Kallu urundai gamit nostalgia Deepavali

Kallu urundai gamit nostalgia Deepavali

DELIPS Jeeva menunjukkan kuih tradisional kallu urundai yang dibuatnya sendiri menggunakan resipi turun-temurun keluarganya. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN pahit dilanda banjir besar pada Disember tahun lalu serta risiko malapetaka sama berlaku lagi pada tahun ini tidak mematahkan semangat Delips Jeeva untuk cuba membawa keceriaan Deepavali kepada sanak saudara dan rakan-rakan di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Remaja berumur 17 tahun ini menggunakan minat dan kepakaran membuat juadah tradisional kaum India untuk menyediakan dan menghadiahkannya kepada keluarga terdekat dan guru-guru di sekolah.

Rata-rata mengakui air tangan Delips sangat sedap dan menyelerakan. Malah, apa yang lebih unik ialah kuih tradisional yang dibuatnya mengekalkan rasa asli seperti dihasilkan nenek moyang pada masa dahulu.
“Nenek sebelah mendiang bapa menurunkan ilmu ini kepada saya sebab saya memang rapat dengannya sejak kecil. Nenek sentiasa mengajar dan membimbing cara membuat pelbagai juadah dengan mengekalkan unsur tradisi.

“Nenek sekarang tinggal di Tanjung Malim, Perak dan saya rasa bertuah kerana berpeluang belajar pelbagai perkara daripadanya,” ujar Delips yang tinggal bersama ibu dan kakak sejak bapanya meninggal dunia.

Remaja ini turut belajar memasak daripada ibunya.

Semasa saya berkunjung ke rumah mereka baru-baru ini, si ibu mengakui Delips memang pakar memasak pelbagai variasi saambar iaitu lauk menggunakan sayur-sayuran. Dia juga pandai membuat tokku (sejenis acar) yang pedas dan autentik berdasarkan resepi nenek moyang.

Memandangkan Delips suka memasak, memang ada rakan-rakan yang memperli tetapi remaja ini tidak pernah ambil pusing sebarang komen negatif. Tambahan pula, ramai tukang masak terkemuka dunia adalah lelaki.

Sempena Deepavali ini, Delips sering membuat kuih tradisional seperti nei urundai (bebola minyak sapi) dan muruku yang dipelajari daripada nenek sebelah ibu. Juadah paling mendapat sambutan ialah kallu urundai atau ketti urundai yang dikenali masyarakat majmuk di Malaysia sebagai ‘kuih bom’ dan ‘kuih batu.’ Malah, keenakan kuih itulah yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk bertemu dan berbual dengan Delips tentang bakatnya.

Kallu urundai remaja ini mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak. Pada 1980-an, kita masih berpeluang menikmati kallu urundai yang betul-betul keras, sedap dan dibuat menggunakan ramuan tradisional.

Kini, kuih batu sudah semakin jarang dihidangkan semasa Deepavali. Kalau ada pun, rasa dan nikmat menggigitnya sudah tidak sama.

Jadi, saya amat memahami mengapa sanak saudara, guru, tetangga dan kenalan Delips teruja untuk makan kallu urundai yang dibuatnya.

Dalam ruangan ini pada 30 Oktober 2021, beberapa rakan berkongsi kisah juadah Deepavali yang dirindui. Kallu urundai menduduki tangga teratas kerana mampu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dan suasana sambutan pesta cahaya secara penuh tradisi. Malah, dalam perbualan kami, Delips berkata, itulah juga antara sebab dia meneruskan tradisi yang diperturunkan daripada neneknya.

“Memang saya rasa sangat seronok dan puas hati apabila membuat pelbagai juadah tradisional. Barangan yang diperlukan untuk membuat kallu urundai memang mudah dibeli di kebanyakan kedai runcit tetapi ramai orang tidak tahu cara untuk menyediakan ramuan bagi menghasilkan kuih batu yang autentik,” kata Delips yang amat teruja berkongsi pengetahuan dengan sesiapa yang mahu belajar daripadanya.

BATU GILING

Remaja ini dan ibunya akan mengisar sendiri segala ramuan seperti kacang hijau, kacang tanah, kacang dal dan beras menggunakan batu giling. Kerja ini memang memenatkan tetapi perlu dilakukan jika kita mahu mendapatkan hasil terbaik. Kelapa yang dihiris kecil pula digoreng tanpa minyak menggunakan kuali sehingga garing. Semua ini memang kerja rumit dan melecehkan, khususnya bagi masyarakat yang sibuk dengan kerjaya hakiki.

“Satu lagi aspek penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan menghasilkan kallu urundai yang keras ialah kuah gula melaka yang disebut pau dalam bahasa Tamil.

“Gula melaka perlu dididih di dalam kuali sehingga menggelegak dan pekat seperti lava gunung berapi. Kalau kepekatan gula melaka tidak dikawal, maka kallu urundai yang terhasil tidak cukup keras dan rasa akan berubah,” Delips menghuraikan dengan lancar berdasarkan pengalaman sejak kanak-kanak.

Kuah gula melaka yang panas mendidih perlu dituang ke dalam adunan ramuan yang sudah dikisar tadi dan digenggam erat secara serta-merta menggunakan tapak tangan tidak dilapik. Dapat dibayangkan kepanasan yang perlu ditanggung semasa menggenggam erat segala ramuan supaya menjadi betul-betul keras dan padu. Kalau kita tunggu sehingga kuah gula melaka tidak menggelegak, maka kallu urundai yang terhasil amat rapuh dan mudah pecah.

Delips dan ibunya mengaku hanya mampu menghasilkan maksimum 70 biji kallu urundai pada satu-satu masa. Kerja itu pula tidak dapat dilakukan setiap hari kerana memenatkan seluruh tubuh dan tapak tangan pula sakit kerana menggenggam adunan bercampur kuah gula melaka yang mendidih. Atas sebab itulah juga, walaupun ada banyak permintaan tahun ini, Delips terpaksa menolak.

“Buat masa ini, saya perlu menumpukan juga pada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya memang ada niat mengusahakan jualan juadah tradisional tetapi tentulah perlukan beberapa orang pembantu untuk meringankan kerja. Sasaran utama bukannya mencari keuntungan.

“Sebaliknya, saya rasa amat seronok dan puas hati apabila orang ramai memberitahu bahawa juadah tradisional ini mengembalikan nostalgia dan mereka puas menikmati rasa seperti air tangan ibu atau nenek pada masa lalu,” Delips berterus terang apabila saya bertanya.

Bagaimanapun, remaja ini sedia membuat kallu urundai dalam jumlah yang sedikit sekiranya ada orang benar-benar rindu untuk merasa juadah tradisional ini. Malah, dengan adanya khidmat pos yang cukup pantas dan selamat, tidak mustahil Delips mampu memenuhi permintaan orang di Perlis, Johor atau Sabah yang mengidam kallu urundai autentik. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×