Mustahil tanah rizab Melayu ‘dirampas’ sewenang-wenang - Utusan Malaysia

Mustahil tanah rizab Melayu ‘dirampas’ sewenang-wenang

RAJA-RAJA Melayu secara tegas menetapkan syarat bagi memastikan tanah simpanan Melayu akan kekal terjamin. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT dua berita dan perkembangan yang mengusik minda saya kebelakangan ini. Pertama, Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah, Selangor yang sudah 22 kali dinyahwarta sejak 1924. Keluasan hutan simpan itu kini dipercayai berbaki hanya 2,139 hektar.

Berita kedua, laporan tanah rizab Melayu (TRM) kini hanya tinggal kira-kira 12 peratus. Tentulah tidak adil untuk kita cuba menyalahkan mana-mana pihak dalam soal kehilangan atau kepupusan TRM yang sepatutnya dipertahankan mengikut undang-undang ketat sedia ada.

Namun begitu, realiti yang berlaku di depan mata membuatkan kita tertanya-tanya tentang budaya kerja dan pemikiran mana-mana pihak yang sepatutnya mempertahankannya.

Tulisan ini bertujuan berkongsi maklumat dan fakta asas tentang TRM supaya masyarakat pelbagai kaum boleh memahami dan menghormati keputusan penggazetan tanah itu.

Menerusi Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957, raja-raja Melayu secara tegas menetapkan syarat bagi memastikan akan kekal terjamin, antara lain status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.

Usaha untuk memperuntuk tanah rizab khas bagi orang Melayu sebenarnya berlaku jauh sebelum itu. Enakmen Rizab Melayu (ERM) dikuatkuasakan penjajah Inggeris seawal 1913 dengan motif tersendiri.

Dalam bancian penduduk sebelum 1890, terdapat kategori khusus seperti etnik Melayu, Boyan, Aceh, Jawa dan Bugis. Tetapi mulai 1891, bagi memudahkan kerja penjajah, kesemua etnik atau keturunan itu dilonggokkan di bawah kategori ‘Melayu’.

Kategori tunggal itu diguna pakai apabila ERM diperkenalkan susulan Mesyuarat Residen British bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1908. Rujukan bahan arkib menunjukkan langkah itu susulan kes 32 lot tanah milik orang Melayu dibeli bukan Melayu pada 1905 dan 1906 kerana pemilik asal (Melayu) gagal membayar cukai tanah.

Di Perak sehingga 1911, sejumlah 754 lot tanah milik orang Melayu dibeli pemodal Eropah. Maka, pendaftaran tanah adat diperkenalkan bagi menghalang manipulasi seperti itu. Malangnya, ramai orang Melayu dilaporkan tidak berminat mendaftar tanah adat milik mereka.

Akhirnya, rang undang-undang rizab Melayu diumumkan pada 1912 dan manfaatnya diterangkan kepada orang Melayu. Kesedaran yang mula timbul dalam kalangan orang Melayu memudahkan usaha pelaksanaan undang-undang tersebut.

Draf ERM diluluskan dan diwartakan pada November 1913, sebelum dikuatkuasakan mulai 1 Januari 1914 di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. ERM yang kita gunakan sekarang adalah versi yang disemak pada 1933 dan diluluskan pada 1935.

ARAB

Pada masa kini, kita lebih biasa dan selesa dengan definisi ‘Melayu’ yang termaktub dalam Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan. Apabila kita meneliti ERM, maka kita akan turut menemui istilah ‘Malayan’. Malah, setiap negeri mempunyai definisi berlainan bagi kategori Melayu.

Secara umum, mengikut ERM, seseorang diketegorikan sebagai ‘Melayu’ apabila memenuhi tiga prasyarat iaitu beragama Islam, bertutur bahasa Melayu atau Malayan secara lazim, serta berketurunan Melayu atau mana-mana suku Malayan.

Kedah dan Perlis turut menerima orang berdarah Arab sebagai Melayu, manakala Kelantan meletakkan syarat ‘Anak Watan Kelantan’.

Mengikut Perkara 89, Perlembagaan Persekutuan, setiap negeri boleh memberi definisi ‘Melayu’ masing-masing berasaskan undang-undang tanah negeri iaitu ERM. Di Kelantan, ‘Melayu’ merujuk kepada individu yang berasal dari mana-mana bangsa Malayan yang bercakap mana-mana bahasa Malayan dan menganut agama Muhammad (Islam).

Bagi Kedah dan Perlis, sekurang-kurangnya ibu atau bapa mestilah bangsa Malayan atau keturunan Arab. Bagi Johor pula, ‘Melayu’ bermakna seseorang yang berasal daripada bangsa Melayu atau mana-mana bangsa Malaysia yang lazim bercakap bahasa Malayan dan menganut agama Islam.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Malayan’? Mungkin ada yang mengaitkannya dengan Malayan Union (1946). Sebenarnya dalam ERM, ia merujuk kepada semua etnik di gugusan Kepulauan Melayu. Elok juga kita mengetahui kategori tanah yang boleh diisytiharkan sebagai TRM sejak 1957.

Hanya tanah yang belum dimajukan atau belum bercucuk tanam boleh diisytihar. Pada masa sama, mana-mana tanah yang sudah dimiliki secara sah oleh orang bukan Melayu tidak boleh diisytihar sebagai TRM.

Selain itu, wilayah Rizab Orang Asli tidak boleh dijadikan TRM. Perkara ini penting untuk kita memahami ERM tidak merampas hak penduduk bukan Melayu. Bolehkah status TRM berubah?

Mengikut peraturan dalam enakmen, pembatalan status itu boleh dilakukan oleh menteri besar. Namun, semuanya perlulah mengikut peraturan ketat dalam enakmen. Mustahil orang bukan Melayu boleh sewenang-wenangnya membeli atau merampas tanah rizab milik orang Melayu.

Saya teringat pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 12 Oktober 1996. “Janganlah kita mempunyai sentimen yang terlalu kuat kepada rizab Melayu ini. Ia bukan menjadikan kita mulia, ia menghinakan kita dalam negara kita,” katanya.

Mungkinkah ini punca TRM semakin hilang? – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×