LONDON: Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin dilaporkan memboikot final Piala Dunia 2026 sebagai tanda tidak puas hati terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), menurut laporan media Britain.
Hubungan antara badan induk bola sepak Eropah dan badan pentadbir bola sepak dunia itu dilaporkan semakin tegang susulan beberapa isu yang mencetuskan perbezaan pendirian.
Antara punca utama ialah keputusan FIFA yang membatalkan penggantungan kad merah penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun menjelang perlawanan Piala Dunia menentang Belgium.
Keputusan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump dilaporkan meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino supaya meneliti semula insiden layangan kad merah berkenaan.
UEFA menyifatkan tindakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku, sukar difahami dan tidak boleh dipertahankan, selain mendakwa ia telah melampaui batas.
Ketegangan turut berpunca daripada kegagalan FIFA memastikan pengadil dari Somalia, Omar Artan dibenarkan memasuki AS selepas pihak berkuasa negara itu menolak permohonannya.
Sebagai tindak balas, UEFA melantik Artan untuk mengadili perlawanan Piala Super UEFA yang dijadual berlangsung bulan depan.
Selain itu, FIFA turut dikritik kerana gagal memastikan Iran menerima layanan yang sama seperti pasukan lain yang bertanding di AS.
Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei mendakwa pasukannya merupakan pasukan yang paling ditindas sepanjang kejohanan, manakala Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin dilaporkan berkata, dia menari kegembiraan selepas Iran tersingkir daripada kejohanan.
UEFA juga masih enggan menerima pakai beberapa pembaharuan yang diperkenalkan FIFA pada Piala Dunia, termasuk rehat hidrasi, protokol Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi kes tersilap mengenal pasti pemain, serta kad amaran terhadap pemain yang menutup mulut ketika bercakap dengan pihak lawan.
Protokol VAR berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila penyerang Switzerland, Breel Embolo dilayangkan kad merah dalam aksi suku akhir menentang Argentina.
Sebelum kejohanan bermula, Ceferin turut mengkritik format baharu Piala Dunia yang melibatkan 48 pasukan.
“Kita mempunyai terlalu banyak perlawanan yang langsung tidak menarik,” katanya seperti dipetik sebuah akhbar di Slovenia.
Dia juga secara terbuka mengkritik harga tiket Piala Dunia yang disifatkan terlalu tinggi. – AGENSI










