KITA selalu dengar bagaimana gagasan Keluarga Malaysia yang murni diperalatkan oleh pembangkang dan kumpulan anti-establishment (antipenubuhan). Apabila tidak memperoleh sesuatu atau ada isu tidak dapat memuaskan hatinya, maka keluarlah kata-kata bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia.
Gagasan Keluarga Malaysia akan terus menjadi mainan bibir mereka. Contohnya, bila dilancarkan sahaja, awal-awal pemimpin parti pembangkang kata, “Adakah Keluarga Malaysia Ismail Sabri sama dengan Keluarga Malaysia tiga Perdana Menteri terawal, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein, atau adakah ia sebuah Keluarga Kleptokrasi?” Kenapa perlu dikaitkan dengan Perdana Menteri? Ketua parti pembangkang ini terus membangkang tanpa henti tidak kira siapa Perdana Menteri.
Begitu juga jenama arak yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu, pun gagasan Keluarga Malaysia diperalatkan.
Pendek kata, apa jua perkara yang tidak sesuai dengan kehendak mereka, maka nama Keluarga Malaysia diketengahkan. Sebab itulah gagasan yang menggunakan nama negara perlu dilihat dan dikaji semula. Gunakan kata nama atau kata perbuatan atau nilai yang tidak dikaitkan dengan nama negara bagi mengelak ia dimanipulasikan.
Apabila gagasan Keluarga Malaysia digunakan, adakah selama 65 tahun merdeka, tidak terbentuk keluarga tersebut? Kalau semangat keluarga itu tidak ada, masakan majoriti orang Cina boleh menjadi kaya raya?
Sama juga gagasan 1Malaysia, adakah selama ini ada dua Malaysia? Inilah kesilapan demi kesilapan yang jarang kita belajar daripada sejarah dan pengalaman.
Kita tidak perlu kempen menggunakan nama negara dalam tagline (slogan), seharusnya difahami kerana ia sudah dilaksanakan.
Sama juga kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Perlukah diadakan kempen bahasa negara yang sedia termaktub dalam perlembagaan? Tidak ada negara dalam dunia berkempen bahasa yang menjadi bahasa tonggak negara mereka. Bahasa negara ini sudah semesti difahami dan dipertuturkan dengan bangganya oleh rakyat Malaysia.
Teramat malang apabila ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh berkomunikasi dan bertutur dalam bahasa negara ini setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan. Di mana salahnya dan silapnya?
Sama isu, perlukah dikempenkan Rukun Negara? Tidakkah Rukun Negara sebagai ideologi negara telah dihafal dan tersemat di sanubari semua rakyat Malaysia? Kenapa masih ada rakyat Malaysia, malahan ramai yang tidak tahu apa-apa tentang Rukun Negara? Bagaimana nak beramal dengan Rukun Negara, jika satu habuk pun dia tidak tahu tentang Rukun Negara?
MAKAN DIRI
Bagaimana Rukun Negara dapat difahami, jika bahasa Melayu pun tidak tahu? Sebenarnya kita begitu jauh lagi dalam pembinaan negara bangsa. Pembinaan negara masih tidak berlaku.
Yang jelas berlaku adalah pembinaan bangsa. Begitu juga apabila adil itu difahami sebagai sama rata, sama rasa. Maka apabila tidak merasakannya, dia akan berkata ia bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia. Sampai bila kita harus berhadapan perkara sebegini?
Sedangkan Keluarga Malaysia itu bukan sama rata, sama rasa. Keluarga Malaysia asasnya adalah hidup bernegara, berpandukan perlembagaan. Bukan ikut sedap parti atau diri sendiri.
Bila tidak dapat sesuatu diminta maka berteriaklah mereka, ia bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia. Seolah-olah mencerminkan kita gagal dalam pembinaan negara bangsa.
Gagasan atau tagline menggunakan nama Malaysia seperti Keluarga Malaysia sepatutnya tidak digunakan. Seolah-olah mencerminkan kita gagal dalam pembinaan negara bangsa. Ia juga seolah-olah backfire (makan diri), apakah selama ini tidak wujud semangat kekeluargaan sebegitu?
Saya cukup bimbang selepas ini akan wujud dan telah pun wujud, keluarga Johor dengan bangsa Johornya. Kemudian takut nanti berjangkit, bangsa Sabah, bangsa Sarawak, bangsa Perak, bangsa Kedah. Sedangkan yang jelas bangsanya adalah Melayu, bumiputera, Cina dan India. Mana ada bangsa mengikut negeri? Inilah masalah yang akan terus kita hadapi jika menggunakan nama negara atau negeri bagi sesuatu tujuan yang tidak tahu mana arah tuju. Akhirnya, musuh mengambil kesempatan, memanipulasikannya.
Tidak ada kemuliaan sesuatu darjat, keturunan, kebesaran, bangsa atau negara itu melainkan iman dan takwa. Apa yang penting adalah bagaimana mahu mendapatkan reda-Nya dalam kehidupan bernegara, baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur. Negara atau negeri yang mendapatkan kemakmuran di dunia dan di akhirat.
Negara ideal adalah negara yang bebas daripada mala petaka, terjamin keamanannya dan tidak terjebak dalam kancah kemaksiatan. Itulah bentuk negara yang menjadi dambaan dan impian seluruh umat manusia. Antara kriteria yang perlu dimiliki adalah:
– Negara yang terjaga alam dan kebaikan akhlak rakyatnya.
– Negara yang subur dan makmur, rakyatnya terus bersyukur.
– Negara yang seimbang kebaikan jasmani dan rohani rakyatnya.
– Negara yang aman daripada musuh, dari dalam mahupun luar.
– Negara yang maju dalam ilmu dunia dan ilmu agama.
– Negara yang mempunyai pemerintah adil dan soleh, serta rakyatnya hormat dan taat.
– Negara yang dalamnya terjalin hubungan harmoni antara pemimpin dan rakyat.
Inilah bentuk-bentuk tagline atau gagasan yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan kempen dan kefahaman rakyat tanpa menggunakan nama negara. Sudah tentu ia sukar untuk dimanipulasikan bagi mereka yang kemaruk kuasa. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).











