Islam di China, usah terlalu emosi

Islam di China, usah terlalu emosi

JUMLAH populasi masyarakat Islam di China adalah 25 juta orang. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMASUKAN Islam ke China sudah tentu tidak banyak beza dengan cara kemasukan Islam di Malaysia. Ia berlaku sama ada menerusi laut atau darat dan kebanyakannya tertumpu kepada perdagangan dua hala. Dari situ, interaksi antara kedua-dua tamadun ini berlaku dan secara tidak langsung memperkenalkan Islam di China.

Ini antara fakta penting yang harus diambil perhatian supaya kita tidak mudah terperangkap dakyah jahat Barat yang sentiasa cuba mencalarkan imej China dengan fitnah dan berita palsu kononnya republik itu sedang menyembelih dan melenyapkan umat Islam di sana. Bukankah Islam sudah lama bertapak di sana? Mana mungkin semudah itu kerajaan China pada hari ini memisahkan hubungan antara Islam dan rakyatnya sejak ratusan tahun?

MINORITI

Meskipun umat Islam di China hanya minoriti, namun populasi mereka (25 juta) jauh lebih besar daripada keseluruhan umat Islam di Malaysia (17 juta). Lucu apabila saya memikirkan bagaimana propaganda Barat dengan mudahnya mendakwa China sedang cuba menghapuskan 25 juta umat Islam di negara tersebut.

Bangsa Hui merupakan kumpulan terbesar umat Islam di China dan Xinjiang adalah wilayah majoriti umat Islam yang dipelopori penduduk Uighur. Kebanyakan mereka menetap di Ningxia, Gansu dan Qinghai.

Daripada 55 kumpulan minoriti yang diiktiraf sebagai kumpulan rasmi oleh kerajaan China, 10 daripadanya adalah dalam kalangan Muslim sunni. Sosok-sosok penting yang sering dikaitkan sebagai pencetus kemasukan Islam di China sudah tentulah dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad SAW. Sa’d bin Abi Waqqas, Wahid bin Abi Kabshah dan beberapa sahabat lainnya merupakan antara watak penting dalam sejarah Islam di China.

Sa’d bin Abi Waqqas juga pernah dihantar oleh Khalifah Uthman bin Affan bersama rombongan rasmi untuk bertemu Maharaja Gaozong (650M).

GEDIMU, QADIM

Gedimu atau qadim merupakan sekolah Islam terawal di China. Ia merupakan sekolah sufi Hanafi sunni. Antara kumpulan mazhab yang wujud di China selain Hanafi adalah Shafie dan beberapa kumpulan sufi lain seperti Kubrawiyya, Khafiyya, Jahriyya dan Qadiriyya.

Banyak sebenarnya fakta sejarah Islam di China yang menarik dan perlu diambil perhatian oleh anak bangsa kita. Saya sendiri mengambil masa yang agak panjang untuk menelaah bahan-bahan dari sumber yang tiada sentuhan Barat dan musuh China.

Kadang-kadang kita terlalu beremosi sehinggakan jika ada sedikit pertelingkahan yang berlaku antara dua kumpulan, terus sahaja mendakwa itu adalah pertembungan antara umat Islam dan kerajaan China sedangkan banyak watak yang harus dipertimbangkan seperti kewujudan puak ekstremis dan pemisah. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×