Benarkah andartu, janda bawa ‘sial’?

Benarkah andartu, janda bawa ‘sial’?

STATUS sama ada sebagai wanita sudah berkahwin, bujang, janda atau balu tidak memberi nilai atau taraf berbeza kepada individu dalam memikul tanggungjawab terhadap keluarga.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam budaya kuno India, golongan wanita berstatus janda (bercerai), balu (kematian suami) atau andartu (anak dara tua) dipandang rendah dan dipinggirkan dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan dan upacara keagamaan. Hal ini dapat diperhatikan dalam buku cerita dan filem Tamil.

Semasa membincangkan topik ini bersama sekumpulan rakan, seorang yang berusia 40-an tahun meluahkan kekecewaan yang dipendam dalam diri. Katanya, anak-anak saudara yang baru berkahwin diberi kedudukan lebih tinggi dalam masyarakat sementara keluarga dan saudara mara meminggirkannya kerana belum berkahwin.

“Apabila ada upacara seperti pertunangan, perkahwinan dan lenggang perut, saya secara terang-terangan dihalang mengambil bahagian. Semasa anak-anak saudara masih bayi, saya menjaga mereka siang dan malam serta menukar lampin kerana ibu bapa mereka sibuk bekerja. Kini, saya dikatakan tidak layak merestui mereka pada majlis perkahwinan,” katanya.

Rakan-rakan lain turut menyatakan rasa sedih kerana masih ramai kaum India terpelajar dan kononnya berfikiran moden juga mempraktikkan amalan kolot ini yang sebenarnya menindas golongan wanita.

“Nampaknya, walau setinggi mana kami belajar, menjadi pekerja profesional dan bergaji tinggi, kedudukan kami masih amat rendah pada pandangan saudara mara dan masyarakat.

Tidakkah mereka sedar, orang bujang atau andartu melakukan lebih banyak pengorbanan dan memikul lebih banyak tanggungjawab demi keluarga? Malangnya, semua itu tidak dihargai dan tidak dikenang,” seorang lagi rakan yang mengalami nasib sama meluah isi hati.

Mengulas isu ini, Patricia Anita dari Puchong, Selangor berkata, kelayakan untuk merestui seseorang wanit bukannya datang dari taraf perkahwinan, pelajaran atau status sosial.

Sepatutnya peribadi, perwatakan dan pengalaman hidup sekali gus mempamerkan pengorbanan hidup wanita itu perlu sentiasa dihargai.

“Penghargaan tersebut bolehlah kita zahirkan semasa upacara sebegini di mana mereka diberi perhatian dan penghormatan yang sewajarnya untuk merestui pasangan pengantin.

“Saya rasa perubahan boleh berlaku sekiranya orang tua dalam keluarga bersuara dan sanggup mengubah amalan kolot. Baru-baru ini, dalam majlis keluarga saya, ahli keluarga yang tidak berkahwin diberi peluang untuk merestui pasangan pengantin. Seseorang harus dihormati bagi usia dan hubungan kekeluargaan.

“Hubungan keluarga wujud dahulu sebelum seseorang wanita mendirikan rumah tangga. Kaum India boleh menerima pelbagai perubahan dan sentiasa ingin maju ke depan, mengapa tidak dalam perkara sebegini?” soal Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor.

Thanusya Shanmuganathan dari Petaling Jaya, Selangor belum pernah mengalami situasi seperti itu walaupun termasuk dalam kategori andartu. Dalam keluarga sebelah ibu dan mendiang bapanya, dia dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti tanpa halangan.

“Masalah dinyatakan mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat ortodoks yang masih berpegang kepada kepercayaan kuno iaitu andartu tidak boleh memberi restu kerana dikhuatiri akan menurunkan bala. Tanggapan ini salah dan perlu dibetulkan supaya tidak ada lagi wanita dipinggirkan,” tegasnya.

EKOR ANJING

N. Nitha dari Rawang, Selangor turut menyedari isu itu bukan perkara baharu dalam masyarakat India.

“Percayalah, untuk mengubah kepercayaan ini adalah umpama meluruskan ekor anjing. Saya sentiasa berfikiran terbuka apabila menghadiri majlis seperti itu yang menggambarkan kekalutan amalan dan adat yang sentiasa berubah-ubah mengikut pandangan kolot warga emas.”

“Sesungguhnya, niat dan hati yang baik sudah mencukupi untuk merestui serta mengambil bahagian dalam mana-mana upacara. Status sebagai wanita sudah berkahwin, bujang, janda atau balu tidak memberi nilai atau taraf berbeza kepada individu terbabit. Demikian ditegaskan S. Ghanthimathi dari Butterworth, Pulau Pinang dalam perbincangan kami.

“Sekiranya seorang andartu layak memikul tanggungjawab keluarga, menjaga anak-anak buah dan sebagainya, dia lebih daripada layak untuk memberi restu kepada sesiapa. Mentaliti seperti dalam kes ini perlu dihapuskan generasi muda,” kata wanita bujang ini.

Pada pendirian V.K. Ezhilarasi dari Cheras, Kuala Lumpur, kaum wanita masa kini yang berpendidikan tinggi cukup matang dan tidak perlu mengendahkan pandangan golongan berfikiran kolot seperti itu.

“Saya sebagai seorang balu pernah dipinggirkan dalam upacara dan majlis yang dianggap suci dan bertuah. Saya berhenti bergaul dengan golongan sebegitu dan memilih rakan yang lebih progresif dan positif,” katanya.

Memilih untuk tidak berkahwin bukan suatu kesalahan. Kini, ramai wanita mengutamakan kerjaya berbanding berkahwin dan beranak. Pilihan ini tidak boleh diterima segelintir masyarakat India kerana masih mempercayai bahawa wanita yang sudah berkahwin dan menunaikan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu sahaja layak dipandang mulia dan disanjung tinggi. Demikian ulasan Malini Lakshmi Bai dari Cheras, Kuala Lumpur.

“Malah, wanita yang sudah berkahwin dianggap suci serta membawa berkat dan tuah kepada keluarga kaum India. Kebiasaannya, anggapan dan kepercayaan ini dipengaruhi tekanan orang sekeliling dan latar belakang ortodoks. Saya amat setuju bahawa fikiran kolot ini perlu dihapuskan,” tegasnya.

Penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang turut terlibat dalam perbincangan. Katanya, dia tidak faham mengapa andartu, balu dan janda diperlakukan sebegitu rupa dalam budaya kaum India.

“Mereka juga manusia dan anggota keluarga terbabit. Mereka bukannya membawa musibah. Walaupun diberi alasan kononnya sudah menjadi budaya turun-temurun, amalan kolot ini perlu dan boleh diubah mengikut peredaran zaman. Sama ada lelaki atau wanita serta apa pun status perkahwinan, semua orang adalah manusia dan perlu dilayan sama rata,” ujarnya.

Sebagai masyarakat yang semakin ke hadapan dalam semua perkara, amat malang jika kaum India di Malaysia masih mengamalkan perkara yang tidak mencerminkan penghormatan kepada kaum wanita. Demikian ditegaskan Rasa Selvan Karuppiah dari Semenyih, Selangor.

“Wanita sememangnya dipandang mulia dan diberi penghormatan tinggi dalam budaya kaum India. Hal ini jelas apabila mereka dipanggil untuk melakukan pelbagai upacara dan istiadat. Namun, sedih apabila andartu, balu, janda dan wanita yang belum ada anak dipinggirkan.

“Semua golongan wanita harus dilibatkan dalam sebarang aktiviti kebudayaan. Agama Hindu tidak pernah melarang sesiapa pun terlibat dalam upacara,” katanya. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN