SELEPAS menang jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Rafizi Ramli kini diibaratkan sebagai panglima perang yang akan mengetuai parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Rafizi tidak menang sendirian. Mereka yang dilabelkan sebagai ‘pasukannya’ turut menang. Calon yang dikategorikan sebagai pasukan ‘Timbalan Presiden’ telah menang 13 daripada 20 kerusi dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2022/2025.
Kemasukan semula Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar juga dikatakan memperkuatkan lagi kedudukan Rafizi dalam PKR. Walaupun tiada pernyataan secara terbuka, Nurul Izzah sentiasa dikaitkan dengan kem Rafizi.
Apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bekas Ahli Parlimen Pandan itu akan mengetuai pasukan parti itu dalam menghadapi PRU15, ramai pemerhati melihat ia adalah langkah menyediakan Rafizi untuk mengambil alih teraju kepimpinan.
Tetapi ramalan itu tidak semestinya benar. Memimpin parti mengharungi pertempuran pada pilihan raya adalah satu ujian yang cukup besar kepada mana-mana pemimpin. Jika menang mereka akan dijulang. Andainya tewas kemungkinan akan tenggelam dan dilupakan.
Namun, Rafizi memang terkenal sebagai pakar dalam menjalankan misi menyediakan parti menghadapi situasi getir seperti ini. Peranannya pada PRU14 tidak boleh ketepikan. Sebab itu ramai percaya, kembalinya Rafizi ke pangkuan PKR telah mengembalikan semula kekuatan parti itu. Selepas langkah Sheraton PKR dilihat goyah dan hilang hala tuju hingga tewas dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN).
Tempoh 22 tahun menjadi kerajaan bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) turut memudarkan kepercayaan dan harapan para pengundi mereka.
Penampilan semula Rafizi ini dikatakan telah mengembalikan jiwa yang hilang kepada PKR. Para pengundi muda yang menjadi tonggak kemenangan mereka pada PRU14 kini telah kembali semula kepada PKR.
Pendek kata, kehadiran Rafizi ini telah membantu menguatkan semula PKR yang selepas Langkah Sheraton telah hilang semangat dan kekuatan hingga terpaksa mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Matlamat MoU itu bukan sahaja untuk memanjangkan hayat kerajaan, tetapi juga memberikan cukup masa untuk PKR pulih daripada cedera akibat Langkah Sheraton. Sebab itu di pihak pembangkang mereka berusaha melanjutkan MoU dan berusaha untuk memanjangkan hayat penggal Parlimen ini supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk kembali menyusun saf kepimpinan dan strategi.
Tetapi persoalannya, adakah benar kemenangan Rafizi sebagai Timbalan Presiden telah menguatkan PKR? Terutama untuk menghadapi PRU15?
Pada Kongres Nasional PKR baru-baru ramai yang menjangka ia akan memperlihatkan pertembungan Anwar dan Rafizi. Ini kerana Rafizi kerap mengkritik kepimpinan PKR secara terbuka. Lagi pula, individu yang ditewaskan oleh Rafizi ke jawatan itu adalah orang kanan Anwar sejak dari zaman awal reformasi.
Daripada senario ini ramai yang melihat sama seperti UMNO, PKR juga kini berpecah kepada dua kumpulan. Malah hubungan Anwar-Rafizi juga tidaklah begitu ‘mesra’ walaupun Presiden PKR itu mengumumkan secara terbukanya timbalannya akan mengetuai pasukan PRU15.
Dalam ucapan penggulungannya pada Kongres Nasional baru-baru ini, Rafizi ada berikrar akan taat setia kepada Anwar dan memberi jaminan bahawa dia tidak akan mengkhianatinya.
Tetapi dalam ucapan itu juga Rafizi berkata, dia bersama pasukannya serta ahli-ahli parti tidak boleh dijadikan ‘penggilap’ epal Anwar. Rafizi juga pernah mendakwa penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan pemikirnya mendedahkan populariti Anwar semakin merosot.
Kenyataan-kenyataan terbuka, sinis, tajam dan lantang oleh Rafizi terhadap Anwar sudah pasti menimbulkan reaksi dalam kalangan kumpulan yang dianggap setia dan sentiasa bersama Anwar ketika sudah dan senang.
Saifuddin pernah membangkitkan isu Rafizi menghilangkan diri ketika PKR dikhianati melalui Langkah Sheraton.
“Sukarnya Keadilan bergerak tatkala sejumlah pimpinan utama khianat. Yang tinggal pula ada yang memilih bercuti.
“Tugas mengukuh parti digalas DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pimpinan lain yang tinggal,” itu kata-kata yang pernah diluahkan oleh Saifuddin.
Khianat yang dimaksudkan Saifuddin merujuk tindakan ahli-ahli parlimen PKR – diketuai bekas timbalan presidennya – Azmin Ali yang meninggalkan parti ketika berlaku krisis politik ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.
Rafizi pula memilih untuk ‘bercuti’ dari politik dan tidak aktif sejak pemilihan PKR pada penghujung 2018. Ketika itu Rafizi tewas tipis kepada Azmin dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Namun pada 15 Mac lalu Rafizi membuat kejutan dengan mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR akan datang.
Selain Saifuddin, nama-nama besar lain yang menjadi watak utama dalam perjuangan PKR selama ini turut tewas kepada pasukan Rafizi dalam pemilihan MPP baru-baru ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Halim Hussain; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui..
Dengan majoriti ahli MPP adalah daripada pasukannya, Rafizi kini dilihat cukup kuat dalam PKR. Tetapi adakah ini bermakna beliau juga mampu menjadikan PKR lebih kuat terutama untuk berhadapan dengan seteru tradisi mereka – UMNO/BN?
Mampukah Rafizi dan pasukannya sahaja berhadapan dengan UMNO BN tanpa sokongan nama-nama besar yang tewas pada pemilihan MPP? Sebab itu, pelantikan semula Saifuddin sebagai Setiausaha Agung, dan kemasukan semula Nurul Izzah mampu meredakan ketegangan antara dua pasukan dalam PKR.
Fahmi sebagai bekas Pengarah Komunikasi, telah memberi amaran mengenai kemungkinan wujud perbuatan sabotaj dalam parti itu ekoran tidak puas hati dengan keputusan pemilihan.
“Untuk memastikan pasukan kita kuat, kita perlu bersatu dan memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti baharu.
“Jangan berikan musuh kami peluru (untuk menyerang kami),” kata Fahmi ketika berucap pada kongres itu.
Namun benarkah kembalinya Rafizi dari bercuti menjadi PKR lebih kuat? Hanya keputusan pada PRU15 yang akan mengesahkannya.
Pada masa ini UMNO/BN melihat apa yang berlaku di kem PKR itu sebagai kelebihan kepada mereka. Ketika PKR perlu menumpukan usaha dan tenaga untuk merapatkan barisan, UMNO/BN kini dikatakan berada dalam momentum terbaik untuk menang PRU15.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










