KULIM: Seramai 101 pelajar Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah (SMATD), di sini dilaporkan terselamat dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Abdul Mois Ahmad Mansur berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.47 pagi.
Menurutnya, anggota BBP Kulim dibantu BBP Kulim Hi-Tech selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) melaksanakan operasi memadam kebakaran.
“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan asrama lelaki dua tingkat yang memusnahkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan struktur tingkat atas bangunan.
“Bagaimanapun, kesemua 101 pelajar berjaya keluar dan berkumpul di tempat selamat sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi,” katanya.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 3.09 pagi menggunakan empat aliran dengan empat pancutan, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.25 pagi selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Difahamkan, asrama yang terbakar membabitkan penghuni tingkatan dua, tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan enam.
Sehubungan itu, kesemua pelajar dibenarkan pulang bersama waris masing-masing bermula pukul 7 pagi bagi memberi ruang kepada pihak sekolah menguruskan situasi serta tindakan susulan. – UTUSAN










