Peribahasa jadi panduan hidup

Peribahasa jadi panduan hidup

PERIBAHASA Melayu sememangnya diketahui rata-rata penduduk negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERIBAHASA, bidalan, simpulan bahasa dan pepatah merujuk kepada sekelompok kata atau ayat yang mempunyai maksud tertentu serta biasanya digunakan untuk memberi pengajaran dan menegur secara halus. Peribahasa Melayu diketahui rata-rata penduduk Malaysia. Pada masa sama, kaum India daripada keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali dan sebagainya juga memiliki khazanah peribahasa yang malangnya kurang diketahui umum. Malah, apabila saya menghubungi sejumlah rakan kaum India baru-baru ini, ramai mengaku tidak lagi ingat serta tidak menyelitkan peribahasa dalam komunikasi seharian.

Bagi tujuan dokumentasi, saya meminta rakan-rakan berkongsi peribahasa yang masih digunakan oleh keluarga dan saudara-mara. Memandangkan bahasa dan peribahasa merupakan sebahagian aspek budaya, identiti dan jati diri komuniti masing-masing, perkongsian ini mungkin dapat menimbulkan minat orang ramai untuk kembali memesrai keindahan peribahasa tradisional dalam bahasa ibunda.

S.S. Nagendra Kumar, seorang penolong pegawai perubatan yang tinggal di Rawang, Selangor berkongsi peribahasa Tamil yang juga ada dalam bahasa lain. Ikaraiku akarai pachai turut ada dalam bahasa Inggeris iaitu the grass is always greener on the other side, manakala kita sudah biasa dengan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

“Ibu saya menggunakan peribahasa ini ketika saya bercadang bertukar tempat kerja susulan sedikit perselisihan faham dengan staf lain. Ibu cuba mengingat saya bahawa tempat kerja baharu tetap akan ada masalah tersendiri, bahkan mungkin lebih teruk dan hanya disedari apabila sudah berada di sana,” Nagendra Kumar menceritakan.

Satu peribahasa Tamil yang agak baharu bagi saya dikongsi M. Selvarajah, seorang guru dari Jenjarom, Selangor. Sekiranya diterjemah, peribahasa itu menyebut tentang seorang yang tidak tahu menyabit rumput tapi menyelitkan 58 pisau sabit pada pinggang. Peribahasa ini amat mudah dibayangkan dan merujuk kepada individu yang tidak tahu melakukan sesuatu kerja tetapi menyimpan bahan atau peralatan berkaitan pekerjaan itu tanpa digunakan.

“Dalam keluarga saya dahulu, ayah pernah marah adik saya kerana minta dibelikan pen baharu sedangkan dia memiliki pelbagai jenis pen. Kini, sebagai seorang guru sekolah menengah, saya menggunakan peribahasa itu apabila melihat kotak pensel pelajar dipenuhi pelbagai alat tulis tetapi hasil kerja mereka tidak berkualiti,” kata beliau.

Satu lagi peribahasa Tamil yang sangat lazim tetapi tetap sesuai digunakan pada masa kini dikongsi oleh seorang lagi guru, R. Devan dari Kulai, Johor. Peribahasa aadu pagai, kutti uravu secara literal bermakna kambing dewasa bermusuhan, anak kambing pula bersaudara.

“Semasa di sekolah menengah dahulu, ayah ternampak saya dan rakan makan bersama di restoran. Apabila saya pulang ke rumah, ayah menggunakan peribahasa itu. Saya rasa pelik dan tidak faham. Setelah sekian lama, barulah saya tahu ayah ada perselisihan faham dengan bapa kepada rakan saya,” Devan berkongsi pengalaman.

HANTU

Perbincangan kami mengingatkan seorang rakan wartawan dari Subang Jaya, Ann Marie Chandy kepada bapanya, mendiang K.O. Chandy.

“Bapa saya meninggal dunia lebih 30 tahun lalu tetapi perbincangan ini mengingatkan saya kepada beliau kerana beliau memang gemar mengumpul buku peribahasa. Bapa saya fasih bercakap, menulis dan membaca bahasa Malayalam,” katanya.

Ann Marie berkongsi peribahasa Malayalam yang juga terdapat dalam Tamil dan bahasa-bahasa lain. Apabila kita menasihati orang supaya berhati-hati sebelum bertindak, kita mengingatkan supaya jangan letakkan kaki sebelum tahu kedalaman air. Dalam bahasa Inggeris, peribahasa sama makna ialah look before you leap.

Penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang pula terkenang peribahasa yang biasa digunakan mendiang ibunya.

“Emak saya menggunakan peribahasa yang boleh diterjemahkan sebagai orang yang penakut akan merasakan seperti ada hantu di setiap sudut gelap. Memang amat benar dan tepat kerana kita biasanya tidak berani melakukan sesuatu kerana asyik memikirkan risiko dan kesan negatif. Apabila kita memberanikan diri, rupa-rupanya ‘hantu’ atau risiko dan kesan negatif yang ditakuti itu tidak ada,” beliau menghuraikan sambil terkenang kisah zaman kanak-kanak.

Perbincangan kami mengingatkan V.P. Poonam Rani dari Kulim, Kedah kepada peribahasa yang pernah digunakan neneknya. Dalam bahasa Punjabi, sap nu sap lareh, to seher kinu chadeya? bermakna kalau ular berbisa mematuk satu lagi ular berbisa, ular mana yang akan kena bisa racun?

“Nenek saya sering menggunakan peribahasa ini untuk menegur anak-anaknya iaitu adik-beradik bapa saya jika mereka berselisih faham dan bertengkar. Peribahasa yang nenek gunakan memang tepat kerana pergaduhan antara adik-beradik tidak membawa apa-apa manfaat dan tiada siapa yang menang,” katanya yang turut berpegang kepada peribahasa itu.

Sebuah peribahasa Bengali iaitu nai mamar thake kana mama bhalo dikongsi oleh Dr. Lalita Sinha, bekas pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia. Terjemahan literal peribahasa itu bermakna daripada tiada bapa saudara, lebih baik ada bapa saudara yang buta.

“Dahulu saya selalu bertanya kepada ibu, mengapa saya tidak ada mak cik, pak cik dan sepupu. Ibu menceritakan bahawa ibu bapa saya dahulu berhijrah ke sini dari Kolkata, India bersendirian sahaja. Hanya ada sahabat sekampung dari Kolkata yang turut tinggal di Malaysia. Ibu menasihati saya supaya menganggap mereka sebagai emak saudara dan bapa saudara,” beliau berkongsi pengalaman.

Satu lagi peribahasa yang terkenal dikongsi Umah Devi Kuppan dari Klang, Selangor.

“Nenek saya menggunakan peribahasa ini apabila saya membuat sesuatu yang nakal kerana saya seorang pendiam. Berbeza pula dengan kakak saya yang dikatakan banyak mulut dan senang ditangkap jika melakukan sesuatu tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya.

Beliau merujuk peribahasa Tamil yang terjemahan literal bermakna si bisu porak-perandakan kampung, si tikus hitam rosakkan nama sendiri. Maknanya, seseorang yang pendiam jangan disangka tidak akan melakukan perkara memudaratkan. Samalah seperti peribahasa, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN