Suara lantang di pentas dunia

Suara lantang di pentas dunia

ISMAIL Sabri Yaakob adalah satu-satunya pemimpin ASEAN yang lantang dan tanpa rasa gentar menggesa campur tangan Amerika Syarikat untuk menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA menyentuh tentang dasar luar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan genap setahun pentadbirannya, lusa (21 Ogos), kita sudah tentu dapat melihat persamaan dengan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga berasal dari Pahang. Kedua-kedua mereka berkelulusan undang-undang mengamalkan dasar luar yang bersikap terbuka, berkecuali dan bersahabat dengan mana-mana negara tanpa mengira ideologi, politik dan agama.

Ini berbeza semasa pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mengamalkan dasar luar bersifat pro-Barat.

Ismail Sabri nampaknya mengambil pengajaran daripada pengalaman Abdul Razak sendiri yang cukup kecewa dengan negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat (AS) memihak kepada Indonesia ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia dari 1963 hingga 1966 atas alasan takut perluasan kuasa Kesatuan Soviet ke negara jiran itu.

Walaupun kekal bersahabat dengan negara-negara Barat seperti ditunjukkan oleh Ismail Sabri dengan mengadakan lawatan ke AS dari 10 hingga 13 Mei lalu, beliau menolak untuk mengikut agenda negara kuasa besar dunia itu. Buktinya, ketika pertemuan dengan Presiden AS, Joe Biden sempena Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN di Washington D.C, Ismail Sabri menjadi satu-satunya pemimpin ASEAN yang lantang dan tanpa rasa gentar menggesa AS campur tangan untuk menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Desakan Ismail Sabri itu juga selaras dengan penambahbaikan yang beliau lakukan terhadap dasar luar Abdul Razak dengan mempromosikan konsep Keluarga Dunia iaitu menjalin kerjasama inklusif, mementingkan kebersamaan dan bukannya perbezaan serta mengutamakan golongan paling memerlukan dalam menghadapi cabaran global. Konsep ini beliau perkenalkan setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan turut mengetengahkan idea itu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76 pada September 2021. Konsep ini juga dipromosikan ketika lawatan kerja ke 11 negara asing setakat ini.

Selain AS, beliau turut memberi tumpuan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara. Konsep kerjasama serantau ini diterapkan sejak zaman Abdul Razak bagi memastikan negara-negara Asia Tenggara turut mengamalkan dasar hampir sama dengan Malaysia. Abdul Razak pernah mengungkapkan: “Kita tetap menyarankan kerjasama serantau baik melalui perjanjian dua pihak mahupun perjanjian aneka pihak untuk memupuk semangat persefahaman dan kerjasama, perpaduan dan persatuan dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara.”

Ismail Sabri juga membuat kenyataan hampir sama ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-35 pada Julai lalu apabila menegaskan, ASEAN sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asasnya seperti saling bekerjasama serta semangat membimbing negara-negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau.

KOMPREHENSIF

Tumpuan kepada ASEAN dibuktikan dengan lawatan ke Indonesia sebanyak dua kali pada 9 November 2021 dan dari 1 hingga 2 April lalu manakala Singapura pada 29 November 2021. Ia diikuti sepanjang 2022 ke Brunei (14-15 Februari), Kemboja (23-24 Februari), Thailand (24-26 Februari) dan Vietnam (20-22 Mac).

Ketika lawatan ke Singapura dan Thailand, manfaat paling menonjol adalah cadangan melaksanakan projek kesalinghubungan antara negara. Menyentuh hasil kunjungan ke Singapura, Ismail Sabri mengumumkan walaupun Malaysia sebelum ini memutuskan menamatkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dengan republik itu, beliau memaklumkan telah membangkitkan cadangan supaya projek itu dibincangkan semula.

Katanya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyatakan kesediaan untuk melihat cadangan baharu Malaysia dan mengarahkan Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara untuk berbincang lebih lanjut.

Ketika lawatan ke Thailand pula, Ismail Sabri memaklumkan, beliau dan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha bersetuju mengadakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan HSR Kuala Lumpur-Bangkok.

Dalam tempoh agak singkat Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dari 1970 hingga 1976, banyak yang dicapai termasuk pada Mei 1974, menjadi negara ASEAN pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China apabila Allahyarham melawat negara komunis itu secara rasmi. Menjalin hubungan dengan China yang juga pesaing AS adalahbagi memperkukuhkan dasar berkecuali Malaysia.

Ismail Sabri dalam hantaran Facebook pada 12 Julai lalu setelah menerima kunjungan hormat Penasihat Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China serta kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Abdul Razak juga tidak melupakan hubungan dengan Jepun dan kerjasama erat itu terbukti apabila pada 1972, negara matahari terbit itu bersetuju memberikan pinjaman pembangunan sebanyak RM100 juta untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Kedua.

Ketika lawatan Ismail Sabri ke Jepun dari 23 hingga 28 Mei lalu, diumumkan hubungan dua hala dengan Jepun akan dinaik taraf ke peringkat yang lebih komprehensif.

Sama seperti Abdul Razak, Ismail Sabri tidak melupakan hubungan akrab dengan negara-negara Islam yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) apabila sepanjang 2022 telah melawat Qatar (27-29 Mac), Emiriah Arab Bersatu atau UAE (29-31 Mac) dan Turkiye (5-8 Julai).

Abdul Razak mengadakan lawatan ke Kuwait, Oman, Qatar, UAE dan Bahrain pada 1975. Jika lawatan Abdul Razak menghasilkan perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, ekonomi, pendidikan dan saintifik, ia diperkukuhkan lagi oleh Ismail Sabri.

Semasa Ismail Sabri melawat Qatar, terdapat cadangan kerjasama dalam pelbagai bidang dan paling utama menguntungkan Keluarga Malaysia apabila Qatar Investment Authority (QIA) bercadang melabur RM8.1 bilion bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik Perbadanan PR1MA Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×