CERITA seorang jiran sebelah rumah kepada saya, selepas habis kerja, malam-malam dia akan bawa Grab. Memang penatlah sebab esok hendak ke pejabat lagi.
Tetapi katanya, asyik merungut duit tak cukup setiap bulan atau mengenangkan keperitan hidup yang entah bila habisnya, tak akan selesaikan masalah. Kehidupan ini, adalah tanggungjawab sendiri. Hendak harapkan siapa pula beri kesenangan pada diri dan keluarga sendiri.
Katanya, dengan gaji kira-kira RM3,000 lebih sebulan setelah ditolak pinjaman bank untuk rumah dan kenderaan, duit dapur dan petrol, wang gajinya baru masuk 1 haribulan hanya berbaki RM150. Macam mana hendak hadap dengan baki RM150 untuk sampai ke hujung bulan? Sebab itulah dia buat lebih daripada satu kerja.
Dia akui kadang-kadang tumpuan kepada kerja hakiki agak terjejas akibat keletihan. Tetapi inilah survival kehidupan. Masing-masing kena berusaha kuat. Merungut dan banyak komplen bukan jalan selesai.
Nasib baik isterinya juga bekerja tapi kena bayar upah penjagaan anak di rumah pengasuh. Itu pun ikut jam juga. Kalau lambat ambil anak, ada tambahan sejam RM20.
Itu cerita seorang pekerja profesional. Punya ijazah. Tetapi disebabkan majikan membayar gaji tidak mengikut kelayakan akademik dan pengalaman atas dasar bersyukurlah ada kerja ketika ini, dia akur sementara mengintai peluang kerja lain yang gajinya lebih berpatutan.
Seorang rakan pula bercerita, dia menyewakan sebuah rumah kecil dengan kadar RM400 sebulan di belakang rumahnya di sebidang tanah lot di Selangor kepada pekerja asing.
Katanya, pekerja asing itu bekerja sebagai pemandu van pekerja dan dia mendapat gaji sebanyak RM3,000 sebulan. Makan minumnya pula ditanggung oleh majikan.
“ Lagi sikit lagi, gaji dia nak sama dengan gaji tuan rumah yang dia sewalah. Malu pula aku yang ada ijazah dan kerja pejabat ini,” katanya sambil ketawa berdekah-dekah. Dia bernasib baik tanah itu, milik orang tuanya. Walaupun gaji dia tidak tinggi mana tapi dia masih ada pendapatan lain, iaitu rumah sewa.
Saya pun turut ketawa. Dalam rasa perit ada lucu. Itulah, dalam dunia ini, banyak perkara dan tindakan yang boleh buat kita ketawa dalam duka. Isu gaji ini, sampai bila pun bila ia didebatkan antara majikan dan pekerja tidak akan habis.
Dan ada pula yang kata, orang kita ini sebenarnya bising-bising saja di media sosial gaji mereka sikit, harga barang-barang naik dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik tiga kali berturut-turut, tetapi masa cuti sekolah ramai saja bercuti ke Thailand. Pintu sempadan negara itu penuh dengan rakyat Malaysia.
Seorang warganet ketika mengulas berita bercuti itu berkata, tak akan yang pergi itu golongan T20, iya tak? Mereka ini kalau pergi cuti luar negara ke London, Amerika atau Australia. Tak pergilah negara jiran.
Pada saya, jangan pukul rata semua yang mampu bercuti dan beratur panjang untuk ke Hatyai atau Langkawi itu golongan B40 atau M40 yang merungut tiada duit tapi bab-bab berbelanja dan berjalan ini mereka kelihatan macam golongan T20.
Ada juga yang pergi bercuti itu jenis yang bersuka-suka dulu, berduka lara kemudian. Duit habis fikir nantilah. Asalkan dapat bergembira dulu. Selepas itu pandai-pandailah beli mi segera, telur sepapan dan ikan bilis. Hadaplah sampai cukup bulan.
Ada juga sebelum bercuti mereka merancang dulu dengan menyimpan duit sedikit-sedikit dalam tempoh beberapa bulan. Mereka sudah mengira berapa belanja penginapan, pengangkutan dan makan untuk bercuti nanti.
Dan kalau kita biasa melancong ke Hatyai pun, sewa hotel tidaklah semahal dalam negara kita. Boleh lagi dapat bilik yang besar dengan harga RM60 tetapi di Malaysia paling murah RM250 ke atas pada cuti umum. Tak salahlah kalau cakap melancong dalam negara ini lebih mahal dari luar negara.
Yang berpusu-pusu itu tidak mewakili golongan susah. Ramai yang tidak mampu bercuti. Jangan kata Langkawi, Port Dickson pun tak lepas. Duit cukup hanya untuk perbelanjaan yang penting saja. Jangan diukur dengan berapa ramainya beratur panjang ke Thailand itu dengan kesusahan sebahagian besar rakyat marhaen.
Dan saya rasa ramai berharap apabila berada di ambang persaraan nanti, kita tidak perlu lagi fikir atau bergelut pasal hutang. Tetapi paling merisaukan, apabila kita lihat ramai pekerja dalam usia pra persaraan kewangan tidak stabil. Masih ramai terbeban dengan hutang bank dan tiada rumah sendiri.
Minggu lalu, seorang pembaca kolum ini menghantar emel kepada saya. Dia mengulas tajuk kolum ini minggu lepas OPR naik lagi – Bagi menjirus luka yang pedih.
Muhd. Aizat menulis, ada kawan-kawannya yang masih tidak mampu membeli rumah dan menyewa dalam usia lebih 50 tahun. Ada yang terpaksa hidup di rumah anak beranak dan adik beradik selepas pencen kerana tidak memiliki rumah sendiri.
Dengan harga rumah yang semakin mencanak naik, bolehkah yang bergaji rendah memiliki rumah sendiri? Yang kita risau, rumah adalah untuk orang kaya. Orang yang berpendapatan rendah, sampai ke tua pun hidup menyewa.
Dan satu lagi emel daripada Nik Abdullah, dia menulis – Teori ekonomi mana pun yang kerajaan guna untuk membendung inflasi dan kenaikan harga barang dan kemudiannya keluar dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, jika rakyat marhaen tidak merasa apa-apa kesan positifnya, masih bergelut kesusahan, ia tidak memberi sebarang makna kepada golongan ini. Yang kaya bertambah kaya.
Sememangnya survival hidup kita semua berbeza. Tetapi matlamatnya sama. Mahu mendapat kehidupan selesa untuk kebahagiaan diri dan keluarga. Sementara kita menunggu kesan-kesan positif daripada langkah-langkah kenaikan OPR beberapa kali atau peningkatan banyak peluang kerja berbanding tahun lalu dan dikatakan ekonomi negara bertambah rancak ketika ini, kita rawat sendirilah ‘sakit’ yang ada itu.
Melakukan lebih satu kerja, berbelanja secara berhemah, berjimat cermat atau menabung jika ada wang berlebihan, nampaknya itu saja ubat yang mujarab ketika ini. Orang kata, ubat yang baik, ambil masa untuk sembuh dan untuk sembuh kita jangan putus asa. Putus asa itulah yang sakit.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia










