Rendahnya penghayatan sejarah - Utusan Malaysia

Rendahnya penghayatan sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehidupan yang penting bukan sahaja hari ini atau esok, tetapi juga semalam, kelmarin dan sebelumnya. Tanpa peristiwa dari waktu yang ditinggalkan itu sudah tentu tidak ada pada hari ini atau esok.

Hal ini sama dengan berdirinya kita pada hari ini, tidak kiralah siapa dan apa kedudukan, semuanya ada leluhur. Kita tidak berada dan berdiri sendiri tanpa kesinambungan daripada yang terdahulu – bapa, ibu, nenek, datuk, moyang dan seterusnya yang jauh di belakang zaman.

Maka tidak benarlah kalau ada mengungkapkan ‘sudah menjadi sejarah.’ Ungkapan ini membawa maksud biarkanlah perkara itu berlalu kerana tidak ada kaitan dengan masa kini. Ungkapan yang klise itu dengan jelas menunjukkan rendahnya kefahaman tentang sejarah dalam kalangan kita.

Memang benar masa lalu adalah sejarah. Disebabkan menjadi sejarahlah kita perlu sentiasa menoleh, mengutip dan belajar daripada peristiwa-peristiwa berkenaan. Sejarah bukan sahaja tidak terputus dengan masa kini dan masa depan malah guru yang tidak mungkir.

Sejarah mengajar kita supaya memahami dan memberi sudut pandang terhadap peristiwa yang berlaku pada masa lalu untuk dimanfaatkan dalam kehidupan masa kini. Daripada sejarah kita belajar tentang sesuatu yang berlaku kepada orang lain pada zaman berbeza. Bagaimanapun, pensejarahan tetap terpantul pada masa kini.

Banyak perkara yang berlaku kepada kita sebenarnya telah lama diisyaratkan dalam sejarah. Tujuannya supaya tidak leka sebaliknya dalam keadaan sentiasa bersedia. Walaupun begitu, kefahaman sejarah tidak datang dengan sendiri kecuali kita rajin membaca dan mencari.

Hanya dengan rajin membaca membuatkan kita tidak akan dipermainkan sejarah. Keengganan membaca adalah pantulan daripada kemalasan berfikir yang menjadi pemangkin kita menjauhkan diri daripada sejarah. Hendak memahami sejarah, wajib membaca buku. Kalau malas membaca, sejarah pula akan ‘mengajar’ kita.

Ironinya, penjajah pula yang lebih tahu nilai sejarah tanah air ini apabila berpuluh ribu dokumen berada di luar negara terutama di London dan Leiden. Sebenarnya banyak lagi tempat menyimpan dokumen kita. Mereka menjaga dokumen itu seperti emas kerana nilainya dan ini banyak tidak diketahui oleh sesetengah orang kita.

Walaupun begitu, sebahagian dalam kalangan masyarakat sedikit pun tidak berasa rugi apabila dokumen penting jatuh ke tangan orang. Penjajah memang suka kalau rakyat negara yang dijajah bersikap sedemikian. Ini kerana mendekatkan diri dengan sejarah membolehkan kita melihat jalan di depan daripada cermin pandang belakang.

Satu contoh kecil tentang rendahnya apresiasi terhadap sejarah apabila banyak menganggap filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebuah sejarah. Hakikatnya, filem itu tidak ada kena mengena dengan sejarah, hanya sekadar meminjam watak yang pernah wujud dalam siri penentangan terhadap British di Pahang.

Tanggapan yang menyimpang itu menunjukkan masyarakat menjarakkan diri dengan peristiwa bersejarah. Dari sudut sejarah, Mat Kilau ada latar peristiwa yang besar melampaui bertarung semata-mata. Hal ini hanya akan tersingkap dengan cara mengamati sejarah.

DARIPADA sejarah kita belajar tentang sesuatu yang berlaku kepada orang lain pada zaman berbeza. – AFP

BENDA MATI

Sebenarnya sejarah memang sudah terpisah dengan kehidupan kita. Murid sekolah atau pelajar universiti hanya menghafal sejarah untuk lulus peperiksaan. Selepas meninggalkan alam pengajian, sejarah menjadi benda asing yang tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka.

Banyak juga menganggap sejarah adalah ‘benda mati’ yang sudah tidak ada signifikan dan tidak menarik untuk diselusuri. Atau hanya angka-angka serta tarikh yang statik. Hakikat sejarah adalah sebaliknya. Sejarah bukan angka-angka tetapi angka itu hanya sebahagian kecil daripada catatan sejarah.

Bagaimanapun, agak malang apabila sesetengah pemimpin tidak begitu bersungguh-sungguh mendekatkan rakyat dengan sejarah. Barangkali ini disebabkan oleh rakyat yang mempunyai sudut pandang tentang pensejarahan negaranya sukar untuk dipujuk oleh retorik politik.

Mendekati sejarah membolehkan kita mendapat jawapan bahawa Malayan Union gagal kerana penentangan kuat daripada orang Melayu. Selepas ada raja Melayu yang menandatangani persetujuan ditubuh Malayan Union, orang Melayu tegas dalam beradab menegur raja-raja Melayu.

Maknanya tanpa derhaka, orang Melayu dapat menggagalkan Malayan Union dan pada masa sama menyelamatkan kuasa raja-raja Melayu daripada hilang. Inilah jasa terbesar orang Melayu terhadap raja-raja dan sejarah mencatatkan peristiwa ini. Pernahkah kita bertanya mengapa fragmentasi kaum berlaku di negara ini sejak sebelum merdeka?

Orang Melayu berada di kampung, Cina di bandar atau pekan sementara India banyak di sektor perladangan. Selepas berakhir era estet, orang India berada di luar bandar seperti orang Melayu.

Fragmentasi ini tidak berlaku secara semula jadi. Ini dirancang supaya tidak wujud kebersatuan antara kaum-kaum. Inilah pendekatan onar pecah dan perintah daripada British supaya kaum-kaum yang ada di negara ini terpisah antara satu dengan lain.

Jadi, bilakah kali terakhir kita bercakap mengenai tokoh atau peristiwa sejarah yang berlaku di tanah air ini? Selain Mat Kilau yang namanya diselitkan dalam filem, siapa lagi pejuang membebaskan tanah air yang diperkatakan? Mungkin sudah terlalu lama kita tidak bercakap tentang sejarah.

Walaupun begitu, ini bukanlah suatu yang pelik atau luar biasa. Hal ini berlaku kerana sesetengah masyarakat mengambil sikap menjauhkan diri daripada sejarah. Inilah antara sikap rakyat di negara yang pernah dijajah dan tidak berusaha untuk ‘merdeka.’

Maka tidak hairanlah apabila saban tahun menjelang 31 Ogos, rakyat disumbat dengan naratif sejarah yang ditulis oleh pihak yang menang. Seolah-olah mereka itu sahajalah yang memperjuangkan kemerdekaan dan memadam perjuangan yang lebih awal oleh golongan ulama, wartawan dan guru Melayu.

Ironinya, di tangan mereka itu jugalah masih wujud sekolah yang mengabadikan nama Hugh Clifford, penjajah yang menjadi arkitek membunuh orang Melayu pada zaman penjajahan British. Perkara ini tidak berlaku kalau ada penghayatan yang tinggi terhadap sejarah. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×