SAMBUTAN Hari Kebangsaan sudah pun berlalu. Ia disambut dengan penuh meriah dan warna-warni. Perayaan kenegaraan kedua pula menanti untuk disambut oleh rakyat Malaysia pada 16 September ini.
Kedua-dua perayaan itu mengingatkan kita detik-detik bersejarah yang dilalui negara. Tanggal 31 Ogos adalah tarikh kemerdekaan negara daripada penjajahan British. Tanggal 16 September pula adalah hari pembentukan Malaysia yang menjadikan kita menjadi sebuah keluarga besar dalam sempadan geografi dinamakan Persekutuan Malaysia.
Kedua-dua perayaan kenegaraan ini juga menzahirkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat berasaskan kesepaduan (solidariti) dalam satu semangat kenegaraan dengan rasa kesepunyaan dan kekitaan yang tinggi. Kita bertaut erat di bawah semangat nasionalisme dan patriotisme yang kukuh dan padu.
Kehidupan bernegara keluarga besar terus ditunjangi dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara (ideologi negara) yang menjadi pendoman dan panduan seluruh rakyat. Kini, konsep Keluarga Malaysia diperkenal dan didukung oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi pengertiaan seluruh rakyat hidup bersatu padu dengan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai.
Tiga teras utama itu ialah keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Antara nilai-nilai pengkayaan itu termasuklah budaya integriti, budaya amanah, prinsip keadilan, amalan bermusyawarah, budaya ilmu, budaya komunikasi berhemah dan akhlak mulia.
Kesemua nilai itu harus diamalkan oleh seluruh anggota keluarga (masyarakat) bagi mastikan perpaduan dan keharmonian hidup bernegara dan bermasyarakat rakyat berada pada tahap yang unggul. Maknaya, nilai-nilai itu mampu menjadikan kita sebagai masyarakat berbudaya dan berprestasi tinggi.
Justeru, dalam konteks sambutan Hari Malaysia, penghayatan terhadap konsep Keluarga Malaysia amat penting kerana pemahaman yang betul dan penuh sedar itu mampu membentuk rakyat kita dari Perlis sehingga Sabah sentiasa komited untuk menyuburkan keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional. Anak-anak bangsa Malaysia (Keluarga Malaysia) mesti terus diajar dan dididik perkara berkaitan nilai-nilai kenegaraan ini. Cara paling berkesan ialah melalui satu sistem pendidikan nasional kukuh yang benar-benar dapat membina semangat kewarganegaraan dan hubungan etnik kukuh.
Setiap Keluarga Malaysia sewajarnya memahami bahawa keharmonian, perpaduan dan integrasi merupakan perkara penting dalam usaha membina Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang kuat, berdaya tahan, maju, dinamik dan progresif. Dengan adanya kesedaran dan kefahaman yang tinggi itu, maka kita yakin bahawa generasi muda akan menjadi pewaris masa depan negara yang tinggi semangat kenegaraannya dan boleh hidup bersatu padu dan harmoni tanpa sifat perkauman yang tebal.
INDONESIA
Ini seharusnya dibentuk melalui satu sistem pendidikan dengan penggunaan satu bahasa pengantar sahaja, iaitu bahasa kebangsaan.
Saya cukup yakin bahawa sistem pendidikan satu aliran dengan penggunaan bahasa kebangsaan akan lebih mudah membina perpaduan dalam kalangan anak bangsa Malaysia. Kesemua negara jiran serantau kita mengamalkan sistem pendidikan kebangsaan mereka masing-masing. Indonesia sebagai contoh telah berjaya membentuk masyarakat berjiwa Indonesia yang bersatu padu dalam keragaman etnik dan budayanya.
Penghayatan Rukun Negara juga akan menjadi lebih mantap dan kukuh jika negara mengamalkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang benar-benar dapat membentuk semangat nasional (nasionalisme dan patriotisme) tinggi, bukan lagi pemikiran kenegaraan yang bercapah akibat mengamalkan sistem pendidikan pelbagai aliran dengan pelbagai bahasa pengantar. Kita mesti yakin bahawa dari sudut sosiologinya, sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa pengantarnya bahasa kebangsaan akan menyemai persamaan pemikiran nasional yang dikongsi oleh semua masyarakat berbilang kaum.
Kita tidak mahu Keluarga Malaysia ini dihantui lagi dengan insiden-insiden pergeseran kaum seperti tragedi 13 Mei 1969, pergaduhan di Kampung Rawa, Pulau Pinang (1988) dan Kampung Medan, Selangor (2001). Semua konflik perkauman itu menunjukkan bahawa masih wujud kebencian antara kaum, sekali gus menunjukkan wujud tahap kesedaran dan penghayatan yang tidak memuaskan dalam hubungan etnik di negara kita.
Lebih 10 tahun lalu, Utusan Malaysia pernah menjalankan kajian berkaitan patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Dalam kajian itu, didapati 89.5 peratus responden terdiri daripada generasi muda yang kurang patriotik, tidak mengambil berat soal perpaduan dan kurang mengambil berat sejarah negara (Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010).
Justeru, usaha memperkukuh penghayatan, kefahaman dan kesedaran terhadap integrasi dan perpaduan nasional sepatutnya dibuat melalui sistem pendidikan satu aliran, iaitu sistem pendidikan kebangsaan.
Sayugia diingat bahawa pendidikan bermula dari awal persekolah kanak-kanak dan ia menjadi satu proses berterusan dalam membentuk dan membina jati diri generasi muda. Pastinya, saluran berkesan ialah melalui pendidikan seperti mana diakui oleh ramai ahli sosiologi yang mengkaji sistem pendidikan bahawa saluran pendidikan merupakan alat terpenting untuk generasi muda mendapatkan kesedaran dan mempraktikkan jati diri kebangsaan.
Unsur-unsur rasa ‘sepunya’ dan ‘kebersamaan’ kepada bangsa dan negara dapat diterapkan dalam pembentukan jati diri rakyat melalui satu sistem pendidikan kebangsaan. Kita maklum bahawa tujuan dasar pendidikan kita hendak menyatukan kanak-kanak dari semua bangsa di negara ini dengan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Justeru, mengapa perlu ada pendidikan yang bertentang dengan dasar besar pendidikan itu? – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










