BATASAN undang-undang amat penting untuk menjamin kehidupan yang sejahtera, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hak dan kehidupan orang lain. Sungguhpun di Malaysia orang bukan Islam diberikan hak untuk meminum arak tetapi undang-undang negara tidak membenarkan sesiapa sahaja memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol. Ini bagi mengelak berlaku kemalangan jalan raya.
Begitu juga tabiat merokok. Ramai tidak menyedari seramai 400 orang maut setiap minggu akibat rokok. Malah, asap rokok bukan sahaja berbahaya kepada perokok tetapi orang di sekeliling mereka. Perokok pasif iaitu mereka yang tidak merokok tetapi terpaksa menyedut asap rokok yang mengandungi nikotin dan bahan kimia toksik.
Asap dan debu rokok adalah antara faktor pencetus gejala asma. Maka bayangkan keadaan yang terpaksa ditempuhi oleh penghidap penyakit ini setiap kali terdedah kepada asap rokok, apatah lagi kanak-kanak. Belum lagi risiko mendapat penyakit kronik seperti kanser yang terpaksa ditanggung oleh perokok pasif. Hakikatnya, ramai merana akibat terdedah pada asap rokok daripada perokok tegar yang hanya mementingkan diri sendiri.
Oleh itu, cadangan untuk mengharamkan pembelian dan penggunaan rokok oleh individu yang lahir pada dan selepas 2007 adalah satu langkah tepat demi kebaikan seluruh rakyat. Tanpa rokok, pencemaran udara dapat dikurangkan dan alam sekitar menjadi lebih bersih. Hasilnya, generasi muda berpeluang untuk hidup dalam persekitaran lebih sihat dan bersih serta menyelamatkan mereka daripada perangkap ketagihan yang mengancam kesihatan. Mereka juga tidak perlu lagi menambah beban perbelanjaan untuk perkara yang bukan sahaja sia-sia tetapi mendatangkan banyak.
Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007. Ini bermakna mereka yang lahir sebelum tarikh tersebut dan memilih untuk terus merokok, masih boleh melakukannya seperti biasa. Namun begitu, pada masa sama kita dapat menghentikan rantaian ketagihan yang telah merosakkan kehidupan anak bangsa.
Kejayaan pelaksanaan RUU ini adalah rahmat besar kepada golongan perokok pasif. Seluruh warga yang tidak merokok mempunyai hak untuk hidup sihat tanpa terpaksa menyedut asap rokok daripada perokok tegar di sekeliling. Selama ini kami menjadi mangsa kepada golongan perokok yang memilih untuk menghembuskan asap tanpa mempedulikan hak orang lain di sekeliling mereka.
Hormatilah hak orang di sekeliling dan jangan hanya mementingkan diri sendiri. Mencegah lebih baik daripada mengubati, jangan sudah terantuk baru tengadah.
Hidup akan lebih sejahtera tanpa rokok. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










