ACAP kali slogan ‘Anak Muda Penentu Generasi Masa Hadapan Negara’ disebut dan dijaja dalam ceramah-ceramah harian. Namun persoalannya, adakah terdapat persediaan rapi dalam memastikan slogan itu tercapai? Atau adakah slogan tersebut hanya sekadar kata-kata retorik yang tidak membawa apa-apa makna?
Faktanya pada hari ini, ramai anak muda atau apa yang disebut golongan belia yang keciciran dalam setiap aspek, baik dari sudut pendidikan mahu pun dalam bidang kerjaya. Fakta ini sudah tentu sangat meresahkan dan membimbangkan kita semua.
Oleh itu, setiap pihak harus melihat isu keciciran belia ini secara serius dan dijadikan keutamaan serta fokus terpenting sebagai salah satu syarat proses pembentukan masa depan negara yang hebat. Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian yang berkesan, maka pada akhirnya kita tidak mampu untuk menyediakan golongan belia yang dapat mengemudi negara dengan baik kelak.
Saya perhatikan golongan belia keciciran dalam sektor pendidikan ini selalunya datang dalam kalangan kumpulan B40 yang rata-ratanya miskin sehingga tidak mampu membiayai yuran persekolahan anak. Bebanan itu menyebabkan ibu bapa terpaksa mengambil jalan drastik dengan memberhentikan atau tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Selain faktor kemiskinan, kurang cemerlang dalam pendidikan juga membantutkan golongan belia ini untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi.
Akibatnya, golongan belia terpecah kepada dua kumpulan, iaitu pertama, golongan belia yang menyertai program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan latihan amalan industri. TVET juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis TVET Negara.
Golongan belia yang kedua pula bertindak untuk terus masuk ke alam dunia pekerjaan yang pelbagai seperti menjadi pemandu e-hailing atau penghantar makanan. Ya, ia merupakan sebuah pekerjaan yang baik, akan tetapi adakah mereka ingin terus bergantung kepada kerjaya sebegini selamanya? Bahkan majoriti mereka yang berkecimpung dalam dunia pekerjaan ini rata-ratanya dalam kalangan belia lelaki, bagaimana pula dengan nasib belia wanita?
Pada hemat saya, kerajaan telah menjalankan pelbagai bentuk inisiatif dan kaedah dalam membantu anak-anak muda yang keciciran seperti apa yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) antaranya kerjasama dengan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan (i-LEAD) untuk berhubung dengan lebih ramai golongan belia sekali gus membantu mereka membina kerjaya.
Begitu juga dengan program kerajaan negeri Kelantan menerusi Urusetia Belia, Sukan dan NGO (U-Bes) dalam membantu golongan belia mendapat peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dalam sektor-sektor ekonomi kritikal.
Namun, pada hakikatnya ia masih tidak mencukupi lebih-lebih lagi terhadap mereka yang tinggal di pedalaman yang sukar menerima akses internet dalam mendapatkan maklumat secara terus. Maka setiap pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan(NGO) harus turut serta dalam merancang dan merangka strategi tersendiri dalam menyantuni atau membantu golongan belia keciciran ini.
Dalam pada itu, Penubuhan Santai Anak Utara (SAU) ternyata sangat berkesan dalam menghimpunkan rider (penunggang motosikal) dari seluruh negara yang majoriti besarnya adalah anak-anak muda yang datang daripada pelbagai latar belakang berbeza. SAU terbukti berkesan apabila penganjuran pada edisi sebelumnya berjaya menghimpunkan lebih 60,000 pemuda dan pemudi. Tahun ini pula, sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan SAU, sasaran mereka ialah untuk mencapai 200,000 peserta.
Antara jalan penyelesaian yang saya fikir harus dipertimbangkan adalah jalinan kerjasama dengan pempengaruh belia yang aktif di media sosial. Kita perlu sedar bahawa dunia digital dan teknologi serba canggih pada hari ini telah banyak mengubah cara manusia hidup dan berfikir.
Laman sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram telah menjadi wadah kepada anak muda untuk bersosial. Lihat sahaja betapa ramainya pempengaruh yang berusia seawal 20 tahun sudah mampu mengumpul jutaan pengikut.
Suara mereka didengar dan setiap tingkah laku mereka diperturuti. Pengikut-pengikut mereka pula sama sekali tidak pernah berminat untuk mengambil tahu tentang latar belakang pempengaruh tersebut, cukup sekadar dapat menghiburkan mereka.
Lalu persoalan yang perlu dijawab, adakah pempengaruh seperti ini harus dikecam dan ditohmah? Atau sebaliknya kita mengambil langkah-langkah untuk mendekati dan menasihatinya, serta pada akhirnya bekerjasama dengan niat untuk menggunakan pengaruhnya menarik lebih ramai anak muda untuk turut serta dalam program-program yang kita telah rancangkan?
Belia-belia yang tercicir dari pendidikan dan pekerjaan atau dalam istilah lainnya, Not in Employment, Education and Training (NEET) harus diberi jalan keluar dengan kadar segera. Sedarlah bahawa pembentukan masa depan anak muda terletak di tangan kita selaku generasi pada hari ini.-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.











