MENINJAU laman Twitter, rata-rata rakyat melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir yang terjejas teruk di sekitar Shah Alam dan Hulu Langat di Selangor serta beberapa negeri, akhir tahun lalu.
Khalid Allesandro pada 28 Disember 2021 menulis, “Semoga dengan BWI (Bantuan Wang Ihsan) ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir, insya-Allah. Bantuan yang sangat baik Datuk Seri @IsmailSabri60.”
Sementara Qhaisya Hani menyatakan, “Alhamdulillah. Terima Kasih PM. Moga dipermudahkan segala urusan pemberian bantuan BWI kepada mangsa banjir.”
Zanazahirah pula memuat naik status, “Alhamdulillah. Semoga ia dapat meringankan sedikit bebanan kepada Keluarga Malaysia.”
Keprihatinan Perdana Menteri melalui peruntukan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia sebanyak lebih RM1.4 bilion mencerminkan sikap responsif dan bertanggungjawab kerajaan dalam memastikan rakyat tidak dibebani masalah kewangan. Pakej bantuan yang bersifat holistik dan menyeluruh dengan nilai terbesar dalam sejarah membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan rakyat dalam apa jua situasi sekalipun.
Jika sebelum ini bantuan banjir hanya melibatkan BWI, pembersihan dan pembaikan rumah serta infrastruktur awam tetapi kerajaan pimpinan Ismail Sabri menambah baik pakej bantuan bagi Monsun Timur Laut 2021/2022 yang turut merangkumi:
Mengganti barangan elektrik serta rebat bil elektrik.
Pembaikan kenderaan.
Bantuan keperluan asas.
Penyediaan pinjaman mudah baharu bersama moratorium pinjaman sedia ada.
Status penyaluran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia kepada Kelantan sehingga 14 Januari 2022 seperti BWI kepada 4,323 ketua isi rumah dengan implikasi kewangan berjumlah RM4.3 juta; Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) disalurkan kepada 10 ketua isi rumah dengan implikasi kewangan berjumlah RM25,000; dan bantuan lain disalurkan secara berperingkat oleh kementerian, jabatan atau agensi terlibat.
Pada Julai lalu, Ismail Sabri sekali lagi mengumumkan bantuan awal kepada mangsa banjir di Baling, Kedah dengan peruntukan sebanyak RM500,000 walaupun ketika itu beliau berada di Turkiye untuk lawatan rasmi. Perdana Menteri memberitahu, walaupun berada luar negara, beliau tetap memantau kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Baling selain mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali menyelaras bantuan segera kepada semua mangsa banjir.
Bantuan itu meliputi BWI sebanyak RM1,000, bantuan barang keperluan asas RM2,500, bantuan barangan elektrik RM500 dan pembaikan rumah serta waris mangsa yang meninggal dunia diberikan RM10,000.
Selepas pengumuman itu, rakyat membanjiri laman Facebook Ismail Sabri dengan kata-kata pujian ekoran tindakan pantas Perdana Menteri. TP Halim menulis, “Terbaik PM. Semoga terus kekal menerajui negara tercinta ini.”
Sementara Harii Khana HK memuji Ismail Sabri melalui coretan, “Terbaik PM kita disegerakan bantuan kepada rakyat terjejas.”
Bagi Nur Jalilah Abd. Jamil pula, walaupun Ismail Sabri berada jauh di luar negara, namun tetap peka dengan situasi yang menimpa rakyat melalui muat naik status, “Walaupun berada di luar tetap bertindak pantas mengumumkan bantuan kepada mangsa bencana banjir.”
Dalam pada itu, pakar ekonomi, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob ketika dihubungi Utusan Malaysia berpandangan, bantuan yang disalurkan tersebut adalah tepat dan merupakan satu tindakan proaktif selain mendengar pandangan rakyat.
“Oleh kerana banjir adalah bencana alam, maka amat wajar diberi dan diteruskan memandangankan ia berkaitan keperimanusiaan dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Malah, tindakan proaktif itu juga dapat mengurangkan desakan rakyat untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana boleh memberi kesan jangka panjang kepada pencarum.
Sebelum ini pendedahan KWSP bahawa 3.6 juta pemegang akaun mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun masing-masing dengan dua juta daripadanya adalah bumiputera (55 peratus) amat merisaukan Perdana Menteri kerana rakyat berisiko menjadi miskin tegar apabila bersara nanti. Jadi, bantuan disalurkan dapat memberikan kehidupan yang baik selepas persaraan nanti. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











