Indahkah kepelbagaian politik kita?

Indahkah kepelbagaian politik kita?

ANAK-ANAK muda kita perlu diajak untuk memahami dan menghargai makna berpolitik di bumi merdeka ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA latar belakang kaum dan budaya berbeza, terhimpun gemersik seni kehidupan yang indah, berpadu segar penuh muhibah. Demikian sekilas catatan menggambarkan unik dan istimewanya Malaysia, negara yang bersifat majmuk dengan pelbagai kaum dan keturunan, berbeza agama dan budaya. Namun, dapat hidup sejahtera, makmur dan bersatu padu sejak berpuluh dekad lalu.

Majoriti rakyat Malaysia menghargai hakikat ini kecuali dalam kalangan mereka yang bercita-cita ‘luar biasa.’ Misalnya, ada pihak tidak dapat menyembunyikan hasrat untuk merubah struktur yang sudah terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan sama ada meniti di atas landasan politik mahupun pertubuhan tertentu.

Mengejar sesuatu di luar kerangka yang sudah dipersetujui seolah-olah hanya mengundang permasalahan. Lebih 60 dekad merdeka, Malaysia kekal makmur dan stabil. Semua orang tahu, berpolitik memerdekakan tanah air dan mengisi kemerdekaan negara menjadi tonggak perjuangan tokoh-tokoh Melayu dan kaum lain pada masa silam. Tiada berbangkit soal perebutan tempat atau ketidakpuasan hati di mana-mana.

Sepatutnya segala yang telah terbukti berjalan lancar dan berkesan perlu terus dipelihara dan diusahakan berkekalan. Untuk apa berpolitik jika tidak bermatlamatkan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan?

Politik yang bermirip perkauman tidak menjanjikan perpaduan di antara kaum. Sementara tanpa perpaduan, sukar menemui kestabilan. Dan hanya melalui kestabilan, segala perancangan dasar dan tadbir urus negara dapat diatur dengan tersusun dan berkesan. Kemajuan kemudiannya akan menyusul dengan mudah dan memanfaatkan semua.

Sering disebut bahawa tidak salah berbeza idea dan pandangan, namun di hujungnya perlu ada rumusan atau kesimpulan menuju penyelesaian. Jika berpolitik bermatlamat mencari kuasa bagi mengatur kemajuan negara dan pembelaan kebajikan rakyat, kenapa tidak terhimpun kerjasama dan tautkan kesepakatan ke arah itu?

Apa ketara, politik di Malaysia hanya memperbanyak tapak, menguat puak dan mencari jalan perjuangan yang samar. Sukar melihat arah haluan yang jelas, selain hanya memecah kecil kelompok bangsa yang sudah tidak jauh berbeza saiznya di antara satu sama lain.

MANGKUK

Kenyataannya di Malaysia, parti-parti yang tumbuh selepas kira-kira 10 tahun merdeka tidak bertahan lama. Jelas dapat dilihat, penubuhannya bersifat sebagai parti serpihan, bertolak daripada sentimen atau perasaan marah, dendam dan tidak puas hati di mana-mana. Ada parti yang ditubuh semata-mata untuk melepas geram, membersih imej peribadi. Akhirnya, populariti parti kian malap dan pudar.

Pun demikian halnya dengan gabungan dan ikatan kerjasama politik baharu. Terimalah kenyataan, tiada gabungan sekuat Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC di awal kemerdekaan. Dan kemudian Perikatan bertukar kepada Barisan Nasional (BN) ekoran bertambahnya rangkaian parti-parti politik mewakili rakyat Sabah dan Sarawak. Apa yang terbukti, BN berjaya memacu pembangunan dan kemajuan negara.

Malah, sekuat ikatan Parti Melayu Semangat 46 dan Pas pada 1990-an juga akhirnya terburai. Lihatlah pula pada gabungan yang menggelarkan diri mereka sebagai Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) atau Pakatan Harap (PH). Mengharap, akhirnya hanya bergema pada nama sedangkan iramanya kehilangan rentak, alun lagunya berdendang sumbang.

Jadi, diibarat kata kiasan, tidak perlu perbanyak mangkuk atau pinggan, yang penting mutu masakan dihasilkan. Jika mutu masakannya enak yang mungkin dimasak oleh tukang-tukang masak handal dan berkebolehan, tentulah ramai sudi menikmati hidangan.

Justeru, eloklah perkuatkan parti yang sedia teguh. Mana-mana sudut yang pincang, sama-sama perkukuh. Sepatutnya kepentingan parti dan masyarakat umum menjadi keutamaan, bukan kepentingan peribadi dan puak melingkari perjuangan.

Rakyat Malaysia menikmati keindahan seni budaya daripada kaum dan etnik berbeza. Malangnya, bukan demikian pada aspek politik. Pertumbuhan lebih banyak parti atau komponen parti politik baharu ternyata hanya boleh melebar pertelagahan dan sengketa perebutan kuasa. Tidak menampakkan kesan kebaikan ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang sihat dan selesa.

Warnailah suasana politik Malaysia dengan gemilang bercahaya. Anak-anak muda perlu diajak memahami dan menghargai makna berpolitik di bumi merdeka ini. Apa pun keadaan, jangan lari dari berpijak pada landasan betul dan acuan asal yang menjanjikan kestabilan. Berpolitik harus berbekalkan semangat berlapang dada untuk sedia menerima dan menyokong mana-mana haluan terbaik.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir. Ramai yang berpendapat demikian. Pemerintahan negara harus didominasi oleh sebuah parti atau gabungan parti yang beroleh majoriti selesa, selain memiliki daya kualiti yang terbukti. Tentu rakyat Malaysia sudah bersedia memilih yang terbaik bagi menepati aspirasi mereka.

Kalangan parti-parti politik boleh sahaja saling bergabung. Apa pun, memilih pasangan biar sepadan, ikhlas jujur jadikan cagaran, agar jodoh kekal berpanjangan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×