PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan 25 tahun lalu. Sambutan jubli perak disambut penuh meriah pada 27 Julai lalu dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
PTPTN memainkan peranan besar dengan menyediakan sumbangan kewangan berbentuk pinjaman kepada pelajar dan mahasiswa. Pemberian biasiswa dan dermasiswa sudah tidak lagi berlaku dengan peratus besar seperti sebelumnya. Sebahagian besar mahasiswa mendapat bantuan kewangan bukan dalam bentuk biasiswa seperti sebelumnya. Alasan mudah yang diberikan adalah bilangan mahasiswa semakin ramai, maka kerajaan tidak mampu menyediakan biasiswa seperti sebelumnya.
Perkembangan selepas 1996 mempunyai rantaian kepada beberapa persoalan yang saling berkaitan. Persoalan pertama, benarkah kita memerlukan jumlah graduan sebesar itu? Jangka masa pengajian kebanyakan kursus sarjana muda juga diarahkan supaya dipendekkan dari empat kepada tiga tahun dengan alasan negara memerlukan tenaga kerja lebih cepat, bukan berasaskan faktor akademik serta kepentingan ilmu. Arahan atas-bawah oleh Menteri Pendidikan waktu itu sebahagian besar dilakukan dengan patuh oleh pihak universiti (walaupun ada yang tidak kena dengan prinsip ilmu dan bertentangan dengan disiplin pengajian).
Pentadbiran utama universiti awam umumnya tidak menyanggah keputusan menteri. Bilangan kemasukan ijazah pertama bertambah dengan pesat di universiti awam dan universiti swasta serta kolej swasta. Mutu graduan juga merosot kerana calon ‘separuh layak’ diberi peluang masuk masuk universiti. Analogi mudahnya, bagaimana mungkin dapat menghasilkan roti yang baik mutunya kalau tepung gandum yang digunakan sangat bermutu rendah?
Calon mahasiswa adalah faktor penting bagi menghasilkan graduan yang baik mutunya. Misalnya, graduan Universiti Harvard dan Universiti Yale dijamin kualitinya kerana proses kemasukan yang ketat dan pemilihan kemasukan hanya kepada pelajar bermutu. Kemasukan ke universiti hanyalah kepada mereka yang benar-benar layak, selebihnya perlu ke pusat latihan kemahiran, politeknik dan seumpamanya bagi keperluan kemahiran yang banyak di negara sedang membangun seperti Malaysia.
Pemegang ijazah dan golongan pembuat keputusan hanyalah peratusan kecil tetapi kualitinya perlu dijaga. Universiti kita juga bukan untuk persaingan dengan universiti negara maju dalam apa jua bentuk (seperti pengejaran ranking) tetapi adalah institusi yang bersifat sebagai agen perubahan dan pembangunan sesebuah negara bangsa.
Adakah bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman (seperti yang dilakukan oleh PTPTN itu) kepada semua kaum adalah wajar? Adakah pengecualian bagi mahasiswa Melayu dan bumiputera? Peruntukan khusus biasiswa kepada pelajar Melayu dan bumiputera jelas diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Adakah pengubahan daripada biasiswa kepada pinjaman PTPTN kepada mahasiswa Melayu dan bumiputera ini selaras dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan?
ROSAK
Secara jawapan mudahnya, ia adalah tidak selaras dengan peruntukan Perkara 153. Walaupun PTPTN diperkenalkan, pemberian biasiswa kepada pelajar Melayu mesti diteruskan kerana perkara ini jelas disebut dalam Perkra 153. Ini adalah hak keistimewaan orang Melayu yang perlu diberi dan dipertahankan. Falsafah tersirat pembentukan kumpulan dominan dan falsafah satu bangsa, satu negara ada dalam peruntukan ini.
Pemimpin negara seharusnya sedar tentang hal ini. Memperluaskan bantuan kewangan melalui PTPTN kepada pelajar bukan Melayu dan bukan bumiputera adalah wajar dengan perkembangan bilangan besar mahasiswa. Hak orang Melayu tentang biasiswa selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemudahan pendidikan dan perjawatan awam mesti dijaga. Pengecualian bayaran balik apabila mendapat ijazah kelas pertama adalah bukan jawapan. Sistem pengajian tinggi akan rosak apabila ijazah kelas pertama dilonggar dan dibesar bilangannya.
Apakah kesannya kepada mutu sebenar pendidikan serta peluang kerja selepas tamat belajar serta kesan keseluruhan kepada negara dalam jangka panjang? Kehidupan sebenar graduan Melayu tidak berlaku dengan sistem pinjaman PTPTN. Pendidikan tinggi adalah demi ilmu dan demi kesan rantaian ilmu serta nilai-nilai berkaitan. Ilmu bukan barang dagangan yang bersifat material. Falsafah ilmu lebih tinggi dan lebih mulia daripada itu.
Peratusan besar daripada pinjaman PTPTN digunakan bagi membayar yuran pengajian yang agak tinggi. Tidak ada keistimewaan bagi yuran pengajian mahasiswa Melayu dan bukan Melayu (yang secara tersirat sepatutnya ada berdasarkan kemudahan pendidikan awam yang dinyatakan dalam Perkara 153).
Seseorang yang tamat belajar telah dibebankan dengan hutang PTPTN puluhan ribu ringgit sebaik sahaja tamat belajar. Bagaimana mahu memulakan kehidupan baharu apabila ada bebanan hutang, manakala kerja yang sepatut dengan kelayakan sukar serta tidak terjamin?
Secara kesimpulan, umumnya kehidupan yang baik dan wajar tidak bermula selepas tamat pengajian. Wajar pihak berkuasa memikirkan kesan jangka panjang pembangunan dan kesejahteraan negara khususnya bagi kumpulan dominan graduan Melayu dan bumiputera. Jumlah pengambilan dan syarat kemasukan ke universiti serta sistem tapisan perlu difikirkan dengan lebih mendalam.
Pemberian biasiswa kepada mahasiswa Melayu perlu dikembalikan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 153. PTPTN perlu diteruskan kepada mahasiswa yang perlu khususnya bukan Melayu. Tafsiran Melayu dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan perlu diaplikasi dengan tepat, bukan Melayu mengikut tafsiran biologi tapi tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Pembangunan jangka panjang generasi baharu perlu dilihat secara terbuka dan ditafsirkan bersama dengan pembangunan perpaduan negara bangsa Malaysia berasaskan roh Perlembagaan Persekutuan dan prinsip satu bangsa, satu negara. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah bekas pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.











