PERSOALAN sejauh manakah filem yang berinspirasikan sejarah, apatah lagi yang mengaku berdasarkan sejarah sebenar, perlu menepati fakta sejarah sepenuhnya, sudah lama berlegar dalam industri perfileman di seluruh dunia.
Dengan ini, Malaysia juga tidak terkecuali dalam pembikinan filem sedemikian, termasuklah siri televisyen. Sehubungan ini, seperkara penting yang langsung tiada kompromi ialah ketepatan fakta sejarah.
Ia penting bukan sahaja untuk membawa kembali sesuatu kejadian sejarah yang diangkat itu untuk betul-betul difahami oleh penonton, lebih mustahak lagi ia sangat penting untuk membentuk realiti tertentu dalam kalangan penonton khasnya dan masyarakat amnya tentang sejarah berkenaan.
Dalam hal ini, dikatakan agak mustahil bagi sesuatu penerbitan filem untuk selalu bersifat 100 peratus tepat dari segi fakta sejarah. Ini kerana pada masa sama lesen artistik mahu digunakan untuk mewujudkan kesan dramatik yang luar biasa bagi pelbagai tujuan, antaranya komersial.
Walaupun begitu, ketepatan fakta sejarah harus diutamakan pada setiap masa dan bukan hal sebaliknya, apatah lagi mengandungi fakta salah di dalamnya, khususnya tentang peristiwa sejarah yang tidak begitu lama kejadiannya dan yang pula rata-ratanya masih diketahui dengan baik oleh masyarakat umum.
Namun, ia sering berlaku atas nama fiksyen sejarah, yakni khayalan yang diilhamkan daripada kejadian sejarah yang benar-benar berlaku. Biarpun cerita rekaan sahaja, ia masih tidak terlepas daripada tuntutan kebenaran sejarah.
Ini kerana ia masih terikat dengan sejarah tertentu yang tidak boleh sesekali mengandungi fakta salah. Dengan kata lain, walaupun atas nama khayalan sejarah, masih ada keperluan bagi memastikan ia harus mengandungi fakta sejarah di dalamnya untuk memberi bentuk sejarah sebenar kepadanya. Ini penting agar penonton tidak terperdaya bulat-bulat dengan cerita yang sengaja direka-reka di dalamnya.
Natijahnya di sini ialah perlu ada kesetiaan kepada fakta sejarah. Ia penting sebab kegagalan berbuat demikian bukan sahaja satu kesalahan, lebih dahsyat lagi ia boleh membawa kepada banyak kemudaratan.
Antaranya yang paling berbahaya ialah pembentukan tanggapan negatif, yakni sesuatu itu dianggap dan difahami secara jelik. Ia yang sudah tentu bertentangan dengan realiti, iaitu kebenaran dan kejadian sebenar mengenai sesuatu itu, sebetulnya boleh mempengaruhi cara masyarakat bertindak.
Oleh itu, realiti melalui kebenaran fakta sejarah hendaklah diutamakan agar persepsi yang bersifat kepercayaan semata-mata tidak terbentuk langsung.
Apabila sesuatu realiti itu diketengahkan, khususnya yang tidak menyenangkan, semua pihak hendaklah menanganinya secara tenang dengan menerima hakikatnya walaupun rumit sekali, lebih-lebih lagi oleh kelompok yang paling terkesan.
Ini kerana ia sebahagian daripada sejarah sebenar yang perlu difahami semua pihak supaya apa-apa yang jelik itu menjadi pengajaran agar tidak terjadi lagi, apatah lagi mahu diulangi kini dan juga pada masa hadapan.
CANGGIH
Sebenarnya sejarah itu kaya dengan segala macam kisah benar. Oleh itu, tiada keperluan langsung untuk diada-adakan cerita tidak benar untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik selain canggih.
Ini kerana sesungguhnya sejarah sebenar bukan sahaja sedia membekalkan banyak cerita lebih baik, tetapi yang sahih pula daripada segala cerita yang mampu direka tentang sesuatu kejadian sejarah itu.
Sekiranya sejarah sebenar disandarkan sebagai sumber untuk sesebuah filem itu, menjadi tanggungjawab mereka yang terlibat dalam pembikinan filem itu untuk memperoleh fakta tepat.
Ini sangat penting agar masyarakat yang masih mempunyai ingatan kuat tentang sesuatu itu bukan sahaja tidak dikelirukan, tetapi mereka yang terlibat secara langsung di dalamnya tidak musykil tentang apa-apa yang diperkata.
Sebagai contoh ialah sebuah filem sukan yang mengambil latar sejarah sukan tanah air yang gemilang, iaitu perlawanan bola sepak antara pasukan negara dengan pasukan Korea Selatan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.
Bukan sahaja skor perlawanan digantikan sehingga tidak mencerminkan keputusan sebenar, identiti penjaring gol kemenangan yang sebenarnya juga ditukar kepada pemain lain yang berbeza wataknya.
Sepatutnya, keutuhan fakta sejarah sukan itu dipertahan bukan sahaja untuk kesahihannya, tetapi lebih penting lagi untuk menghargai semangat kebersamaan kesemua pemain yang bermain mati-matian untuk negara, selain gandingan sebilangan pemain penyerang yang berjaya menyempurnakan jaringan bersejarah itu.
Persoalannya ialah mengapakah ia tidak mahu dinyatakan secara tepat seperti yang betul-betul berlaku dalam sejarah negara tidak berapa lama dahulu itu. Selain fakta diselewengkan, adegan pertelingkahan dalam bilik persalinan semasa rehat yang direka itu dipertikai sendiri oleh para pemain sebenar pada perlawanan itu.
Ia bukan sahaja telah mengherotkan sejarah sebenar, ia yang palsu itu akan dianggap benar oleh generasi muda yang akan menerimanya sebagai fakta tepat pada masa mendatang.
Sebenarnya, filem yang menggunakan latar sejarah sebenar, apatah lagi watak sejarah sebenar pula, waima yang mengaku sebagai khayalan semata-mata, haruslah menyedari ia adalah pendidikan.
Oleh itu, fakta tepat harus dipertahan dalam apa-apa jua keadaan untuk menegakkan kebenaran sesuatu itu dalam sejarah negara. Ini kerana ia amat penting untuk antaranya membentuk kerakyatan yang lebih peka kepada masa lampau tanah air yang sebenar. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.








