PADA awal tahun ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden menyatakan kebimbangan tentang meningkatnya diskriminasi dan serangan berpilih terhadap masyarakat Islam di India. Washington mempersoalkan penyalahgunaan kuasa kerajaan di pelbagai peringkat kerana dikatakan gagal mengawal dan melindungi hak golongan minoriti.
Pernyataan terhadap New Delhi tersebut walaupun demikian dilihat agak lembut dengan hanya menyatakan keprihatinan Washington terhadap apa yang berlaku. Tiada ancaman sekatan diplomasi atau ekonomi terhadap New Delhi mahupun tekanan politik terhadap kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP).
“Dunia Islam secara umumnya mengetahui semenjak berkuasanya BJP di bawah Perdana Menteri Nerendra Modi, sentimen Hinduisme yang melampau mula mempengaruhi landskap politik India. Penularan ini sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi kemunculan gerakan Hinduisme berhaluan kiri dan radikal.
“Mereka mula melancarkan serangan berdarah terhadap masyarakat Islam dan merosakkan masjid dengan alasan tanah tersebut sebelum ini merupakan tapak kuil yang telah dirampas. Terdapat juga berita beberapa pemuda Islam dibunuh tanpa sebab dan keluarga Islam dihalau dari kampung,” jelas Profesor dan Felow Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kamarulnizam Abdullah.
Menurutnya, pemimpin radikal BJP dan parti berhaluan nasionalis ekstrem lain juga melancarkan gerakan intimidasi yang sama terhadap pemimpin Islam. Para pemimpin tertinggi kerajaan dari BJP telah mengeluarkan ucapan membenci dan menghina agama, nabi dan ajaran Islam.
Bekas Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Michelle Bachele pula mengkritik sikap berdiam diri kerajaan BJP terhadap gerakan jenayah membenci yang dilakukan oleh golongan ultra nasionalis Hindu terhadap bukan sahaja masyarakat Islam tetapi juga golongan minoriti lain.
“AS sebagai kuasa utama dunia yang memperjuangkan isu hak asasi manusia semenjak berakhirnya Perang Dingin seolah-olah kaku untuk menyingkap apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BJP.
“Ini berbeza apabila kita melihat pendekatan Washington terhadap beberapa negara lain seperti Myanmar dan China dalam isu sama. Washington begitu keras mengutuk negara-negara tersebut dan kadangkala mempamerkan sikap diplomasi intimidasi dengan melancarkan ancaman sekatan politik, diplomasi dan ekonomi,” katanya.
Pernyataan di atas bukanlah bermakna kita menyokong tindakan diskriminasi China ataupun Myanmar terhadap masyarakat Islam. Malah Washington sendiri terlibat secara langsung dan tidak langsung menyokong gerakan masyarakat Islam yang ditindas di negara-negara tersebut.
Menurut Bachele, mengapa terdapat dwistandard Washington terhadap apa yang berlaku pada masyarakat Islam di India? Beberapa kemungkinan boleh menjawab persoalan ini. Kedua-dua negara ini, AS dan India mempunyai nilai strategik yang dikongsi bersama-sama iaitu sistem demokrasi. India merupakan negara demokrasi terbesar di dunia. Oleh itu, Washington percaya isu-isu diskriminasi dan penindasan terhadap masyarakat Islam merupakan perkara atau isu terpencil dan tidak mewakili nilai demokrasi sebenar yang dibawa oleh New Delhi.
DOSA
Dengan kata lain, sesebuah negara demokrasi tidak akan menggunakan dasar-dasar yang boleh membunuh semangat demokrasi itu sendiri.
Ini juga menjelaskan mengapa Washington mempunyai dasar yang keras terhadap Myanmar dan China dalam soal penindasan umat Islam di kedua-dua negara tersebut. Kedua-dua negara ini tidak berkongsi nilai yang sama dengan demokrasi.
Negara autoritarian dan sosialisme adalah musuh kepada nilai demokrasi yang dibawa. Oleh itu, serangan mereka terhadap Myanmar, China dan negara sosialisme lain bukanlah sebenarnya kepada isu diskriminasi itu sendiri, tetapi bertujuan merobohkan kuasa kerajaan sosialisme yang bersifat autoritarian.
Hujah ala-orientalis ini sebenarnya cuba menutup kelemahan sistem demokrasi itu sendiri. Apakah kerana India sebuah negara demokrasi terbesar, maka dunia harus menutup mata terhadap dasar intimidasinya pada masyarakat Islam?
“Hujah sama digunakan bagi mereka yang memperjuangkan kapitalisme. Golongan ini mendukung bahawa sistem ekonomi tersebut adalah yang terbaik di dunia walaupun pada hakikatnya kapitalisme telah banyak mewujudkan persaingan tidak seimbang, sistem kasta ekonomi dan peminggiran masyarakat. Dalam sistem kapitalisme, keadilan sosial tidak dipentingkan.
“Oleh itu, apabila kita membicarakan tentang demokrasi sebagai asas keadilan hak golongan yang ditindas, apakah dasar dan gerakan dilakukan oleh kerajaan BJP boleh diterima?
“Di manakah hak masyarakat Islam di sebuah negara yang begitu bangga mengatakan ia sebuah negara demokrasi? Apakah demokrasi dalam agihan ekonomi dan kekayaan wujud di negara tersebut apabila sejumlah besar rakyatnya masih lagi hidup di bawah garis kemiskinan?” soalnya yang kini memfokuskan penulisan dan penyelidikan dalam bidang keselamatan, terorisme dan militan agama.
Perkongsian strategik geopolitik kedua-dua negara merupakan satu lagi penjelasan utama mengenai dasar dwistandard Washington terhadap peminggiran masyarakat Islam India. Jika dianalisis pernyataan-pernyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara mahupun Jabatan Pertahanan AS terhadap hubungan dengan India, kedua-dua negara menekan aspek perkongsian strategik politik. Apa yang dimaksudnya di sini ialah India merupakan rakan strategik utama AS di Asia Selatan dalam membendung pengaruh penyebaran kuasa China.
Kerjasama strategik berdasarkan pendekatan Indo-Pasifik ini merangkumi pelbagai aspek kerjasama seperti meningkatkan hubungan keselamatan, pertahanan dan perdagangan; mempromosi nilai demokrasi sejagat; membasmi terorisme; serta memajukan sains dan teknologi. India sudah tentu lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan AS dalam aspek-aspek tersebut. Selain dapat menutup ‘dosa’ yang dilakukannya terhadap masyarakat Islam, India akan terus menguasai dan mendominasi kuasa geostrategik Asia Selatan yang semakin diancam oleh China.
New Delhi juga mahu satu jaminan daripada Washington untuk mengawal gelagat jiran dan musuh ketatnya di Islamabad. Selain konflik Kashmir yang berpanjangan antara dua negara, New Delhi masih berhadapan dengan ancaman-ancaman serangan terorisme yang dipercayai dibiayai oleh rejim Islamabad.- UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










