MN seru beri sokongan kepada PN-BN

MN seru beri sokongan kepada PN-BN

ANNUAR Musa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Muafakat Nasional (MN-NGO) menyeru seluruh ahli dan penyokong supaya memperkukuh usaha penyatuan ummah dengan memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sejak penubuhannya, MN-NGO konsisten menjadikan penyatuan ummah sebagai teras perjuangan.

Katanya, hasrat MN adalah untuk melihat parti politik Melayu Islam khususnya Pas dan UMNO kembali bertaawun serta bekerjasama dalam semangat permuafakatan.

“Kerjasama itu penting bagi memperkukuh kestabilan politik, memperkasa ummah serta membina Malaysia yang aman, harmoni, sejahtera dan berkebajikan.

“Alhamdulillah, usaha ke arah penyatuan ini mula menunjukkan perkembangan yang positif di Negeri Sembilan.

“MN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemimpin yang telah mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menjayakan persefahaman serta kerjasama antara PN dan BN di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, MN berpandangan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam merupakan asas penting bagi menjamin kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran negara serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Oleh itu, seluruh ahli, penyokong dan pendukung MN di seluruh negara supaya bersama-sama menjayakan usaha memperkukuh perpaduan ummah serta memastikan kemenangan kepada pihak yang memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Ahli MN juga digesa mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing bagi memohon keberkatan, pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT agar usaha penyatuan ummah dipermudahkan serta dikurniakan kejayaan,” katanya.

Selain itu, mereka diseru turun ke Negeri Sembilan mengikut kemampuan masing-masing bagi membantu gerak kerja kempen dan pilihan raya calon PN serta BN menerusi tenaga, kepakaran, pengalaman dan sokongan yang boleh disumbangkan.

“MN menyeru agar semua ahli, penyokong dan pendukung memberikan sokongan serta memusatkan undi kepada calon-calon PN dan BN sebagai manifestasi komitmen terhadap agenda penyatuan ummah, kestabilan politik serta masa depan negara.

“MN yakin semangat kerjasama, ukhuwah dan permuafakatan berteraskan kepentingan agama, bangsa dan negara merupakan landasan terbaik untuk membina Malaysia yang lebih stabil, harmoni, makmur dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN