Tokoh politik unik yang sentiasa dikenang

Tokoh politik unik yang sentiasa dikenang

DR. Mahathir Mohamad (dua dari kanan) diiringi S. Samy Vellu (kanan) ketika hadir merasmikan Lebuh Raya Senawang–Ayer Keroh pada 1987. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS Presiden MIC, Tun Dr. S. Samy Vellu, 86, yang meninggal dunia semalam dilahirkan pada 1936 di Kluang, Johor. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Tamil Ladang Lavis, Chaah, Johor dan kemudiannya pendidikan menengah di Institut Clive, Rawang, Selangor.

Mendiang yang disifatkan oleh bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebagai menteri legenda dalam Kabinet yang telah memberi sumbangan besar terhadap negara dan masyarakat India, mendapat pendidikan tinggi sebagai arkitek bertauliah dari Institut Diraja Arkitek Britain (RIBA) pada 1971.

RIBA ialah sebuah badan profesional untuk arkitek di United Kingdom dan kemudiannya menjadi rakan kongsi firma arkitek, Wong Kin Men Associates pada 1972.

Mendiang yang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani selama 62 tahun dikurniakan seorang anak lelaki, Datuk Seri Vell Paari dan seorang anak perempuan, S. Mangayarkarasi.

Mendiang dilantik sebagai Pemangku Presiden MIC pada 1979 pada usia 43 tahun berikutan kematian Tan Sri V. Manickavasagam pada era Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn. Beliau pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dengan menewaskan Setiausaha Agung parti pada masa itu, Tan Sri S. Subramaniam dan akhirnya sebagai Presiden parti pada 1981.

Mendiang membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC yang paling lama iaitu selama 31 tahun pada 6 Disember 2010 ketika berusia 74 tahun walaupun tempoh jawatan sebagai Presiden hanya berakhir pada Mac 2012.

Beliau merupakan pemimpin veteran Barisan Nasional (BN) yang terakhir meletak jawatan berbanding rakan seangkatannya seperti mendiang Tun Dr. Lim Keng Yaik yang menerajui Gerakan selama 26 tahun yang meletak jawatan pada 2007; Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin UMNO selama 21 tahun sehingga 2002 dan Tun Dr. Ling Liong Sik yang menerajui MCA selama 16 tahun sehingga 2003.

Mendiang terpaksa bekerja ketika usia masih muda bagi membantu keluarga dengan mengambil upah menggulung daun tembakau untuk dibuat cerut.

Setelah ibunya meninggal dunia pada 1950 ketika berusia 14 tahun, mendiang berpindah ke Kuala Lumpur dan menjadi konduktor bas dengan GTC Bus Company (ditukar nama menjadi Syarikat Sri Jaya).

Beliau selepas itu pernah bekerja sebagai pembantu am pejabat dan pelukis pelan di sebuah firma arkitek yang mendorongnya meneruskan pengajian dalam bidang itu.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Samy Vellu pernah menjadi pelakon drama Tamil berjudul Natpu pada 1954 ketika berusia 18 tahun.

Ketika mula menyertai parti itu pada 1959 dengan menjadi Setiausaha MIC Cawangan Batu Caves, Selangor, beliau masih terlibat dengan kerja-kerja lain termasuk sebagai penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1964 ketika berusia 28 tahun.

PENSWASTAAN

Pada 1974, Samy Vellu buat kali pertama dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) dan beliau memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandangnya selama lapan penggal hingga kalah ketika PRU12 pada 2008.

Selain, Hussein, mendiang turut berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri lain iaitu Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Samy Vellu dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978 sebelum dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang dipegangnya paling lama iaitu ketika masih dikenali sebagai Kementerian Kerja Raya dan Kemudahan dari 1979 sehingga 1989 dan kemudian kembali ke kementerian itu pada 1995 hingga 2008.

Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan yang siap secara berperingkat bermula dari 1994 serta pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang dibuka pada 1985.

Beliau menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995 yang menyaksikan kejayaannya mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara (LLN) dan Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia yang kesemuanya pada 1990.

Beliau juga merupakan antara nama penting menyumbang kepada idea Malaysia perlu memiliki satelit sendiri yang menyaksikan pelancaran Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT) 1 pada 1996.

Pada 2011, mendiang dilantik sebagai Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan bertaraf menteri.

Dari segi pendidikan, beliau merupakan penggerak kepada penubuhan Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) yang memberi geran dan pinjaman kepada pelajar kaum India melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan teknologi maklumat.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe di Seremban dan menjadi Canselor Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) pada 2001 yang kemudian dinaik taraf menjadi Universiti AIMST.

Dalam bidang pembangunan ekonomi kaum India pula, beliau antara yang terlibat menubuhkan syarikat pelaburan, Maika Holdings Berhad manakala dari segi sosial turut terlibat dalam penubuhan Yayasan Strategik Sosial (YSS).

Mendiang menerima darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M.), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V pada 2017.

Dalam pada itu, sebagai wartawan yang berkhidmat sejak 1996, sifat unik mendiang yang saya masih ingat adalah sering mengucapkan selamat datang dalam kebanyakan majlis yang beliau hadiri dengan ungkapan ‘selamat datang saudara-mara semua’ dan bukannya ‘saudara dan saudari’ seperti kebiasaan.

Kalau program yang berkaitan kempen mencegah dadah dan menderma darah, ungkapan yang selalu ditunggu-tunggu kami para wartawan adalah “Worang muda suka hisap dade” dan

“Marilah kita semua menderma dare.”

Beliau memang seorang tokoh politik unik seperti yang pernah disebut Najib: “Saya tidak pasti sama ada dalam 1,000 tahun lagi kita akan mempunyai seorang lagi Samy Vellu.” – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×