ADAKAH lima sebab utama ini UMNO tidak mempercayai Pas lagi?
1. Frasa “Pas tekad pertahan Muafakat Nasional (MN), kukuhkan Perikatan Nasional (PN)” meletakkan hubungan UMNO-Pas dalam persimpangan. Seolah-olah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahu laba politiknya dan dengan UMNO pula mahu jadi ‘pisau cukur.’ Seakan Pas main ‘dua kolam’ untuk jadi kingmaker.
UMNO sebenarnya amat marah kerana sebahagian wakil rakyatnya yang menang atas tiket parti itu dalam PRU14 lompat ke Bersatu. Bayangkan, ramai ahli Parlimen Pas melompat ke Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan sekutu UMNO, apa agaknya kata Pas akan hal ini?
Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) meraih 79 kerusi Parlimen tetapi menyusut berdikit-dikit menjadi 42 sahaja. Bab 18 ahli Parlimen dari Sarawak keluar membentuk gabungan baharu bukan persoalannya, tetapi nasib UMNO malang kerana daripada 54 kerusi Parlimen, berbaki 38 sahaja akibat pukulan lompat ke Bersatu ini.
2. Kerjasama Pas-UMNO menerusi MN yang sepatutnya berbaloi diteruskan setelah menang bergaya 7-0 dalam siri PRK belum cukup menjadikan MN kekal. Tujuh kerusi yang diraih undi majoriti besar terdiri dari Slim, Chini, Kimanis, Tanjung Piai, Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands kesemuanya dimenangi calon UMNO/BN. Pas pula gagal lebih awal lagi di PRK Seri Setia dan Port Dickson.
Tidak lama kemudian bibit-bibit sentimen ‘abang besar’ terhadap UMNO berlegar dalam fikiran sebahagian pemimpin kanan Pas. Bak kata Confucius, “Tidak boleh ada dua ekor harimau atas sebuah bukit.” Yang akhirnya bermula Langkah Sheraton, 24 Februari 2020 membawa Pas tidak menoleh lagi, terjun ke PN dikepalai Bersatu selepas PRK Slim, 29 Ogos tahun sama menuju sebulan kemudian ke PRN Sabah, 26 September.
3. UMNO cukup berbelah bahagi jika 150 kerusi Parlimen berteraskan Melayu-bumiputera daripada 222 dibahagi tiga pula dengan Bersatu, selain Pas. Mengambil iktibar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, berapalah agaknya nanti kerusi UMNO akan menang dalam PRU15?
Semasa PRN Sabah, UMNO mahu bertanding kira-kira 40 kerusi. Dapat 32 kerusi, namun hanya menang 14.
Lebih mengharukan lagi, atas faktor konsep gabungan, UMNO tidak berjaya menduduki kerusi ketua menteri Sabah biarpun jumlah kerusi dimenanginya lebih daripada Bersatu.
4. Sebelum PN ditubuhkan lagi pun, difahamkan sudah ada percaturan dalam MN untuk menentukan agihan kerusi PRU15. Dikatakan terdapat 120 kerusi berteraskan Melayu, 30 kerusi lagi kawasan campuran, sementara 42 kerusi lain majoriti Cina.
Difahamkan, tiga kriteria ditetapkan:
1) Status quo kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mana-mana calon UMNO atau Pas, kekal di tangan penyandang masing-masing.
2) Parti yang meraih undi kedua tertinggi di kerusi yang kalah, dipersetujui menjadi calon mewakili MN.
Contoh:
i. P.149 – SRI GADING
PH: 21,511 (Sharuddin Md. Salleh – Bersatu)
UMNO/BN: 18,223 (Datuk Ab. Aziz Kaprawi)
Pas: 4,548 (M. Ashari Sidon)
Keputusan: Calon UMNO bertanding di situ pada PRU15.
ii) P.057 – PARIT BUNTAR
PH (Amanah): 16,753 (Datuk Mujahid Yusof)
UMNO/BN: 13,655 (Abdul Puhat Mat Nayan)
Pas: 12,312 (Ahmad Azhar Sharin)
Keputusan: Calon UMNO bertanding.
iii) P.077 – TANJONG MALIM
PH: 24, 672 (Chang Lih Kang)
BN: 19,314 (Dr. Mah Hang Soon)
Pas: 10, 311 (Mohd. Tarmizi)
Keputusan: Calon BN bertanding.
3) UMNO-Pas boleh bertukar-tukar kerusi Parlimen dan DUN dengan syarat dipersetujui bahagian dan kawasan. Dengan kata lain, UMNO berlapang dada menyerahkan kerusi dimenanginya kepada Pas untuk ditandingi. Demikianlah juga timbal balik daripada Pas. Contoh:
i. P.059 BUKIT GANTANG
UMNO/BN: 22,450 (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal)
PH: 18,361 (Datuk Khadri Khalid)
Pas: 16,052 (Idris Ahmad)
Keputusan: Calon Pas bertanding PRU15.
ii) P.028 PASIR PUTEH
Pas: 32,307 (Dr. Nik Zawawi)
UMNO/BN: 30,947 (Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)
PH: 4,896 (Datuk Kamarudin (Abe Din)
Keputusan: Calon UMNO bertanding PRU15.
Namun Pas barangkali melihat Bersatu bukan suatu ancaman kepada parti itu di negeri-negeri dominan Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tetapi lawan sebenar dan saingan Pas paling kuat ialah UMNO. Adalah sangat logik apabila Pas leverage pada kuasa eksekutif Bersatu untuk ‘menyekat’ kemaraan UMNO.
Apabila UMNO lemah, lagi senang Pas menang dan kawal negeri-negeri itu. Lihat di Kelantan dan Terengganu, ada tak Pas berikan jawatan Exco pada UMNO walaupun kononnya ‘sudah muafakat’? Jadi, macam mana UMNO boleh bekerjasama dengan Pas?
5. Tindak tanduk Pas semasa PRN Melaka dan Johor membuka sisi Pas sebenar terhadap UMNO. Biarpun kalah teruk di kedua-dua PRN itu, Pas ‘tetap kata bukan kalah tapi belum menang.’ Kenyataan-kenyataan daripada para pemimpin Pas berikut juga amat melukakan hati orang UMNO:
25 Januari 2022: Tiada pawang mampu rawat UMNO kecuali kekalahan – Mokhtar Senik
27 Januari 2022: Itik kaki patah ini, bila sembuh nak berenang sendiri – Hadi
28 Januari 2022: Hadi beri amaran kepada ‘kluster mahkamah’ UMNO, bantah strategi cetus PRN.
5 Mac 2022: UMNO sudah lumpuh dan berpenyakit – Hadi
5 Mac 2022: Hadi ajak pengundi Johor hukum UMNO
22 Mei 2022: Individu tolak MN sebenar nyawa-nyawa ikan – Sanusi
11 Jun 2022: Zahid desak PRU15 awal kerana takut dipenjara – Sanusi
31 Julai 2022: Hadi dakwa penubuhan MN tertangguh kerana UMNO buat masalah.
13 Ogos 2022: UMNO boleh ‘menumpang’ kekuatan Pas di Kedah jika ia berhasrat untuk bekerjasama di negeri itu – Sanusi – UTUSAN










