PENGLIBATAN kaum Cina di negara ini dalam perniagaan mengalami sejarah begitu lama. Pengelasan dan perkembangan kerjaya orang Cina yang berlainan puak dialek berkait rapat dengan tempat asal mereka di China, latar belakang masyarakat dan kegiatan ekonomi setempat.
Kaum Cina di Malaysia terdiri daripada puak dialek Hokkien, Kwang Tung, Hakka, Teochew, Hainan, Foochow, Hing Hua, Kwongsai dan lain-lain. Mereka yang bertutur dialek Hokkien menganggotai lebih satu pertiga daripada keseluruhan masyarakat Cina. Nenek moyang mereka berasal dari kawasan selatan Fujian di China seperti Quanzhou, Zhangzhou dan Xiamen.
Kerjaya orang Cina di Tanah Melayu berkait rapat dengan amalan mereka sebelum meninggalkan kampung halaman di China. Sebagai contoh, penduduk di Chenghai, Chaozhou dan Putian, Fujian tinggal di kawasan pantai, maka banyak daripada mereka bekerja sebagai nelayan. Kebanyakan peneroka ini turut melibatkan diri dalam sektor perikanan setelah berhijrah ke sini.
Orang Teochew dari Shantou dan Chaozhou tinggal di kawasan berbukit dan berdekatan laut. Sejak awal lagi, mereka menjalankan aktiviti perdagangan dengan dunia luar serta menguasai saluran perniagaan beras dan barang runcit. Sehubungan itu, rangkaian pemborongan beras dan barang runcit terbentuk secara semula jadi sebaik sahaja mereka tiba di Tanah Melayu.
Sebelum kemerdekaan negara, pekedai Cina yang kesuntukan pekerja akan mengambil rakan atau saudara-mara di kampung halaman untuk membantu mereka di sini. Peneroka baharu akan belajar berniaga.
Setelah menimba pengalaman dalam masa beberapa tahun, mereka berdikari dengan membuka kedai sendiri. Terdapat juga peneroka yang berkahwin dengan anak perempuan si pekedai dan memperoleh bantuan modal daripada bapa mertua untuk membuka kedai. Situasi ini menyebabkan orang Cina daripada puak dialek sama terus berkembang maju dalam kerjaya yang sedia diceburi.
Bilangan orang Hing Hua yang sampai ke Tanah Melayu tidak ramai. Kebanyakan pekerjaan telah dikuasai oleh puak dialek lain semasa mereka baru tiba di sini. Dalam keterpaksaan, orang Hing Hua pun menjadi penarik beca. Disebabkan sukar untuk mendapatkan alat ganti beca, maka mereka menciptanya sendiri. Ekoran itu, orang Hing Hua beransur-ansur merentasi perniagaan berkait dengan pengangkutan seperti kedai basikal, kedai motosikal, ejen penjual kereta serta industri penghasilan lampu dan lain-lain alat ganti kenderaan.
Orang Hakka pula giat menceburi sektor perlombongan bijih timah di kawasan lombong sekitar Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh dan Taiping. Dipercayai mereka ini telah biasa dengan kerja perlombongan semenjak di kampung halaman lagi. Selain itu, orang Hakka juga pandai dalam menguruskan kedai pajak gadai, kedai emas, kedai kain dan sebagai tukang jahit.
LASAK
Kebanyakan orang Foochow dari Minqing dan Gutian giat dalam pertanian. Mereka tahan lasak dan mahir meneroka tanah. Oleh itu, orang Foochow menunjukkan prestasi yang menonjol dalam pembalakan dan penanaman getah serta kelapa sawit.
Orang Kwang Tung pula terkenal dalam pertukangan besi, pengurusan kedai emas dan kedai dim sum.
Di Tanah Melayu, penanaman getah kebanyakannya dikendalikan oleh orang Hokkien berketurunan Quanzhou dan Yongchun. Orang Yongchun juga bijak mengira dan pandai berniaga. Oleh itu, kebanyakan daripada mereka juga membuka kedai apabila tiba di sini.
Perintis penanaman getah di Malaya, Tan Chay Yan (1870-1916) keturunan Hokkien, dilahirkan di Melaka. Setelah Chay Yan mendapati orang British berazam untuk memperkembangkan penanaman getah di Tanah Melayu, beliau bergegas ke Brazil untuk menyelidik dan menyemai anak pokok getah.
Pada 1898, beliau bekerjasama dengan Lim Boon Keng, Yow Ngan Pan dan seorang peniaga British menanam pokok getah seluas 3,000 ekar di ladang Bukit Asahan.
Chay Yan sungguh bermurah hati. Beliau mengongsikan pengalaman dan ilmu menyemai pokok getah bersama masyarakat Singapura dan Malaya. Beliau memproseskan susu getah menjadi getah mentah, kemudian mengadakan pameran di Melaka. Beliau turut menggalakkan masyarakat giat menanam pokok getah melalui penerangan yang jelas dengan bantuan produk sebenar, gambar, jadual dan teks.
Orang Hokkien memainkan peranan penting dalam industri kecil dan sederhana di Malaya. Mereka terkenal dengan sifat berazam kuat dan berani menerima cabaran ketika menjalankan perniagaan. Mereka lazimnya merintis sesuatu bidang baharu yang masih belum diterokai orang lain.
Bagi orang Hainan pula, kebanyakan mereka menjadi pembantu rumah orang berada, pegawai British atau kerabat diraja. Ekoran itu, orang Hainan amat mahir memasak. Mereka kemudiannya berkembang maju dalam perniagaan kedai kopi, kedai kek dan restoran.
Kisah orang Cina menceburi bidang kerjaya yang berlainan mengikut puak dialek berbeza hanya berlaku pada generasi pertama dan kedua dalam kalangan peneroka tersebut. Generasi pertama memulakan kerjaya manakala generasi kedua mewarisi kerjaya berkenaan. Namun, selepas kemerdekaan negara, tahap pendidikan generasi baharu semakin meningkat, ekonomi berkembang pesat, penambahan pelaburan dalam dan luar negara, kemasukan teknologi baharu, peningkatan peluang pekerjaan dan lain-lain faktor menyebabkan kemunculan pelbagai bidang kerjaya baharu serta mewujudkan persaingan hebat dalam semua bidang industri. Dengan ini, tradisi orang Cina menceburi bidang kerjaya tertentu mengikut puak dialek pun beransur-ansur berubah.
Meskipun ekonomi negara kita mengalami perubahan besar dalam tempoh 60 tahun lalu, namun disebabkan faktor sejarah, kita masih dapat mengagak pekerjaan dan kerjaya sesebuah keluarga Cina berdasarkan latar belakang dialek mereka. Sesungguhnya, kegiatan ekonomi kaum Cina daripada puak dialek yang berlainan telah menyerikan sejarah ekonomi dan perusahaan di Malaysia. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










