Dasar responsif berjaya pulih ekonomi

Dasar responsif berjaya pulih ekonomi

KERAJAAN yang diterajui Ismail Sabri Yaakob yang akan genap setahun pentadbirannya 21 Ogos ini mengambil pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYABAS kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan genap setahun memegang jawatan itu pada 21 Ogos ini. Sepanjang tempoh setahun menguruskan ekonomi negara seperti pernah disebut oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan diterajui Ismail Sabri mengambil pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis.

Kerajaan responsif dari segi membantu rakyat dan perniagaan untuk bangkit semula selepas dilanda pandemik Covid-19. Pihak pemerintah juga bersifat bertanggungjawab bagi memastikan kesemua dasar kerajaan adalah tepat dan cepat tanpa mengorbankan potensi pertumbuhan ekonomi akan datang.

Sikap reformis juga diterapkan sebaik mungkin untuk memastikan isu-isu struktur ditangani bagi membina daya tahan masa depan.

Dasar dan pendekatan kerajaan itu berjaya memulihkan ekonomi apabila semenjak suku keempat 2021, ekonomi negara terus menunjukkan pemulihan yang kukuh dan kekal berdaya saing.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran sejak Ogos 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus menunjukkan pemulihan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021, disusuli pertumbuhan KDNK lima peratus pada suku pertama 2022.

Tanda-tanda pemulihan adalah jelas susulan kelonggaran sekatan pergerakan dan pembukaan sektor ekonomi.

Ini disokong beberapa indikator ekonomi yang memberangsangkan seperti prestasi perdagangan borong dan runcit yang terus mengukuh, perdagangan luar (import dan eksport) dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih (FDI).

Perdagangan borong dan runcit meningkat 19.9 peratus tahun ke tahun kepada RM129.8 bilion. Ini disokong oleh jualan perdagangan runcit (29.9%), kenderaan bermotor (20.1%) dan perdagangan borong (11.7%).

Jumlah perdagangan luar melebihi RM2 trilion pada 2021 dan merupakan kadar pertumbuhan terpantas sejak 1994. Perdagangan luar meningkat 43.3 peratus tahun ke tahun kepada RM270.4 bilion pada Jun, bulan ke-17 pertumbuhan dua angka (sejak Februari 2021).

Aliran masuk FDI bersih untuk 2021 ialah RM48.1 bilion, mengatasi tahun-tahun sebelum wabak Covid-19. Malah bagi suku pertama tahun ini sahaja, nilai ini adalah hampir separuh bagi keseluruhan 2021, iaitu melebihi RM24 bilion.

Ini mencerminkan keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan Keluarga Malaysia serta prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, pasaran buruh serta gaji dan upah sektor swasta terus berkembang. Kadar pengangguran terus menurun susulan pembukaan sektor ekonomi yang lebih menyeluruh, disokong oleh inisiatif kerajaan.

Upah sektor pembuatan dan perkhidmatan terus menunjukkan trend pemulihan (gaji nominal sektor swasta, perubahan peratusan tahunan).

Secara keseluruhan, negara kekal di landasan pemulihan yang kukuh dan kerajaan yakin Malaysia akan mencapai unjuran pertumbuhan KDNK 5.3 hingga 6.3 peratus bagi tahun ini.

INFLASI

Selain itu, melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) pada 2021 dan Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) pada 2022, pasaran buruh terus menunjukkan kadar pengangguran yang menurun.

Pada 2021, kerajaan menyasarkan penciptaan pekerjaan sebanyak 500,000 tetapi 558,633 pekerjaan berjaya dicipta melalui pelbagai inisiatif merangkumi pendekatan senegara (whole-of-nation approach).

Agensi Kementerian Kewangan, iaitu Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) memantau rapat pelbagai inisiatif penciptaan pekerjaan dan berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020, kadar pengangguran pada April dan Mei 2022 kekal pada tahap 3.9 peratus lebih rendah berbanding unjuran tahun ini (4%).

Upah dan gaji bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan swasta yang terus memulih, jelas menggambarkan situasi permintaan barangan dan perkhidmatan bagi sebuah ekonomi terus pulih dan berkembang.

Dasar Subsidi yang responsif juga berjaya mengawal Indeks Kos Sara Hidup berbanding negara-negara serantau. Dalam kalangan negara-negara ASEAN, Singapura, Brunei dan Filipina menghadapi kos sara hidup lebih tinggi berbanding Malaysia.

Kos sara hidup Malaysia lebih tinggi daripada negara-negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam. Namun, perbezaan kos sara hidup ini tidak melebihi lima peratus. Tidak mungkin impak inflasi dapat diatasi sepenuhnya. Yang penting, usaha berterusan kerajaan dalam mengawal harga barangan keperluan telah membantu mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup dalam negara.

Perbandingan barangan harga kawalan seperti petrol RON95 dan minyak masak setakat 1 Ogos lalu menunjukkan Malaysia adalah yang terendah berbanding negara-negara lain di seluruh dunia manakala harga ayam sehingga 31 Julai lalu lebih rendah jika dibandingkan negara-negara ASEAN lain.

Perbandingan harga dengan negara-negara lain bertujuan meningkatkan kesedaran awam bahawa inflasi berlaku di seluruh dunia dan hampir kesemua negara terkesan oleh tekanan inflasi global. Kerajaan bertindak mengatasinya dengan memperkenalkan harga kawalan.

Dalam pada itu, kadar inflasi pada Jun lalu adalah 3.4 peratus. Ia lebih rendah berbanding negara-negara serantau seperti Thailand (7.7%), Singapura (6.7%) dan Indonesia (4.3%).

Di peringkat global juga lebih tinggi yang menghampiri dua digit iaitu United Kingdom (9.4%), Amerika Syarikat (9.1%) dan kawasan yang menggunakan mata wang Euro (8.6%). Inflasi tertinggi dicatatkan di Malaysia adalah sebanyak 17.3% pada 1974.

Kesimpulannya, pemulihan ekonomi adalah hasil daripada pendekatan responsif senegara Keluarga Malaysia termasuk Bajet 2022, bantuan banjir dan pelbagai jenis subsidi. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×