Beri masa kerajaan buat reformasi - Utusan Malaysia

Beri masa kerajaan buat reformasi

HASANAH Abdul Hamid (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pecah amanah RM50.4 juta yang dihadapinya pada 9 Ogos lalu. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REFORMASI institusi yang paling diperlukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah pemisahan jawatan dan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara supaya bebas daripada sebarang campur tangan politik.

Ia telah pun diusulkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri, tetapi tanpa satu jangka masa yang tetap.

Keperluan untuk melaksanakannya sebelum PRU15 menjadi ketara dengan tuntutan daripada pemimpin dan akar umbi UMNO untuk Ismail Sabri menukar Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun, yang dikecam sebagai menjalankan ‘pendakwaan terpilih’.

Pendakwaan terpilih, dalam bahasa yang paling mudah ialah ‘dua darjat’ dalam pendakwaan. Ada satu darjat rakyat kebanyakan yang akan didakwa kalau melanggar undang-undang.

Ada satu lagi darjat orang besar yang terlepas daripada pendakwaan dalam pelbagai cara termasuk tidak didakwa langsung, didakwa dahulu tetapi kemudian pendakwaan digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara dan terus didakwa tetapi pihak pendakwa raya melakukan kesilapan teknikal sehingga kes dimenangi dengan senangnya oleh si dituduh.

Apakah pemisah darjat yang menyebabkan pendakwaan terpilih untuk sesetengah orang dan pelepasan terpilih untuk orang lain? Pemisah darjat pertama, nampaknya ialah kedudukan sosioekonomi dan politik, di mana orang kebanyakan hampir sentiasa akan didakwa kerana melanggar undang-undang.

Sebagai contoh, pada 14 Ogos 2020, seorang mak cik berusia 72 tahun di Ipoh yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disabit kesalahannya kerana makan di luar semasa dia perlu berkuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara. Dia dipenjara sehari dan didenda RM8,000.

Seminggu sebelumnya, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, didenda hanya RM1,000 kerana melanggar peraturan kuarantin tujuh hari selepas lawatan keluar negara.

Gejala dua darjat ini berlaku sebelum dan selepas PKP dan nyata sekali dalam kesalahan mencuri yang mengambil berlainan bentuk. Pada 5 Julai lepas, seorang suri rumah yang didakwa mencuri dua peket Milo bernilai RM73 disabit kesalahannya dan dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan.

Pada 9 Ogos kemudiannya, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang pada asalnya didakwa pada 2018 atas jenayah pecah amanah sejumlah RM50.4 juta dibebaskan oleh mahkamah.

Ini berlaku setelah si dituduh ‘dilepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) pada 12 April 2021 selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa kesnya tidak akan diteruskan tanpa diumumkan sebab dan tiada pendakwaan baharu dibuat kepadanya.

Pemisah darjat kedua ialah hubungan politik kerana bukan semua penjenayah yang menceburi bidang politik akan terlepas daripada tuduhan. Selalunya, yang terlepas daripada tuduhan ialah mereka yang berada dalam kem parti pemerintah.

GUGUR

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sendiri terlepas daripada dakwaan atas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015 apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Patail, digantikan dengan mendadak oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Kes Najib hanya bermula selepas penggantian kerajaan pada 2018 dan di bawah Peguam Negara baharu, Tan Sri Tommy Thomas. Di bawah Tommy berlaku pengguguran kes yang menimbulkan kontroversi termasuklah kes Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Di bawah penggantinya, Idrus, senarai tertuduh yang digugurkan pendakwaan meningkat. Selain Hasanah, ia juga termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Pengguguran kes-kes ini mungkin ada merit sendiri, tetapi kalau sekalipun begitu, merit itu akan tenggelam dalam kontroversi kerana percanggahan kepentingan dalam dwifungsi utama Peguam Negara, sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan sebagai pendakwa raya.

Dalam fungsi pertama, sememangnya penasihat undang-undang kepada kerajaan dan Perdana Menteri mestilah ‘orang dia (Perdana Menteri)’.

Akan tetapi, apabila ‘orang dia’ yang menentukan sama ada sesuatu kes didakwa, diteruskan atau digugurkan, bagaimana rakyat boleh memastikan bahawa ‘orang Perdana Menteri’ tidak memihak kepada ‘orang-orang Perdana Menteri’ yang lain?

Dalam keadaan yang paling ekstrem, penjenayah akan terbahagi kepada dua darjat, iaitu penjenayah orang kuat yang boleh menobatkan Perdana Menteri dan seterusnya melantik Peguam Negara yang mesra untuk membebaskan mereka dan penjenayah biasa yang cuma melantik peguam biasa.

Parti-parti dan pemimpin-pemimpin politik kalau benar-benar inginkan kestabilan politik seharusnya memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri yang menyatakan pada 19 Mei lepas tetapi tanpa jadual waktu untuk melaksanakan pemisahan jawatan pendakwa raya daripada Peguam Negara.

Kerajaan Keluarga Malaysia harus diberi masa untuk merealisasikan reformasi institusi yang sangat penting ini sebelum PRU15.

Jika Parlimen ke-14 yang semakin biasa dengan kerjasama rentas parti dibenarkan berlangsung sehingga hujung penggalnya pada 15 Julai 2023, maka sudah tentu boleh menjadi realiti bahawa pendakwa raya boleh ‘bebas’ daripada sebarang gangguan politik. – UTUSAN

Pokok rapuh jangan dipanjat
Masa muda jangan disia-sia
Mari hapuskan dua darjat
Baru stabil Keluarga Malaysia

PROFESOR Wong Chin Huat ialah ahli sains politik di Sunway University yang mengkhusus dalam sistem pilihan raya, parti dan demokrasi berparlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×