KALI pertama saya bertemu beliau ialah ketika ditugaskan membuat liputan program cerapan anak bulan Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, lewat senja 1 April lalu.
Itupun saya cuma kenal Datuk Dr. Azhari Mohamed sebagai bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) tetapi tidak tahu beliau juga ialah pakar falak tanah air.
Bahkan, ketika pertemuan kali kedua di Universiti Kebangsaan Malaysia awal bulan ini, saya terkejut mendapati beliau juga ialah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia.
Lebih takjub, ketika bersembang dengan beliau selepas habis program, saya teruja melihat kad nama dirinya ialah bekas Presiden Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia.
Profil dirinya ternyata bukan calang-calang meskipun beliau sering juga beberapa kali dikritik warganet dek hantaran mengenai pelbagai isu ‘panas’ berkaitan falak. Bagaimanapun, bukan itu saya ingin ceritakan tetapi pandangan peribadi beliau yang agak kontroversi, namun masih berlapik tersirat dengan hujah berfakta dan lengkap kajian saintifik.
Antara paling menarik perhatian saya ialah pengamatan dirinya yang mendapati ada banyak insiden pelik sering berlaku pada waktu malam sepanjang tempoh fenomena bulan tiga suku.
Justeru, Azhari menasihati masyarakat agar lebih berwaspada semasa minggu ketiga takwim Hijrah itu kerana kerap kali kejadian jenayah terjadi pada waktu malam.
“Mungkin ada kata lucu tapi berdasarkan pemerhatian, banyak kes polis terutama sumbang mahram yang dilaporkan ketika waktu tempoh tujuh hari berkenaan,” katanya dalam nada serius.
PEMANDU MABUK
Bulan tiga suku kelazimannya muncul pada minggu ketiga takwim Islam dengan imej bulan sabit setelah fasa bulan penuh atau purnama sebelum memasuki kembali anak bulan baharu.
Selain kes inses melibatkan ahli keluarga sendiri, jenayah pecah rumah dan kemalangan trafik disebabkan oleh pemandu mabuk juga amat tinggi direkodkan sepanjang tempoh itu, ujarnya.
Dalam nada jenaka, beliau merujuk bidalan lama Melayu, otak tiga suku sebagai mungkin hasil pengamatan teliti masyarakat dahulu kepada situasi sepanjang keadaan sedemikian.
Meskipun belum ada kajian secara saintifik bagi membuktikan situasi aneh itu, beliau berkata, laporan media mengenai kes jenayah lebih ‘meriah’ bermula daripada hari ke-21 takwim Hijrah.
“Kalau tidak percaya, cuba semak balik baca akhbar dan tengok berita di televisyen, banyak kes polis dilaporkan dan yang paling ketara isu sumbang mahram dalam rumah,” jelas Azhari.
Beliau tidak menolak teori masyarakat Melayu dahulu yang menggambarkan suasana gelap ‘samar’ menjelang hujung bulan itu mengikut kalendar qamari atau lunar sebagai punca utama.
Pada masa sama katanya, ada kajian tertentu sebelum ini mendakwa konon pada tempoh itu, situasi kelam kurang cahaya di langit turut memberi kesan besar pada minda manusia sendiri.
Justeru tambahnya, si penjenayah mungkin menjadi aktif mencari mangsa dan memberi ilham kepada peribahasa lama seperti otak tiga suku yang merujuk seseorang dengan perangai gila.
Bahkan ujar beliau, kejadian jenayah amat kurang dilaporkan pada pertengahan bulan apabila langit begitu terang benderang disinari indah oleh cahaya bulan kerana dipantul dari matahari.
“Barang kali ada kata ini hanya kebetulan, namun pakar kriminologi boleh buat kajian empirikal mengenai kaitan pola perlakuan jenayah dengan garis masa fasa perubahan bulan,” katanya. – UTUSAN










