi dengan sistem persenjataan yang ampuh bagi menangani jurang keupayaan tempur yang dihadapi oleh TLDM pada masa kini. Pendekatan ini perlu diambil segera sebagai penyelesaian jangka pendek dan sederhana, mengambil kira perkembangan geostrategik serantau terutama isu-isu berkaitan Laut China Selatan yang lebih mewajarkan TLDM mempunyai credible deterence.

Mungkin rakyat melihat peruntukan bagi Kementerian Pertahanan agak tinggi dan terdapat segelintir pihak yang mengatakan ia tidak memberi impak kepada ekonomi negara. Namun, keamanan yang kita kecapi sekarang amatlah tidak ternilai. Nilai peruntukan yang diberi berbanding harga keamanan yang kita kecapi ketika ini amatlah kecil.

Manakah keutamaan TLDM ketika ini, perolehan LCS atau LMSB2?
Bagi saya, kita tidak boleh membandingkan keutamaan kedua-dua kelas kapal ini kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan peranan berbeza. Selaras dengan rancangan pembangunan jangka masa panjang TLDM, kita amat memerlukan kedua-duanya bagi memelihara kedaulatan perairan negara. TLDM seharusnya sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi dan hanya dapat diterjemahkan melalui peningkatan keupayaan tempur dan kesediaan melaksanakan misi serta penugasan operasi pada sebilang masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN