Beri ruang agenda transformasi selesai

Beri ruang agenda transformasi selesai

PADA 21 Ogos ini, genap setahun pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Ismail Sabri Yaakob (kanan). – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 21 Ogos ini, genap setahun pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kerajaan ini mewarisi peperangan menentang pandemik Covid-19 daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan kesungguhan, semangat kental dan strategi pemberian vaksin secara besar-besaran, kerajaan berjaya membendung pandemik daripada merebak dengan lebih teruk. Kejayaan memberi vaksin kepada rakyat sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia menangani pandemik Covid-19.

Data pada 28 Julai lalu menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang sudah lengkap dua dos vaksin mencecah hampir 97.7 peratus (27.44 juta orang) manakala 98.9 peratus (28.07 juta orang) telah mengambil sekurang-kurangnya satu dos. Seramai 1.09 juta ataupun 30.6 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun juga telah lengkap menerima vaksin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini membuktikan kerajaan mengambil berat dengan memberi perlindungan kepada rakyat daripada virus Covid-19. Ini juga membuktikan kerajaan mengambil berat dalam menyelamatkan nyawa rakyat daripada terus terkorban akibat pandemik.

TRANSFORMASI POLITIK

Kerajaan juga berjaya melakukan transformasi politik besar-besaran bermula dengan kejayaan menstabilkan situasi politik apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu, di mana ia turut memberi kesan yang baik kepada ekonomi negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) menegaskan di Parlimen bahawa MoU ini mencerminkan kematangan politik antara kerajaan dan pembangkang serta tidak mewarisi sistem yang lapuk.

Kesan yang baik terhadap ekonomi dibuktikan dengan jelas apabila syarikat gergasi, Samsung membuat pelaburan dengan membina kilang baharu di Negeri Sembilan untuk merintis industri sel bateri kenderaan elektrik (EV). Pelaburan ini bernilai RM7 bilion dan akan mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan untuk penduduk sekitar dan dalam negara.

Walaupun keadaan politik stabil dan pelaburan sebesar RM7 bilion masuk ke dalam negara, masih lagi ada suara-suara sumbang yang mengatakan politik dan ekonomi negara tidak stabil.

Adakah mereka ini buta mata dan buta hati ?

Kerajaan juga berjaya melakukan satu transformasi Parlimen yang amat signifikan iaitu meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan berkenaan tindakan melompat parti dengan sokongan sebulat suara daripada 209 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 28 Julai lalu. Ini bertujuan menstabilkan keadaan politik di negara ini.

Sebelum itu juga kerajaan berjaya melakukan suatu lonjakan besar dalam hubungan antara Putrajaya dengan Sabah dan Sarawak melalui kelulusan sebulat suara daripada 200 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ke atas RUU pindaan perlembagaan berkenaan definisi negeri-negeri dalam Persekutuan melibatkan Sabah dan Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Penubuhan Pasukan Jihad Tangani Inflasi mula menunjukkan hasil yang positif. Data jelas menunjukkan kadar inflasi di negara ini berada pada paras 2.8 peratus yang merupakan terendah di ASEAN dan berada di tangga 165 daripada 184 negara di seluruh dunia. Pasukan ini yang diwujudkan pada 29 Jun lalu dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.

Jawatankuasa yang turut dianggotai oleh Menteri Kewangan, Menteri Pertanian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Ekonomi dan Ketua Setiausaha Negara ini jelas memperlihatkan keberkesanannya menerusi perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pemberian subsidi oleh kerajaan, pemantauan dan penguatkuasaan harga barang.

Penubuhan pasukan ini amat relevan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Antara usaha yang bijak ialah keputusan menetapkan harga maksimum minyak masak menerusi kaedah mewartakan harga minyak masak botol mengikut undang-undang sedia ada, mengikut harga pasaran minyak sawit mentah dunia. Idea dan pelaksanaan Pasukan Jihad Inflasi ini oleh Perdana Menteri jelas kelihatan satu pendekatan rentas kementerian yang holistik dan terbaik.

Begitu banyak kejayaan-kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri ini sekiranya mahu dikupas satu per satu. Namun, ada segelintir rakyat dan pemimpin politik lebih sukakan berita-berita sensasi yang negatif daripada berita bersandarkan kepada fakta.

Komitmen kerajaan mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat amat dihargai. Komitmen kerajaan memastikan inflasi berada pada kadar yang rendah amat dihargai walaupun terpaksa membelanjakan sebanyak RM77.7 bilion setakat hari ini.

Sesungguhnya rakyat perlu celikkan mata menilai usaha-usaha Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet menangani pandemik Covid-19, kos sara hidup dan inflasi. Jangan terpedaya dengan propaganda tentera siber dan pembangkang yang sering menggunakan naratif ‘kerajaan gagal’ dan kerajaan tidak berjaya membendung kenaikan kos sara hidup. Ini semua adalah satu pembohongan.

Sesungguhnya, rakyat jangan terpedaya dengan kenyataan sesetengah ahli politik bahawa politik negara ini tidak stabil. Sokongan 209 ahli Parlimen kepada Perdana Menteri dalam RUU pindaan perlembagaan berkenaan tindakan melompat parti membuktikan kenyataan tersebut juga satu pembohongan.

Tidak ada sebab mengapa hayat kerajaan Keluarga Malaysia ini perlu ditamatkan lebih awal bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan secepat mungkin kerana ia telah berjaya menangani banyak masalah dengan pelbagai transformasi politik, pentadbiran, perundangan dan Parlimen yang dibuat. Berilah ruang kepada Ismail Sabri menyelesaikan sepenuhnya agenda transformasi yang baik ini. – UTUSAN

DATUK Saiful Bahar Mohd. Arshad ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009) serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×