Jangan kuburkan FPK bersama pengasasnya

Jangan kuburkan FPK bersama pengasasnya

WAN Mohd. Zahid Mohd. Noordin (tiga dari kanan) ketika menjadi Pengarah Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara di Putrajaya pada 2017. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALLAHYARHAM Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin kembali ke rahmatullah bersamaan Hari Malaysia, baru-baru ini. Seorang ahli pendidik, pemikir dan budiman, meninggalkan banyak jasa kepada negara dan masyarakat pendidik tanah air khususnya.

Pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan (1993-1997), pengaruhnya amat terkesan sekali terutama pada pendidikan rendah serta menengah. Beliau banyak membawa perubahan serta memberi keluwesan untuk membuat perubahan tersebut. Banyak sekolah di luar bandar mendapat manfaat dalam menyelesaikan pelbagai masalah merumitkan melalui pendekatan dari bawah ke atas, bukan sebaliknya. Pendekatan ini juga mirip memupuk kerjasama dengan ibu bapa serta orang ramai secara bergotong-royong.

Namun, beliau tidak kurang juga menyumbang kepada pengajian tinggi dari pelbagai sudut. Umpamanya, sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Akademi Kepemimpinan Pengajian Tinggi (Akept), selain dalam lembaga pengarah universiti lain. Saya mula berkenalan dengan beliau sebagai anggota Jawatankuasa Inisiatif Universiti Cemerlang (APEX) mulai 2007. Dan mendapati pengalamannya yang luas sekali dalam selok-belok pendidikan keseluruhannya.

Sekali lagi semasa dalam jawatan kuasa mengkaji semula ekosistem pengajian tinggi. Pada setiap peranan dimainkan, pandangannya cukup jauh ke hadapan, suatu tanda aras yang cukup jelas bagi beliau.

Selain itu, keberanian serta kecekalan ditunjukkan sesuai dengan seorang ahli pendidik yang betul-betul jujur serta beriltizam tinggi. Kebebasan berfikir serta meluah pemikiran bernas mendapat tempat asalkan membawa hasil yang terbaik demi kehormatan ilmu untuk jangka masa panjang. Sikap kental ini jarang-jarang dirasai kebelakangan ini, meletakkan Allahyarham terkemuka sebagai pemimpin pendidikan negara.

Pada 2007, beliau dianugerahi Tokoh Kepemimpinan Pendidikan. Beliau tegas mengemuka idea baharu dan bijaksana pula melaksanakannya bagaikan seorang budiman, menabur budi seluhur hati.

SEJAHTERA

Sahsiah ini terserlah apabila menukil perihal Falsafah Pendidikan Negara (1998) dan kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996. Saya sempat berguru dengan beliau sebagai salah seorang ahli perintis kedua-dua versi falsafah tersebut. Ini membolehkan kefahaman falsafah tersebut didalami ke akar umbi secara lebih menyeluruh serta terperinci. Serta berbangga Malaysia berupaya dan berjaya mengungkapkannya dengan yakin dan sesuai pula pada iklim pembelajaran silang budaya merentasi pelbagai kaum serta kelompok seluruh negara.

Ia dicetuskan oleh sekelompok pakar serta pengamal pendidik yang amat berpengalaman sebagai rakyat yang benar-benar mewarnai cogan Bersekutu Bertambah Mutu seperti terukir pada jata negara. Malah boleh dikatakan setiap simbol dalam jata tersebut meniupkan roh pendidikan unggul lagi menyakini masa hadapan yang berdaulat dan merdeka.

Hanya berpaksikan inti-inti pendidikan yang jitu bersendikan semangat kenegaraan kental mampu membawa falsafah penuh bererti dalam memupuk insan bukan sahaja berpelajaran tetapi terdidik, bukan sahaja berijazah tetapi bermaruah, bukan sahaja berakal tetapi berhati murni. Itulah antara anak kunci kepada hari muka negara serta rakyat jelatanya.

Bahkan semua ini membayangkan betapa terdahulunya falsafah pendidikan yang telah diukir, menunggu ukiran sama tertera pada setiap benak dan jiwa rakyat dengan sifat budiman.

Malangnya ini tidak berlaku secara menyeluruh dan pasti sejak lebih 30 tahun silam menampakkan kurang iltizam serta kesungguhan membina sebuah ekosistem impian lagi sejahtera.

BULI

Istilah ‘sejahtera’ merupakan asas kepada impian tersebut apabila tersemat pada kalimat ‘kesejahteraan diri’ dalam falsafah pendidikan. Malah ia satu-satunya risalah rasmi awal menggunakan istilah ‘sejahtera’ berkaitan rapat pada maksud ‘kesejahteraan diri.’ Setakat ini belum terjumpa dokumen rasmi lain yang memuatkan istilah tersebut dari aspek selain pendidikan.

Ini jelas menunjukkan Allahyarham serta kumpulan pakarnya telah mendahului zamannya dalam menjadikan ‘sejahtera’ sebagai matlamat mutakhir pendidikan negara. Betapa tidak, kalau disorot kepada masyarakat semasa yang agak resah dan gundah kedudukan, baik di persekitaran sekolah atau universiti sekalipun.

Ambil sahaja soal penderaan atau buli (istilah import) dalam kalangan para pelajar yang baru-baru ini diakui sudah meningkat luar kawalan tatkala Kementerian Pendidikan melancarkan kempen mencegah penderaan di persekitaran sekolah di seluruh negara. Anehnya, itupun selepas terbangunnya program rasmi Sekolahku Sejahtera di setiap sekolah.

Dengan kata lain, ungkapan ‘sejahtera’ yang dibawa ke dalam program tersebut tidak kesampaian sama sekali. Tafsirannya lari jauh daripada inti falsafah pendidikan yang menyasarkan ‘kesejahteraan diri’, bukannya sekolah. Hakikat ini jelas menunjukkan bukan sahaja falsafah terabai, malah pengisiannya juga agak kontang atau songsang.

Ringkasnya, hasrat pemikir, pengubal dan perintis falsafah tidak terkesan kerana kelompangan pemikiran yang terkesan berlaku sekarang ini. Ertinya, falsafah menyasarkan kemenjadian pelajar sebagai seorang ‘insan sejahtera’ (bukan ‘modal insan’ seperti acap diuar-uarkan) sebagai matlamat terakhir falsafah menjelma daripada kefahaman mendalam kalimat ‘kesejahteraan diri’ itu.

Apatah lagi apabila membawa kepada pascapandemik yang banyak mencabar soal ‘kesejahteraan diri’ berhubungan kegusaran mental, emosi serta rohani yang tetap akan menyelusuri mahu ataupun tidak. Soalnya, bolehkah kita cukup bersedia sepenuhnya jika falsafah pendidikan sebagai satu risalah berhikmah terus dikesampingkan dan diganti pula dengan satu usaha agak sembarangan dan tidak sejahtera sebenarnya?

Akhir kalam, mengenang jasa pejuang serta pemikir silam adalah amanah yang tidak boleh diambil ringan atas apa juga alasan. Maka dengan berlalunya Allahyarham, paling tidak untuk membalas budi beliau, amat wajar dipastikan yang FPK 1996 tidak terkubur bersama jasadnya.

Sebaliknya, menentukan FPK terus hidup segar seolah-olah roh pejuang pendidik terus menyuburi ilmu dan amal sebagai ibadah yang berkekalan. Tanpa pegangan ini, masa hadapan pendidikan tidak akan dapat memberi apa-apa penentuan manusiawi. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkilfi Abdul Razak ialah Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN