Nak aman kena sedia berperang

Nak aman kena sedia berperang

PAC akan bentangkan laporan baharu mengenai kemajuan pembinaan LCS ke Parlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGANI ketirisan, bukan batalkan projek kapal tempur pesisir (LCS). Keselamatan dan pertahanan negara ibarat telur di hujung tanduk.

Pepatah latin ada menyebut, si vis pacem, para bellum bermaksud, jika mahukan keamanan, bersedia untuk berperang. Nampak macam agresif dan negatif seolah-olah mengajar atau menggalakkan orang berperang. Tidak, sebenarnya itulah rahsia keamanan. Apabila kita kuat, tidak ada siapa pun berani buat kacau. Tidak ada siapa berani mencabar kita.

Itulah yang berlaku dalam Perang Dingin suatu masa dahulu. Tidak berlaku perang tetapi hubungan dingin. Kenapa tidak berperang? Sebab blok demokrasi (Amerika Syarikat) dan blok komunis (Russia) sama-sama kuat. Sama-sama bersedia untuk berperang sehingga peperangan dapat dihindarkan. Tidak berani menyerang dan diserang

Justeru, bersedialah untuk berperang dengan melengkapkan persenjataan canggih serta memperkuatkan negara dengan teknologi sebaik mungkin bagi mengelak kita dibuli.

Ambil pengajaran ketika kita berhadapan krisis pencerobohan 235 pengganas yang sebahagiannya bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013. Kumpulan tersebut menggelarkan diri sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara yang dihantar oleh pewaris Sulu bagi menuntut takhta kesultanan mereka di bahagian timur Sabah.

Cuba imbau kembali berapa nyawa terkorban? Kenapa perkara ini boleh berlaku? Jawapan mudah, kita tidak kuat, kita lemah dari segi keselamatan dan pertahanan.

Perlu diingat, pada 23 Oktober 2001, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Sabah dan semua kawasan kepulauannya adalah di bawah Persekutuan Malaysia. ICJ juga tidak menerima permohonan kerajaan Filipina untuk masuk campur dalam urusan persengketaan status Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan antara Malaysia dan Indonesia.

Penghakiman ini diambil setelah meneliti kesemua perkara berkaitan pendudukan di Sabah. Ini termasuk faktor geografi dan sejarah. Ia juga mengambil kira aspek hak penduduk untuk bersama kerajaan yang mereka pilih.

Sebenarnya permasalahan wilayah ini tidak lagi wujud kerana Sabah dengan secara mutlaknya menjadi sebahagian daripada Malaysia dan segala pentadbiran negeri sudah termaktub dalam Persekutuan Malaysia.

Persoalannya, kenapa orang luar begitu berani menceroboh sempadan negara kita? Bukan soal Kesultanan Sulu sahaja tetapi pencerobohan oleh negara-negara lain terhadap kawasan perairan, udara dan darat. Contoh, berapa kali pesawat tentera Singapura menceroboh ruang udara kita dalam latihan mereka?

ALA GERILA

Terbaharu dan banyak kali berlaku, nelayan asing menggunakan taktik ala gerila berhadapan pihak berkuasa. Menurut Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pihaknya pernah menumpaskan satu sindiket yang mempunyai kelengkapan alat komunikasi di darat dengan menyewa sebuah rumah di kampung terpencil di Pahang.

Mereka menyalurkan maklumat kehadiran penguat kuasa kepada nelayan-nelayan asing yang mahu memasuki perairan negara bertujuan mencuri hasil laut. Ini sangat berbahaya.

Keselamatan dan pertahanan negara tergugat sebab oleh pemikiran kita, iaitu tidak perlu persenjataan dan pertahanan kuat sebab Perang Dingin sudah berakhir, ditambah rasuah berleluasa. Ada pengkhianat sanggup menggadaikan kedaulatan negara demi habuan wang. Kita perjudikan masa depan negara dengan wang.

Justeru, saya memohon, buatlah persediaan untuk berperang jika mahukan keamanan agar kita tidak dibuli.

Pertama, sediakan peruntukan besar untuk keselamatan dan pertahanan. Peruntukan tahunan kita hanya sekitar RM20 bilion untuk pertahanan sedangkan negara sekecil Singapura pernah menghampiri RM100 bilion.

Kedua, dengan peruntukan besar, kita mesti menggantikan senjata lapuk dengan yang canggih. Banyak peralatan kita sudah ketinggalan zaman.

Ketiga, sahut segera amaran daripada Allah SWT. Dalam Islam, awal-awal lagi Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kalian sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kalian menggentarkan musuh Allah, musuh kalian, dan orang-orang selain mereka yang kalian tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa saja yang kalian nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepada kalian dan kalian tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal 60)

Kita mesti berwaspada dan mempersiapkan pasukan pertahanan dan keselamatan yang kuat dan selalu siap siaga setiap saat. Dengan kesiapsiagaan ini akan membuatkan musuh-musuh Islam gentar dan tidak akan menyerang. Kita sebuah negara kaya, malangnya kita miskin dalam soal keselamatan dan pertahanan.

Justeru, bersegeralah perkuatkan pertahanan negara dengan persenjataan secanggih mungkin dengan kemampuan yang ada. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×