BERDASARKAN hasil tinjauan, kebanyakan kadar sewa khususnya hartanah kediaman meningkat terutama di Lembah Klang. Kadar sewa dikatakan setara dengan bayaran bulanan pembelian rumah. Terdapat juga sesetengah pihak sengaja mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa yang tidak munasabah sehingga membebankan isi rumah dengan alasan lokasi berhampiran kawasan pembangunan pesat dan terdapat pelbagai infrastruktur.
Hal sedemikian terjadi disebabkan permintaan tinggi terhadap hartanah sewaan ekoran harga rumah yang mahal serta kos sara hidup meningkat menyebabkan kegagalan untuk mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan. Tambahan pula kadar dasar semalaman (OPR) terkini mencatatkan kenaikan sebanyak 0.25 mata menjadikan 2.25 peratus.
Kenaikan OPR menyebabkan kenaikan jumlah bayaran bulanan ke atas semua pinjaman dengan institusi perbankan. Bebanan dan komitmen tinggi dihadapi isi rumah serta harga rumah kian meningkat menyebabkan mereka tidak mampu untuk memiliki hartanah dan memilih untuk menyewa.
Penetapan kadar sewa dipengaruhi oleh faktor lokasi, fasiliti berhampiran serta keadaan hartanah tersebut seperti keluasan, keadaan sedia ada, jenis, sewaan termasuk perabot dan kelengkapan serta tempoh penyewaan. Hal sedemikian adalah sesuatu yang tidak boleh disangkal kerana pemilik hartanah perlu menanggung kos pembaikan, insurans, cukai pintu dan cukai tanah atau cukai petak serta bayaran penyelenggaraan dan tabung dana tahunan (sinking fund) jika melibatkan hartanah strata. Sehubungan itu, bakal penyewa hendaklah bijak dalam membuat kriteria pemilihan hartanah untuk penyewaan dalam tempoh diperlukan.
Bagaimanapun, tidak semua lokaliti di Lembah Klang menunjukkan kenaikan kadar sewa mendadak. Masih terdapat lokaliti yang masih mengekalkan kadar sewa pada harga munasabah.
Terdapat beberapa panduan bagi menyewa daripada memiliki rumah yang mahal. Bakal penyewa perlu membuat tinjauan harga sewa pasaran di kawasan sekitar lokaliti yang ingin disewa.
Tidak hanya tinjauan secara bersemuka, terdapat pelbagai platform boleh dirujuk seperti laman sesawang dan media sosial atau iklan yang ditampal di tempat awam. Bakal penyewa boleh membandingkan kadar dengan kriteria rumah ditawarkan serta membuat penilaian terbaik dari segi jenis, keadaan serta fasiliti. Jika harga ditawarkan difikir tidak munasabah, maka bakal penyewa boleh berunding kadar yang dirasakan sesuai.
Memperoleh pengetahuan luas dan mendalam terhadap kadar sewa pasaran di lokaliti berkaitan akan mengelak bakal penyewa daripada pemilik atau ejen hartanah yang ingin mengambil kesempatan ke atas tawaran kadar sewa tidak munasabah. Selain itu, bakal penyewa juga perlu menilai keperluan diri sendiri supaya bersesuaian dengan status masih bujang atau berkeluarga.
BUJANG
Jika bujang atau belum berkahwin, bakal penyewa boleh memilih untuk menyewa kediaman yang mempunyai keluasan lebih kecil sekitar 450 ke 700 kaki persegi mengikut jenis hartanah yang difikir sesuai seperti SOHO (pejabat kecil pejabat rumah), flat kos rendah, ruang tingkat komersial berkeluasan 450 hingga 600 kaki persegi. Jika berkeluarga, mungkin boleh membuat carian kediaman berkeluasan 700 hingga 900 kaki persegi.
Pilihlah rumah yang mengutamakan keselesaan dan kelengkapan daripada pemilik yang mengutamakan keuntungan semata-mata. Kebiasaanya kadar sewa boleh dirunding dengan pemilik rumah yang mementingkan keperluan penyewa.
Bakal penyewa juga disaran mencari kediaman di lokaliti padat berbanding kawasan densiti rendah. Apabila terdapat perumahan padat, pemilik akan bersaing untuk mengiklankan harga sewa yang berpatutan dan lebih murah. Bakal penyewa boleh menggunakan peluang ini untuk berunding. Selain itu, kawasan berkepadatan tinggi menawarkan lebih banyak kemudahan seperti kedai serbaneka, kedai dobi dan kedai makan.
Penyewa juga disaran tidak memilih kawasan terlalu hampir dengan pembangunan berorientasikan stesen transit. Ini kerana lokaliti ini dikenal pasti dengan permintaan yang tinggi terhadap sewa dan beli rumah. Dari sudut pandang lain, penyewa yang tidak memiliki kenderaan boleh memilih untuk menyewa di kawasan ini sekiranya ia memberi kelebihan dari segi penjimatan masa, tenaga dan wang.
Profil penyewa juga memainkan peranan penting dalam penetapan kadar sewa. Bakal penyewa perlu meyakinkan pemilik hartanah yang anda mampu untuk menjaga kediaman disewakan dalam keadaan baik. Kebiasaanya dengan profil latar belakang pekerjaan, status perkahwinan dan jumlah penyewa akan mempengaruhi penetapan kadar sewa tersebut.
Pelajar atau individu bujang yang menyewa secara beramai-ramai akan dikenakan kadar sewa berbeza daripada yang berkeluarga. Ini kerana potensi cara penjagaan rumah secara individu dan berkeluarga adalah berbeza.
Tempoh penyewaan kebiasaanya dipersetujui selama setahun. Jika dibandingan dengan tempoh melebihi setahun akan menyebabkan kadar sewa ditawarkan sedikit rendah. Namun, bakal penyewa wajar meneliti keperluan menyewa di satu-satu tempat dalam tempoh lama. Jika penyewa ingin menamatkan tempoh penyewaan awal dari masa dipersetujui akan menyebabkan kehilangan deposit dan sebagainya.
Sehubungan itu, bakal penyewa disaran membuat carian bijak sesuai dengan tahap kemampuan dan keperluan agar tidak membebankan pada masa akan datang. Rundingan kadar sewa adalah dibenarkan, namun perlu dengan alasan munasabah dan relevan dengan lokaliti.
Tiada badan atau agensi boleh mengawal kadar sewa hartanah kerana ia ditetapkan melalui persetujuan munasabah di antara kedua-dua pihak. Oleh demikian, persetujuan di antara penyewa dan pemilik hartanah menjadi tunjang utama dalam penetapan kadar sewa di sesuatu kawasan. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.










