GERAKAN Tanah Air (GTA) adalah gagasan baharu parti politik yang dibentuk oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Ogos lalu. GTA disertai empat parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mendapat sokongan ahli akademik dan profesional Melayu Islam.
Empat parti itu ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Dr. Mahathir sebagai Pengerusi GTA manakala timbalan pengerusi adalah Zamani Ibrahim (Presiden Berjasa), Datuk Ibrahim Ali (Presiden Putra), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang) dan Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak (Presiden Iman).
Mesej dan matlamat utama GTA adalah bangsa Melayu perlu bersatu. Nasib dan masa depan orang Melayu perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar bersih, cekap dan amanah. Parti Melayu yang dipimpin oleh mereka yang terpalit dengan rasuah, tiada integriti, bermasalah moral serta nilai-nilai negatif tidak akan menjamin kedudukan dan masa depan orang Melayu serta pembangunan dan tamadun negara bangsa seluruhnya.
GTA tidak sesekali memusuhi dan menentang hak kaum-kaum lain yang diperuntukkan dalam perlembagaan tetapi menegaskan bahawa Malaysia perlukan pimpinan Melayu yang baik.
Persoalan yang timbul di sini, bagaimana proses dan sokongan gabungan/parti baharu ini boleh berjalan dengan pantas dan meluas dalam tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir? Mungkinkah berlaku sokongan penyokong tegar parti-parti Melayu tradisi (Pas dan UMNO khususnya) kepada GTA? Apakah isu-isu utama perlu dibangkitkan bagi mendapatkan sokongan besar orang Melayu khususnya golongan muda kepada GTA?
Apa yang perlu dilihat daripada penubuhan GTA adalah kematangan politik dan proses demokrasi tanah air dan tidak sekali-kali menidakkan kebolehan dan kemampuan parti-parti Melayu sedia ada. Ini adalah peluang kepada pengundi Melayu khususnya pengundi muda yang telah ‘muak’ dengan percaturan parti-parti Melayu sedia ada. Kita mesti melihat penubuhan GTA secara terbuka dan pandangan positif. Ini adalah satu horizon baharu dalam politik Malaysia khususnya politik Melayu.
Mampukah GTA menjadi parti/gabungan parti-parti Melayu dominan yang mendapat sokongan besar pengundi Melayu khususnya (dan sokongan bukan Melayu)? Sesiapa pun tidak boleh menjawab persoalan ini dengan benar-benar tepat. Ia akan terjawab hanya selepas keputusan PRU15 diumumkan. Yang sedang berlaku sekarang, apakah ada keyakinan orang Melayu terhadap sebuah parti Melayu yang benar-bear bersifat Melayu dan yakin memperjuangkan hak-hak Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan?
Secara tradisi dan sejarah, UMNO adalah parti Melayu yang menjamin hak-hak Melayu. Persoalan sekarang, adakah UMNO masih dipercayai dan diyakini oleh majoriti pengundi Melayu secara keseluruhan? Adakah pengundi Melayu dan bumiputera yakin dan akan memberi undi kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 nanti? Dengan pimpinan UMNO terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kes mahkamah yang belum selesai, mampukah UMNO/BN meraih sokongan besar daripada pengundi seluruh negara? Apakah nasib bangsa Melayu andainya keputusan PRU15 masih tidak wujud satu kemenangan besar sebuah parti Melayu? Atau ahli Parlimen Melayu yang menang adalah rendah moralnya serta nilai integriti dan lemah semangat pembelaan hak-hak Melayu?
TERDESAK
PRU15 akan berlangsung dalam masa terdekat (beberapa bulan akan datang). Mampukah GTA disebarkan secara meluas kepada rakyat umum? Jawapan mudah, mungkin dengan teknologi komunikasi dan media sosial yang wujud sekarang. Yang lebih penting, adakah ia berjalan secara meluas dan boleh membina darjah sokongan yang kuat (tidak boleh ditembusi oleh rasuah politik bersifat material) khususnya golongan yang tidak benar-benar faham falsafah politik demokrasi serta erti sebenar pilihan raya dan juga golongan miskin ‘terdesak’ dan miskin material yang boleh dibeli undi mereka dengan wang ringgit?
Persoalan juga perlu dilihat, adakah golongan pengundi tua penyokong tegar parti-parti tradisi Melayu akan mengubah undi kepada GTA atau tetap dengan pendirian lama mereka?
Penyokong tegar UMNO daripada golongan tua masih wujud di beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Begitu juga penyokong tegar Pas masih wujud di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Adakah penyokong tegar parti tradisi Melayu ini mampu diimbangai oleh pengundi muda yang lebih terbuka dan menyedari risiko percaturan politik Melayu masa kini?
Isu semasa yang rapat dengan pengundi juga dilihat penting bagi GTA. Apakah isu-isu utama yang perlu dibangkitkan bagi mendapatkan sokongan besar orang Melayu khususnya gologan muda kepada GTA? Hak-hak istimewa orang Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan harus diteliti dengan mendalam oleh GTA. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mesti dijadikan inti utama perjuangan Melayu khususnya golongan muda seperti pernah dilakukan semasa pentadbiran Tun Abdul Razak.
GTA perlu menyemak dengan teliti Perkara 153 dan pelaksanaan khususnya kepada golongan muda. Ini mempunyai hubungan rapat dengan pengundi muda 18 tahun dan menarik sokongan mereka terhadap pentingnya penglibatan politik.
GTA adalah tawaran baharu dan pilihan khususnya kepada pengundi Melayu. Keputusan terletak kepada pengundi sama ada GTA mampu menjadi sebuah parti/gabungan yang dominan.
Keputusan PRU adalah cerminan kebijaksanaan pengundi. Pengundi mesti menilai dengan mendalam semua parti yang bertanding. Penilaian bukan hanya kepada manifesto dijanjikan semasa kempen, tetapi lebih jauh daripada itu adalah penelitian mendalam bersifat falsafah terhadap pemimpin parti yang bertanding.
Keputusan sesebuah pilihan raya adalah proses kompleks yang mencerminkan kebijaksanaan sebenar rakyat sesebuah negara. Bagi masa depan politik dan sosioekonomi negara yang lebih stabil, sebuah parti politik dominan orang Melayu adalah perlu. Tanpanya, sukar dicapai. GTA hanya satu pilihan baharu. Keputusan di tangan pengundi. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah bekas pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.











