Pilih nafkah, rokok atau mi segera?

Pilih nafkah, rokok atau mi segera?

PEMBENTANGAN RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen pada bulan ini amat- dinanti-nantikan bagi melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, e-rokok dan vape. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANAK-KANAK berusia di bawah 12 tahun merupakan kategori anak paling ramai terkesan dengan perceraian ibu bapa. Mereka merupakan golongan rentan dan memerlukan perlindungan dari aspek tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, tumbesaran, emosi serta spiritual.

Pada usia sebegini, kanak-kanak sangat bergantung kepada orang dewasa yang menjaga dan menguruskan mereka. Jika baik asuhan diberikan, maka berkemungkinan besar baiklah hasilnya kelak. Begitu juga jika bernutrisi makanan yang disajikan, maka baik jugalah kesannya terhadap kesihatan dan tumbesaran mereka.

Menurut kajian yang saya lakukan terhadap kes talak dan taklik di Selangor dari 2015 hingga 2019, 84 peratus dalam kalangan suami dan 80 peratus isteri yang memfailkan permohonan perceraian terdiri daripada golongan B40. Dalam masa sama, pakar ekonomi mendapati hidup dalam keluarga miskin meningkat 20 peratus di Malaysia dengan 22 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut, 9.2 peratus kanak-kanak dari keluarga B40 mengalami isu kesihatan mental dan lapan daripada 10 kanak-kanak tidak mempunyai akses internet untuk pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Situasi ini dijangka berpanjangan menjelang 2023 sekiranya faktor kewangan tidak diurus dengan baik terutama apabila ekonomi dunia terus mengalami kemelesetan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan aspek pendidikan, kesihatan, fizikal, emosi dan spiritual anak-anak berada dalam situasi baik dan terkawal.

PENINGKATAN PEROKOK

Ironinya, sungguhpun masyarakat terkesan dari aspek ekonomi pasca Covid-19, namun paradoks berlaku apabila statistik menunjukkan jumlah yang menghisap rokok termasuk e-rokok dan vape semakin meningkat. Begitu juga kematian dalam kalangan perokok aktif dan pasif juga semakin bertambah, seolah-olah menjadi petunjuk bahawa sebenarnya kelembapan ekonomi tidak memberi impak terhadap tabiat merokok.

Langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen yang bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, e-rokok dan vape perlu dipandang serius oleh semua ahli Parlimen dan seluruh lapisan masyarakat. Menerusi dasar generasi penamat (GEG), RUU tersebut mencadangkan larangan membeli, memiliki dan menggunakan rokok, tembakau yang dipanaskan atau vape kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Pembentangan RUU kali ketiga yang dijadualkan pada Oktober ini amat dinanti-nantikan. Apatah lagi apabila kadar kematian akibat tiga penyakit utama berkaitan rokok iaitu barah paru-paru, sakit jantung dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) menunjukkan peningkatan. Malah, kutipan hasil jualan rokok sepanjang 2020 sebanyak RM3.0 bilion tidak mampu mengatasi perbelanjaan bagi ketiga-tiga penyakit tersebut, iaitu RM6.2 billion.

KEGANASAN RUMAH TANGGA

Harga sekotak rokok secara relatifnya bukanlah murah. Dengan lingkungan harga antara RM12 hingga RM17.40 bagi sekotak mengandungi 20 batang, sebenarnya nilaian tersebut boleh digunakan dengan lebih bermakna untuk pembelian keperluan harian dan makanan bernutrisi bagi seisi keluarga.

Apa yang menyedihkan, ketagihan rokok ini membawa kepada isu keganasan rumah tangga. Malah terdapat suami yang sanggup memaksa dan memukul isteri hanya kerana enggan memberikan wang bagi membeli rokok.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 memfatwakan rokok sebagai haram, manakala vape dan e-rokok juga difatwakan sebagai haram semenjak 2015.

Bukan hanya dari aspek agama, malah Kementerian Kesihatan juga menguatkan fatwa tersebut dengan membentangkan statistik kematian akibat rokok melebihi 27,200 orang pada setiap tahun.

MI SEGERA

Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai Families on the Edge pada 2020 pula mengetengahkan beberapa masalah nutrisi ketara. Sebagai contoh, penduduk miskin bandar tidak lagi mampu membeli daging dan sayur-sayuran segar. Malah perbelanjaan ke atas mi segera, beras dan telur meningkat lebih 40 peratus.

Kajian itu juga mendapati satu daripada setiap 10 kanak-kanak makan kurang tiga hidangan sehari, seorang daripada lima kanak-kanak mengalami bantut dan kadar berat menyusut bagi setiap seorang daripada 10 kanak-kanak. Malangnya dalam situasi sebegini, masih terdapat yang sanggup ‘membakar’ wang ringgit dengan merokok dan gagal membuat pilihan terbaik untuk keluarga.

KADAR NAFKAH

Arahan Amalan No. 5 Tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengemukakan jadual cadangan pentaksiran jumlah nafkah anak berdasarkan pendapatan bulanan bapa. Jadual tersebut menetapkan kadar 23 peratus daripada pendapatan bapa sebagai nafkah sekiranya mempunyai seorang anak. Sebagai contoh, sekiranya bapa berpendapatan RM2,500 sebulan, maka cadangan nafkah bulanan kepada anak adalah RM575 dengan kadar purata perbelanjaan harian berjumlah RM19.

Seterusnya kadar tersebut ditetapkan kepada 33 peratus sekiranya mempunyai dua orang anak (RM14 bagi setiap anak), 40 peratus bagi tiga orang anak (RM11 sehari) dan 53 peratus sekiranya mempunyai empat orang anak atau lebih (RM11 sehari). Nampaknya dalam keadaan tertentu, nilaian nafkah sehari bagi seorang anak adalah lebih rendah berbanding harga sekotak rokok.

BAJET 2023

Menjelang pembentangan Bajet 2023, disarankan agar langkah tuntas diambil bagi membasmi amalan ketagihan merokok. Diharapkan juga sekuriti makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh segenap lapisan masyarakat.

Bagi pasangan yang menghadapi masalah kewangan pula, usahlah malu untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib seperti pusat zakat, baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain institusi kebajikan. Malah, agensi tersebut juga wajar untuk terus menggempur seluruh jenteranya turun padang bagi menjenguk sisi kelam ekonomi rakyat marhaen.

Mendepani krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia kini, ibu bapa secara kolektifnya sama ada masih dalam tempoh perkahwinan atau mengalami fasa perceraian memainkan peranan sangat penting dalam menyusun atur pola kehidupan keluarga yang lebih sihat.

Antara rokok, mi segera dan kemaslahatan anak-anak, ibu bapa buatlah keputusan yang bijak. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×