KETIDAKSTABILAN politik negara sejak dekad akhir ini, khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 mempunyai hubungan rapat dengan perpecahan parti politik dan undi orang Melayu. Parti-parti Melayu berpecah kepada beberapa yang kecil, tidak bersifat dominasi. UMNO dan Pas bukan lagi parti dominan orang Melayu. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah), PKR, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seumpamanya berasal dari akar umbi yang sama, tetapi kini bersaing hebat bagi mendapat sokongan pengundi Melayu.
Perpecahan menjadikan kedudukan politik orang Melayu lemah dan terumbang-ambing tanpa arah jelas. Kedudukan orang Melayu hilang arah serta asas perjuangan dan kedudukan asal musnah. Peguam negara, ketua hakim serta menteri kanan Kabinet dikuasai kumpulan yang ‘kurang mesra’ kepentingan orang Melayu.
Sama ada diakui, sedar atau tidak, kedudukan politik dan pentadbiran negara selepas PRU14 menidakkan perjuangan dan kedudukan orang Melayu. Walaupun perdana menterinya masih lagi dipegang orang Melayu, tetapi kuasa dan kata pemutus bukan lagi mutlak dikuasai olehnya.
Walaupun ada pihak mempertikaikan kenyataan ini, hakikat sebenar adalah kedudukan politik dan pentadbiran negara tidak berada dalam tangan orang Melayu. Perpaduan dan kerjasama parti-parti politik Melayu selepas 1 Mac 2020 adalah atas rasa insaf dan kesedaran peri penting dan betapa perlunya dalam menghadapi ancaman politik semasa. Kesedaran itu tidak kekal lama, pergolakan dalaman kerajaan gabungan parti-parti politik utama terus berlaku tanpa kesudahan.
Pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu adalah manifestasi ketidakstabilan serta jolokan tindakan bagi mencari kedudukan dan keabsahan baharu. Ada pihak yang pernah jatuh tersungkur mula yakin balik bahawa mandat baharu bakal diperoleh dengan PRU baharu. Kita sebenarnya sedang berada dalam satu dilema baharu. Mampukah parti Melayu yang pernah menguasai politik negara kembali berkuasa dan menjadi dominan semula?
Persoalannya, apakah yang membolehkan pengundi memberikan sokongan padu kepada mana-mana satu parti politik Melayu? Apakah yang orang Melayu benar-benar perlu dan mahu dalam keadaan sekarang?
Apa golongan muda generasi baharu Melayu perlukan? Adakah orang Melayu yakin dengan pimpinan UMNO yang pernah berkuasa, tetapi sekarang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa? Apa pilihan kedua yang mungkin? Mampukah parti politik pilihan baharu orang Melayu berperanan sebagaimana dilakukan UMNO sebelum ini?
Kalau diteliti dengan mendalam dan bersifat filosof, perlembagaan kita telah menggariskannya dengan jelas. Perkara 153 dan definisi Melayu (Perkara 160) sebenarnya ada makna besar yang tersirat bagi kestabilan ekonomi, politik serta asas kestabilan dan pembinaan negara bangsa Malaysia. Dalam ketidakstabilan yang sedang berlaku, sokongan pengundi Melayu dan bumiputera perlu dibina semula.
Perkara 153 mempunyai asas kukuh bagi membina kekuatan politik dan ekonomi orang Melayu dan bumiputera. Falsafah tersirat di bawah perkara ini perlu difahami sedalam-dalamnya oleh pemimpin politik dan pengundi Melayu. Ia tidak harus dilihat sambil lewa dan sebagai persoalan kecil. Apatah lagi Perkara 153 dilihat sudah tidak lagi relevan buat masa ini.
MANIFESTO
Kenapa Perkara 153 tidak boleh dipinda dengan sokongan dua pertiga ahli dewan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perkara 38(5)? Saya berpendapat, Perkara 153 perlu dijadikan fokus kempen dan diterjemahkan dalam manifesto parti-parti politik Melayu. Pengundi perlu benar-benar faham Perkara 153 dan dikaitkan dengan pergolakan politik dan kempen pilihan raya sekarang.
Kita ambil contoh mudah, pemberian biasiswa kepada mahasiswa Melayu yang dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 153. Biasiswa dan dermasiswa adalah hak keistimewaan yang perlu diberikan kepada orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak. Sepatutnya anak-anak Melayu yang masuk ke universiti mendapat biasiswa dengan mudah sepanjang pengajiannya. ‘Kemudahan pelajaran’ pula mungkin dapat ditafsirkan sebagai bayaran yuran lebih istimewa (mungkin kadar berbeza dengan mahasiswa bukan Melayu).
Ini bukan suatu yang bersifat ‘ketidakadilan’ kerana biasiswa yang diberikan kepada mahasiswa Melayu itu juga akan diterima oleh bukan Melayu sekiranya memenuhi tafsiran sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 160. Melayu dalam tafsiran perlembagaan bukan bersifat ‘biologikal’ yang membawa makna seorang yang biologinya Cina atau India boleh menjadi Melayu dan berhak mendapat kemudahan biasiswa sebagaimana dinikmati mahasiswa Melayu.
Kita ambil satu lagi permasalahan mudah, iaitu bebanan kos pengajian dan peluang kerja selepas tamat belajar di universiti. Sepatutnya masalah ini tidak menjadi isu besar jika falsafah asas dalam Perkara 153 benar-benar difahami dan dijadikan amalan menyeluruh. Bebanan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wujud kerana dari awal-awal lagi mahasiswa Melayu diberikan biasiswa atau dermasiswa. Peluang pekerjaan juga tidak timbul kerana mahasiswa Melayu diberi keutamaan dalam perjawatan awam. Masalah tanggungan kerajaan kepada biasiswa tidak timbul kerana kita mempunyai hasil negara (misalnya daripada sumber cukai) yang sentiasa bertambah.
Yang menimbulkan masalah adalah jumlah pengambilan mahasiswa ke universiti tidak mengikut tapisan akademik yang betul serta berdasarkan kepentingan lain. Keputusan yang tidak berasaskan akademik dan diputuskan oleh orang bukan akademik sebenarnya menimbulkan masalah. Wang negara mengalir keluar melalui rasuah, salah guna kuasa oleh pemimpin utama negara juga menimbulkan masalah.
Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah menjadikan Perkara 153 sebagai asas dasar utama negara. Apa-apa keputusan atau persoalan yang timbul dikaitkan dan dirujuk kepada Perkara 153. Orang Melayu sentiasa dijaga, bukan Melayu sesekali tidak diketepikan. Perasaan tidak puas hati dapat dijaga. Setiap warganegara ada hak yang ditetapkan dalam perlembagaan.
Kestabilan ini bukan hanya bagi kepentingan Melayu tetapi semua penduduk dan warganegara. Undang-undang dan perlembagaan negara dijunjung, kestabilan dan kemakmuran dikecapi bersama. – UTUSAN
DR. Mohd. Noor Yazid ialah bekas Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).











