“RASUAH ialah penyakit dalam masyarakat, penyakit bersifat barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.” – Titah Sultan Nazrin Muizzuddin sewaktu pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor, minggu lalu.
Isu rasuah bukanlah baharu tetapi ia bukanlah satu isu yang harus dinormalisasikan. Gejala rasuah menyumbang kepada kejatuhan empayar besar dunia. Itu adalah sejarah dan kisah lama. Bagaimanapun, kisah lama inilah harus diambil iktibar untuk mengelakkan kita daripada mengulanginya. Dalam menangani dan memerangi rasuah, pelbagai cara baik dari aspek perundangan ataupun pendekatan luar undang-undang diperkenalkan di negara ini.
Namun begitu, jenayah rasuah tetap berlaku. Malah menurut Transparency International, Malaysia jatuh dari kedudukan ke-57 pada 2020 ke tangga ke-62 (2021). Malaysia juga merekodkan skor 48 dan berada dalam kelompok kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.
Rekod ini tidak boleh dibanggakan oleh kita. Bertambah kecewa rakyat apabila terdapat pertuduhan di mahkamah membabitkan pemimpin negara atau pegawai kanan kerajaan yang terlibat dengan rasuah ataupun salah guna kedudukan. Seterusnya, menurut laporan Global Financial Integrity yang dikeluarkan pada 2017, Malaysia kehilangan sebanyak RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan yang tidak sah antara 2005 hingga 2014 yang sebahagiannya disebabkan oleh rasuah.
Kesan buruk rasuah dari aspek ekonomi dan pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malaysia hakikatnya boleh berjimat sehingga RM400 bilion sekiranya kerajaan membayar 30 peratus kurang daripada bayaran untuk barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kontraktor dan juga vendor. Ini merupakan satu jumlah dan beban kewangan yang besar kepada perbendaharaan negara. Sudah pasti kesannya kepada masyarakat, kualiti perkhidmatan yang dibekalkan telah dikompromi oleh pemain-pemain rasuah ini.
Undang-undang berkaitan jenayah rasuah juga jelas dalam perundangan negara. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) menyatakan kesalahan-kesalahan yang melibatkan rasuah. Bahagian IV Kesalahan dan Penalti merangkumkan kesalahan di bawah Akta 694, misalnya menerima suapan di Seksyen 16, penyogokan pegawai badan awam menurut Seksyen 21 dan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan di Seksyen 23.
Penalti bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen-seksyen 16,17,20,21,22 dan 23 pula dinyatakan secara jelas di Seksyen 24 yang mana sekiranya disabitkan, seseorang boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
KAWTIM
Hakikatnya, Akta 694 membuktikan bahawa sudah terdapat undang-undang khusus untuk jenayah rasuah. Malah, penalti yang dikenakan juga adalah berat. Lantaran itu, apakah punca jenayah rasuah di Malaysia masih berleluasa? Adakah hukuman yang dikenakan tidak setimpal atau penguatkuasaan tidak berkesan?
Hakikatnya, sekiranya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, ia masih tidak boleh membanteras jenayah rasuah secara total. Harus diingatkan, rasuah melibatkan dua pihak iaitu pemberi dan penerima. Sekiranya tiada pemberi, penerima rasuah tidak akan wujud sama sekali.
Oleh yang demikian, isu utama yang perlu diakui oleh masyarakat adalah penerapan dan kesedaran terhadap penolakan rasuah secara menyeluruh. Apa-apa sahaja budaya kawtim ataupun adjust perlu ditolak dan tidak boleh menjadi kelaziman.
Di mana-mana sahaja organisasi, baik kerajaan ataupun swasta harus menolak segala bentuk rasuah. Walaupun sudah terdapat polisi larangan memberi hadiah dan penggiliran bagi jawatan yang melibatkan kewangan dilaksanakan, ia masih tidak menunjukkan perubahan signifikan untuk membendung isu rasuah.
Selain itu, dalam usaha membanteras isu rasuah, perlu wujud iltizam politik untuk memerangi rasuah secara komprehensif. Peperangan menangani rasuah adalah sukar kerana ia melibatkan pembanterasan akar yang sudah tercemar. Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh pemimpin politik supaya sentiasa dan dilihat bersih dalam mengendalikan urusan pentadbiran negara. Sekiranya pemimpin politik tidak serius menanganinya, maka rasuah akan diterima sebagai satu budaya sehingga hilang rasa jijik kepada jenayah ini.
Harapan membanteras rasuah kini terletak kepada generasi muda. Stigma bahawa duit boleh digunakan untuk menyelesaikan semua perkara mesti ditolak. Golongan muda berkewajipan untuk membawa nafas baharu dalam ekosistem pentadbiran, perniagaan dan tadbir urus, menolak dengan tekad dan tegas segala tawaran serta penerimaan duit kopi sebagai ‘pelincir’ bagi memudahkan urusan. Jika tidak, biar berapa tahun penjara atau berlipat ganda denda yang diperuntukkan undang-undang, ia tidak akan menggentarkan pengamal rasuah.
Tuntasnya, usaha pembanterasan rasuah merupakan satu perjalanan yang panjang. Ia tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk semua pihak kembali berpaut kepada ajaran agama yang sewajarnya menjadi panduan dalam hidup kita. Dalam pada masyarakat mengkehendaki pemimpin yang bersih daripada rasuah, mereka sendiri mesti membantah budaya ini secara total kerana pemimpin adalah cerminan orang yang dipimpinnya. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan dan Bendahari Kehormat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










