Kaum India bakal terima banyak manfaat dalam Bajet 2023

Kaum India bakal terima banyak manfaat dalam Bajet 2023

MAJLIS pelancaran Briged MIC oleh Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur pada 18 September lalu. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN teka-teki Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mungkin terjawab dalam masa terdekat, perhatian khusus diberikan terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti India oleh pelbagai parti politik. Manakan tidak, semakin banyak parti mulai sedar tentang kedudukan dan peranan undi kaum India dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Pengalaman-pengalaman lepas menunjukkan peralihan undi orang India daripada Barisan Nasional (BN) kepada pembangkang menyumbang kepada kehilangan majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen. Bahkan peralihan sokongan sebahagian besar masyarakat India kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 mempengaruhi kejatuhan kerajaan BN selepas hampir 62 tahun memerintah negara.

Menyedari hakikat ini, Tan Sri S.A. Vigneswaran selaku Presiden MIC bertekad untuk mengembalikan kegemilangan MIC serta memulih semula sokongan kaum India terhadap BN, menyuarakan masalah, harapan dan keperluan komuniti India kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini disuarakan oleh beliau dalam majlis pelancaran Briged MIC Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 September lalu. Dalam perhimpunan raksasa tersebut yang dirasmikan oleh Ismail Sabri Yaakob, hampir 15,000 belia India dari seluruh negara hadir.

Vigneswaran mewakili sebahagian besar komuniti India menyarankan tujuh teras dan 18 inisiatif untuk pertimbangan Perdana Menteri dalam melestarikan dan memartabatkan sosioekonomi komuniti India. Sememangnya amat jelas sekali, saranan Vignewaran yang bersifat holistik menjadi suara hati masyarakat India.

Antara saranan penting Vigneswaran adalah penubuhan unit pelaksanaan program sosioekonomi kaum India, program intervensi awal belia berisiko tinggi, penambahan tempat bagi program matrikulasi, mewujudkan dana usahawan belia, pembangunan modal insan dan kapasiti belia, memperkasakan pertubuhan-pertubuhan belia masyarakat India dan melindungi hak asasi tahanan tanpa bicara.

Selain itu, satu lagi saranan yang sungguh menarik dan meraih sokongan kaum India adalah penubuhan sebuah pusat khas, Indian Youth Transformation Centre seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk melatih golongan muda India yang tinggi risikonya dalam golongan B40 serta penyediaan peruntukan sebanyak RM45 juta bagi melatih 5,000 belia India.

Dalam pada itu, Vigneswaran juga membangkitkan isu kemasukan ke kolej matrikulasi bagi pelajar India. Memandangkan pelajar India menghadapi masalah untuk mendapat tempat di kolej matrikulasi, maka MIC mencadangkan kerajaan bukan sahaja menambahkan kuota jumlah tempat matrikulasi bagi komuniti India, bahkan mempertimbangkan Kolej TAFE milik MIC untuk dijadikan sebagai kolej matrikulasi khas bagi pelajar India yang memperoleh keputusan cemerlang.

DAP

Saranan Vigneswaran bukan sahaja menggambarkan hasrat komuniti India, malah selaras dengan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Ismail Sabri. Sejak mengambil alih tampuk kerajaan, Ismail Sabri berjanji akan mengambil perhatian terhadap pembangunan sosioekonomi kaum India, khususnya pendidikan yang menjadi kunci kepada pembangunan komuniti tersebut. Beliau memperuntukkan dana RM25 juta setiap tahun kepada Universiti AIMST dalam membantu pendidikan pelajar dari golongan B40.

Selain itu, dalam ucapan di majlis berkenaan, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan sentiasa prihatian terhadap kebajikan dan pembangunan komuniti India. Malah beliau berjanji masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam arus perdana pembangunan negara bersandarkan konsep Keluarga Malaysia.

Beliau mengingatkan para hadirin bahawa kerajaan pernah menyediakan peruntukan berjumlah RM25 juta bagi program skim pembangunan usahawan sebagai dana khas untuk pembangunan, RM100 juta untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan sosial di bawah Kementerian Perpaduan yang diuruskan oleh MITRA. Malah kerajaan juga pernah menyediakan RM76.9 juta untuk pelbagai latihan kemahiran sumber manusia, RM50 juta bagi program TEKUN Nasional, RM39 juta untuk sekolah Tamil, RM2 juta untuk program pembasmian kemiskinan kumpulan B40 India.

Selain itu, Ismail Sabri memberi harapan bahawa kaum India bakal menerima dan menikmati banyak lagi peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2023 untuk membangunkan sosioekonomi mereka.

Ekoran janji Ismail Sabri kepada kaum India, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan akhbar yang ditular saban hari dalam media sosial mendakwa bumiputera diperuntukkan RM11.4 bilion berbanding hanya RM34 juta bagi kaum Cina dan India dalam Bajet 2022 yang dibentangkan oleh kerajaan kepimpinan Ismail Sabri. Dengan itu, beliau menyangkal keikhlasan Ismail Sabri terhadap kepentingan kaum India.

Meskipun kerajaan (jemaah menteri) kepimpinan Ismail Sabri dianggotai oleh pelbagai kaum dan agama serta menggambarkan komposisi rakyat, ada pihak mendakwa kononnya kerajaan semasa (Perikatan Nasional) adalah kerajaan Melayu. Jadi, dakwaan seperti itu didapati bukan sahaja tidak berasas, malah lebih merupakan retorik politik semata-mata untuk meraih sokongan politik kaum India.

Apa pun, komuniti India menjangkakan Bajet 2023 meliputi pelbagai program dan peruntukan yang bukan sahaja mampu memacu pembangunan dan kemajuan mereka, malah menarik perhatian golongan muda yang akan menjadi teras dan penentu kepada kemenangan MIC dan BN pada PRU15. Malah pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa MIC dibenarkan bertanding di kawasan tradisi mereka pada PRU15 serta kebangkitan kepimpinannya bakal memberi impak signifikan kepada keputusan pilihan raya. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN